Tuesday, April 5, 2011

Keindahan Syair Bidasari

Keindahan Syair Bidasari: Dualisme yang Indah. Oleh: Hashim Ismail Jabatan Kesusasteraan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Pengenalan: Terdapat dua tokoh utama dalam bidang Pengajian Melayu yang membincangkan Syair Bidasari secara signifikant. Kajian-kajian mereka ternyata pula mendapat tempat dan perhatian sarjana-sarjana lain. Syair Bidasari(selepas ini diringkaskan sebagai SB) muncul sebagai teks yang menarik dari segi estetika Melayu. Oleh itu dalam menangani puitika Melayu, Muhammad Haji Salleh dan V.I Branginsky mengambil contoh SB sebagai antara teks yang memiliki rencah-rencah teori puitika Melayu masing-masing. Di dalam bahagian I, kertas ini membincangkan pandangan daripada kedua-dua tokoh tersebut, secara tersurat membahaskan keindahan dalam SB. Sebaliknya, secara tersirat pula membahaskan keindahan puitika Melayu itu sendiri. Pandangan Muhammad Haji Salleh(1991/1999) akan dinamakan sebagai “Teori 1”. Seterusnya, pandangan Branginsky(1994/1998) sebagai “Teori 2”. Dan pandangan dalam bahagian II, kertas ini selanjutnya akan menjadi sebagai “Teori 3”. Secara ringkas, ketiga-tiga teori ini dibahaskan mengikut sumbangan masing-masing. ”Teori 3” dari tulisan ini akan muncul sebagai teori yang mengolah atau menolak ”Teori 1” dan ”Teori 2”. Teks Syair Bidasari Syair Bidasari digolongkan sebagai teks belles –lettres, syair romantis yang dianggap hasil kesusasteraan zaman Palembang(1650-1824). Menurut penggubahnya karya ini disyairkan dari sebuah hikayat. Walau bagaimanapun teks hikayatnya tidak pernah dijumpai. Van Hoevell yang telah menerbitkan SB dengan huruf jawi dan pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Belanda menganggap bahawa SB digubah di Palembang. Syair ini juga pernah diterbitkan oleh Klinkert dalam bukunya Drie Maleishe Gedichten(Tiga Syair Melayu) bersama-sama dengan Syair Ken Tambuhan dan Syair Yatim Nestapa.(Teuku Iskandar, 1995: 477-490). SB pernah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain, termasuklah pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh J.R Logan(1847); ke dalam bahasa Perancis oleh L. de Backer(1875) dan G. Kalio(1958) dengan judul “Bidasari: und andere Malayische geschicten”. Manakala di Indonesia, beberapa kajian perbandingan dan penerbitan dijalankan oleh SB. D. Sumardono(1972) di Universitas Nasional Jakarta dengan judul, “Syair Bidasari dan Beberapa Persamaannya dengan Cerita-Cerita Yang Berasal dari Persia dan India”, dan juga Tuti Munawar(1978), menghasilkan edisinya berdasarkan manuskrip simpanan Museum Nasional, Jakarta dalam bentuk sebaran terhad.(Jamilah Hj. Ahmad(ed.), 1989: xviii – xix). SB dianggap sebagai syair yang popular di kalangan masyarakat Melayu. Kepopularannya disamakan dengan kepopularan Syair Siti Zubaidah, Syair Dandan Setia, Syair Yatim Nestapa dan Syair Selendang Delima. Dalam tahun-tahun 1930-an – 1950-an syair-syair ini pernah diterbitkan di Singapura secara cetak batu. Dari segi pro-forma teks SB, salinan syair ini yang asalnya didapati dalam 13 naskhah yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London(2 naskhah, iaitu Raffles Malay 7 dan Raffles Malay 36); di SOAS, London( satu naskhah, iaitu MS 322510); di Cambridge University Library(satu naskhah, iaitu Additional 3812); di Cambridge University Library( satu naskhah, iaitu Cod. Or. 871(8)); di British Museum London (satu naskhah, iaitu 14626. C. 14/C); di Institute of Social Anthropology, Oxford University (satu naskhah, iaitu Kotak I (A) No. 6); di Leiden University Library ( 5 naskhah, iaitu Cod. Or. 1942, Cod. Or. 1963, Cod. Or. 1964, Kl. 128 dan Kl. 135a); dan di Museum Nasional Jakarta( satu naskhah, iaitu vdw. 256). Keterangan ringkas tentang teks-teks tersebut telah dilakukan oleh Jamilah Hj. Ahmad(1989) sewaktu beliau membuat transliterasi dan penyuntingan teks SB berkenaan. Jamilah menggunakan naskhah C (Raffles Malay 7) untuk dijadikan teks induk dalam penurunan teks SB. Naskhah C juga dipilih sebagai mewakili versi van Hoevell, berdasarkan faktor tarikh dan isi yang lebih lengkap. (Jamilah Hj. Ahmad(ed.), 1989: xii – xxvii). Bahagian I : Mencari Keindahan Syair Bidasari Teori 1 : Muhammad Haji Salleh (1991/1999). Teori 1 ini dibincangkan dari artikel Muhammad Haji Salleh yang berjudul, “Duka Sengsara Yang Indah: Estetika Melayu Daripada Duka Alam”. Artikel tersebut pada mulanya tersiar di Dewan Sastera, Mac. 1991 dan kemudiannya diterbitkan kembali dalam buku Menyeberang Sejarah – Kumpulan Esei Pilihan(1999)(Muhammad Haji Salleh, 1999: 80 – 100). Muhammad Haji Salleh yang mengemukakan konsep keindahan kepengarangan Melayu, dalam artikel tersebut telah mengambil bait-bait SB sebagai data yang mencerahkan teorinya “duka sengsara” estetika Melayu. A. Asas teori 1: Konsep Keindahan 1. Konsep dan dasar seni membudaya ke dalam masyarakat. Dan seorang penulis itu menulis dengan budaya yang melatarkan hidupnya. Jenis cerita yang dilatardepankan pengarang diperolehi daripada kehidupan sekeliling kerana estetika Melayu menuntut pencarian demikian. 2. Konsep keindahan boleh dikesan daripada rupa, baris, bahan dan bahasa karya. Muzik metafora serta ikatan rima yang kita dengar dipilih untuk pendengar/pembaca kerana jenis irama dan rima itulah dianggap indah. 3. Sumber untuk mengesan estetika ialah karya dan wakil seniman serta khalayak tradisional lisan atau chirografik yang masih mengamalkannya. 4. Pengenalan cerita/kisah dan bait-bait awal pantun, syair dan gurindam merupakan bayangan maksud sebagai konsep-konsep asas.(Mukadimah teks). 5. Dasar-dasar estetika untuk bentuk naratif terdiri daripada; i. Karya menceritakan tentang kehidupan ii. Dunia pengalaman yang dirundung kesusahan, sengsara dan duka lara. iii. Sastera sebagai bayangan kenyataan iv. Didaktis v. Alam Ajaib vi. Struktur yang episodik vii. Sifat dramatis. 6. Kepengarangan adalah “dialog”. Memetik Bakhtin(1981), dialog antara pengarang dengan masyarakatnya, pengarang dengan tradisi dan mungkin pengarang dengan alam. B. Teori 1: Mencari Keindahan Syair Bidasari. 1. Muhammad Haji Salleh meneroka keindahan SB melalui kekuatan asas yang berada pada no. 5.(ii) dan pada no. 6, di bahagian A di atas. Muhammad juga tidak menafikan kepentingan keindahan bahasa yang ada pada no. 2 di atas, tetapi dengan tujuannya yang terhad Muhammad membataskan sesuatu estetika seharusnya didapati melalui makna yang tersirat dalam baris dan makna, yang bertingkah dalam gema dan rima karya itu sendiri(Muhammad Haji Salleh, 1999: 91). Keindahan SB terletak pada suasana karya yang dapat menangkap cebisan penting kehidupan, pengarang(Syair Bidasari) berdialog dengan persekitarannya, dengan pohon-pohon di kampung dan hutan yang tidak jauh daripadanya, dengan rentak cuaca, waktu dan musim dan bunyi-bunyi yang berulang-ulang yang seperti menyatakan bahawa hidup adalah satu ruang atau rentetan pengalaman yang memperlihatkan ciri-ciri “duka-sengsara”. Muhammad melihat SB sebagai gambaran manusia yang menderita penuh duka sengsara. Ia melebur ke dalam apa yang dikatakan sejarah dan etos budaya, pandangan hidup dan psikologikal jiwa manusia Melayu yang merupakan makhluk kerdil dan daif.[1] Orang Melayu diajar merendah diri, berkata-kata dengan bahasa dan cara yang sederhana. Peribahasa menasihati mereka supaya bersopan, berbudi dan tidak menonjolkan diri. Muhammad berfaktakan sebab musabab etos budaya dan pandangan hidup orang Melayu begini, maka hasil-hasil sastera tersebut membayangkan kehidupan manusia yang secara alamiahnya bernada sederhana, mengenangkan nasib badan, pilu dan sengsara. Banyak kata-katanya berendamkan air mata. Muhammad mengungkapkan teorinya, juga dari sistem sosial feudal yang antara lain menyatakan manusia pengarang yang lebih daif terdampar di dataran kelas-kelas pemerangkatan kata. Bahasa adalah dianggap amat berkuasa terhadap cara berfikir, bahasa yang merendahkan manusia hingga ke tahap abdi, anjing dan penjunjung debu di kaki raja, dengan cepat menghilangkan rasa keyakinan diri yang ada pada manusia itu. Pengarang cepat menjadi lebih kecil, berkat bahasa yang ditemui dan diamalkan sejak lahirnya lagi. Muhammad ternyata meneroka ke sudut kepengarangan Melayu melalui pengalaman duka dan sengsara itu yang lebih mendalam sifatnya, ia direnung dalam kepelbagaian dan lebih mengundang renungan; sehingga lebih bersifat filosofis. Muhammad dengan yakin berbelas; pengarang melalui pengalaman duka, kita diajak meneroka wilayah jiwa, ke dalam akal fikiran, berwacana dengan kehidupan nasib dan seterusnya menilai hidup itu sendiri(Muhammad Haji Salleh, 1999: 84-87). 2. Rangka hidup “duka sengsara” tersebut menjadi teori yang membina pandangan hidup serta nilai estetika yang mendasari SB. Muhammad merumuskan bukti tentang estetika seharusnya didapati melalui makna yang tersirat dalam baris dan makna yang bertingkah dalam gema dan rima karya itu sendiri. 2.1 Sengsara Berwajah Dua(faktor sengsara); a. Pertama, muncul daripada takdir atau nasib malang seorang seseorang watak yang telah tersurat sebelumnya. b. Kedua, duka sengsara sebagai pembalasan terhadap perbuatan kesalahan atau kelemahan watak itu sendiri, disebut “tragic flaw”.(Watak Permaisuri, watak yang bersalah tidak menemui tragedi. Dia dihidupkan untuk terus menerima sengsara sebagai balasan perbuatannya). 2.2 Takdir Buta a. - Kembayat Negara ditimpa “kedukaan” - Kembayat Negara dalam huru-hara dan binasa. - Permaisuri yang mengandung 2 bulan dan Raja meredah padang, belukar dan hutan. Tubuhnya luka berkeratan/kerana terkait duri rotan. - (Kesannya bertambah pilulah kalbu rasanya sidang/khalayak) b. Anak yang baru dilahirkan terpaksa ditinggalkan. Adegan-adegan sayu. Penyeksaan psikologi; ditarik antara sayangkan anak dan kesetiaan kepada suami. c. Sepasang suami isteri kaya raya dalam kesengsaraan – tidak mempunyai anak. Penemuan Bidasari – dibesarkan dengan penuh kasih sayang. d. Lela Sari menipu Bidasari. Bermulalah perpisahan.(Kuasa takdir amat keras, watak disedut ke dalam pusar sengsara) e. Bidasari di kurungan. Diseksa secara fizikal dan psikologikal. Ayah bondanya terus menderita. 2.3 Seksaan Sebagai Takdir Balasan a. Lela Sari yang takbur dengan kecantikannya. Tidak mempunyai anak – kekhuatiran – suami mencari isteri baru. Jiwa yang tertekan, menjadikannya wanita yang tidak berperi kemanusiaan lagi. b. Lela Sari dihukum Dewata/Tuhan. Dia ditinggalkan suaminya buat selama-lamanya. 3. Penemuan Teori - Muhammad merumuskan teks SB ini berendam dalam adegan-adegan pilu, duka dan sengsara. Kesedihan yang mengheret kita ke alam keindahan dalam bentuk jelira seni(catharsis). Muhammad merumuskan, “duka sengsara lebih memuaskan, lebih jauh jangkauannya. Kegembiraan biasanya agak dangkal, lebih jelas di permukaan dan kita lebih suka mengalaminya daripada menulis tentangnya” (Muhammad Haji Salleh, 1999: 99). Teori 2 : V. I. Braginsky(1994/1998). Teori 2 ini berdasarkan perbincangan V.I. Braginsky dalam bukunya Yang Indah, Berfaedah dan Kamal – Sejarah Sastra Melayu Dalam Abad 7 – 19. (1998). Antara lain dalam membincangkan Puisi Zaman Klasik, Braginsky telah mengangkat SB sebagai syair romantis yang isinya didaktis, berasal dari kelompok “Sastera Cermin Didaktis” (hidayat) Melayu dan sangat mirip dengan nasihat-nasihat di dalam Hikayat Isma Yatim, pandangan hidup dan asas-asas etika yang ditekankan – semuanya ini jelas membuktikan bahawa SB berakar pada tradisi Islam. Bagi Braginsky, SB merupakan sebuah contoh syair naratif Melayu yang sukar dicari bandingannya dalam hal keunggulan sastera, sehingga dengan demikian syair ini pun boleh membantu dalam memahami keistimewaan ‘Syair Romantis’ sebagai karya sastera artistik.(V.I. Braginsky, 1998: 377). Teori 2 ini juga diselongkar dari tulisan V.I. Braginsky daripada salah satu bab yang berjudul “Ikan dalam Peti, Peti dalam Kolam atau Keindahan Hati Yang Tahu Mengampuni ( Syair Bidasari)” dalam bukunya Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik(1994). Manakala konsep keindahan secara umum diambil dari bab “Erti Keindahan” dalam buku tersebut di atas melalui tajuk kecilnya, “Apa itu Keindahan atau Bagaimana Duka menjadi Suka” dan “Segala Khasiat bagi Rohani Manusia atau Keindahan Luaran dan Dalaman Sistem Kesusasteraan Klasik”. Turut dibincangkan atau mendapat perhatian juga ialah konsep keindahan yang diungkapkan dari buku, Yang Indah, Berfaedah dan Kamal – Sejarah Sastra Melayu Dalam Abad 7 – 19.(1998). A. Asas Teori 2 : Konsep keindahan. 1. Istilah indah dalam sastera Melayu Klasik – Penggantian/persamaan istilah indah dengan rangkaian kata yang seerti dengan “Kekayaan Tuhan”( God’s Mighty Works atau Perbuatan Tuhan Yang hebat) yang dipetik dari karya-karya seperti Hikayat Inderaputera, Hikayat Isma Yatim dan Asrar al-Arifin. 1.1 Misalnya dipetik, “Syahdan di padang itu rumputnya seperti zamrud warnanya. Maka Indraputra pun datanglah ke padang itu, dan ada suatu bukit terlalu elok rupanya, dan airnya pun mengalir daripada pihak bukit itu terlalu sejuk, dan di bawah bukit itu beberapa pohon kayu berbagai-bagai rupanya, berbagai-bagai jenis warnanya. Kalakian maka didengar oleh Indraputra bunyinya segala bunyian-bunyian itu seperti orang bernyanyi. Ada seperti orang bersyair dan bermadah dan berpantun. Maka Indraputra pun berhenti melihat kekayaan Tuhan dan bertambah-tambah yang indah-indah itu. Setelah itu demikian maka Indraputra pun kenyanglah rasanya sebab melihat sekalian itu. Maka ia pun mengucap syukurlah kepada Allah dan terkenanglah akan ayah bundanya.(Hikayat Indraputra, susunan Ali Ahmad, 1968 : 26 –27). 1.2 Misalnya dipetik dari Asrar al-Arifin, “Suatu tamsil lagi seperti seorang raja sempurna lengkap dengan kekayaannya. Dapat diubahnya kekayaannya: gajah dijadikannya kuda, atau kuda dijadikanya gajah, atau kambing dijadikannya anjing, atau anjing dijadikannya kambing. Tetapi tiada ia mahu mengubah dia kerana apabila mengubah(dia), binasa kamalnya. Yang sedia (se)olah-olah belum kamal, baru hendak mengadakan kamalnya dan kebesarannya”(dipetik dari Syed Muhammad Naquib al-Attas, “ The Mysticism of Hamzah Fansuri”, 1970: 324). (Braginsky, 1998,:190-191) 2. Pengertian indah berkait dengan sifat-sifat imanen yang dimiliki oleh keindahan itu sendiri. Yang indah ialah sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang hairan(takjub), ajaib, gharib(ganjil),dan temasya(permandangan menarik hati). Sinonim perkataan indah ini diambil dari hikayat-hikayat klasik seperti Hikayat Inderaputra dan Hikayat Perang Pandawa Jaya. Yang indah juga dihubungkan dengan berbagai-bagai dan banyak ragam. Keanekaragaman sebagai sinonim “kesempurnaan”, konsep penting dalam estetika Islam yang membawa kepada keteraturan, harmoni dan keseimbangan. Dipetik A.V. Sagadeyev(1964) membahas karangan Al-Ghazali, Ihya’ Ulum ad-Din, “Al-Ghazali memberi definisi keindahan umumnya sebagai pernyataan kesempurnaan, yang diwujudkan berupa sesuatu benda dan yang sesuai dengan hakikatnya. Setiap benda mempunyai satu jenis kesempurnaan yang cocok dengannya. Walau bagaimanapun, sesuatu yang sama sekali berlawanan dengan kesempurnaan itu, mungkin merupakan kesempurnaan bagi sesuatu benda yang lain. Keindahan menyatakan diri dengan paling bagus, jika sesuatu benda mempunyai semua ciri-ciri kesempurnaannya. Ketiadaan beberapa ciri daripadanya, mengakibatkan kadar keindahan yang menjelma berupa benda tersebut menjadi merosot”(Petikan dari Braginsky, 1998: 194, yang memetik A. V. Sagadeyev, 1964:34). 3. Indah berkaitan dengan psikologi persepsi keindahan. Disebabkan oleh keindahan itu luar biasa, dan merupakan suatu temasya, maka persepsi keindahan dengan “Pancaindera lahir” menimbulkan rasa terpikat, semacam berahi dalam jiwa orang yang merenunginya itu. Rasa berahi terhadap keindahan melahirkan rasa kagum dalam hati. Jika perasaan terlampau hebat, dan segenap pancaindera dikuasai sepenuhnya oleh pernyataan indah, apabila hati(jiwa) kurang terkendali oleh akal, maka susunan(hierarki) kekuatan jiwa yang teratur menjadi kacau, dan timbullah keadaan-keadaan yang serupa dengan pengsan; lupa, merca dan lain-lain. Penikmat keindahan seakan-akan hanyut di dalamnya, dan kehilangan dirinya sendiri. Walau bagaimanapun perasaan berahi jika disalurkan dengan tepat akan memberi pengaruh penyembuhan dan penenteraman terhadap jiwa(perawat jiwa). Braginsky mengemukakan contoh-contoh di atas berdasarkan teks Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Indraputera. “Syahdan seperti lenyap rasa dalam bunyi itu daripada letih menengar bagai-bagai itu jadi hairanlah segala yang mendengar dia”(Hikayat Isma Yatim:24) “Maka dayang-dayang yang disuruh tuan puteri itu pun lalu lupa akan dirinya sebab mendengar bunyinya dan melihat akan temasya berbagai-bagai itu”(Hikayat Inderaputera:295). Braginsky menutup fahaman keindahannya berdasarkan “benda ajaib” dalam Hikayat Isma Yatim. “Maka lalu dijunjungnya(Isma Yatim –V.B) peti gading dan kain rambuti itu hampar ke hadapan baginda … seraya menyembah, maka sembahnya: ‘Ya tuanku Syah Alam, patik persembahkan nakhoda kapal itu ke bawah Duli Syah alam’. Syahdan dipersembahkannyalah segala peri hal-ehwal nakhoda itu. … Maka baginda pun terlalu amat sukacita mendengar peri permainan itu, seraya disuruh oleh baginda buka peti itu. Maka baginda melihat peti itu terlalu indah-indah perbuatannya, maka titah baginda: ‘Adapun candapeti itu bukan perbuatan manusia pada perasaanku’ (keindahan itu luar biasa – V.B). Maka segala raja-raja dan perdana menteri dan hulubalang sekalian pun menyembah seraya mengatakan: ‘Sungguh seperti titah yang dipertuan itu’. Maka disuruh oleh baginda buka pula peti gading itu. Maka di dalam peti gading itu adalah sebuah peti kaca terlalu indah-indah perbuatannya. Maka peti kaca itu pun disuruh baginda buka, maka adalah sebuah cembul firuzah di dalamnya, maka cembul firuzah itu pun dibukanya, maka adalah permata dua buah daripada nila gendi di dalamnya. Maka diambil oleh Isma Yatim pula permata yang kecil itu dan diletaknya kepada talam emas itu, maka keluarlah dua ekor merak terlalu amat indah-indah rupanya. Maka suatu permata lagi itu ditaruhnya kepada suatu serahi kaca itu terlalu indah-indah bunyinya, seratus dua belas bagai ragam bunyinya(iaitu semua ragam;keindahan itu berbagai-bagai = lengkap, sempurna – V.B). Maka segala permainan itu pun ditaruh oleh baginda hampir sisi baginda akan beradu seraya dimasukkannya ke dalam canda peti itu, maka keluar cembul firuzah itu dan permata nila gendi itu diletakkan baginda di atas talam emas itu dan suatu ditaruhkan baginda pada serahi kaca itu, berbagai-bagai rupanya, gilang gemilang cahayanya. Syahdan sinarnya pun kena dengan mahligai, maka baginda dua laki-isteri dan segala dayang-dayang biti perwara itu pun sekalian melihat akan sinarnya bagai-bagai warnanya (berbagai = luar biasa; keanekaragaman kesan-kesan visual – V.B). Setelah ligatlah pusingnya, maka keluarlah bunyinya yang seratus dua belas bagai ragam itu terlalu sekali merdunya(keanekaragaman yang menjadi sifat keindahan adalah teratur dan penuh harmoni – V.B). Syahdan seperti lenyap rasa dalam bunyi itu (‘lupa’ , ‘merca’ sebagai akibat pengaruh keindahan – V.B.) daripada letih mendengar bagai-bagai itu (keanekaragaman kesan-kesan pendengaran – V.B.) jadi hairanlah segala yang mendengar dia ( ‘hairan’, ‘terperanjat’ kerana terpengaruh oleh keindahan – V.B.) …. Maka ia pun (merak jantan dan merak betina – V.B.) berbangkit isyki (berahi yang dilahirkan oleh keindahan – V.B) seraya keluar keduanya daripada permata itu, lalu mengigal di atas talam emas itu, terlalu indah-indah lakunya serta berpantun dan berseloka, syahdan ia berbait-bait dan bersyair akan menyukakan hati(iaitu menghiburkan hati; keindahan sebagai alat penghibur jiwa – V.B) baginda dua laki-isteri. … Hatta maka titah baginda pada permaisuri: ‘Hai adinda, kelakuan Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan sarwa sekalian alam yang limpah kebesaran pada semesta sekalian alam, maka pada fikiran kakanda sedang dalam dunia lagi demikian, istimewa pula jikalau dalam akhirat lagi’ (punca keindahan ialah kebesaran Allah – V.B). maka sahut permaisuri ‘Sungguh seperti titah tuanku itu, indah-indah sekali patik melihat kebesaran Tuhan sarwa sekalian alam, dan kebaktian Isma Yatim akan tuanku itu, dan permainan itu yang terlalu ajaib itu’(Keindahan itu luar biasa – V.B).” ( Petikan dari Hikayat Isma Yatim: 20 –-21, 24-25; Braginsky, 1994:40). 4. Dalam sistem genre sastera Melayu Klasik – terdapat 3 sfera keindahan, peringkat pertama(paling rendah), iaitu sfera keindahan (luaran); kedua, iaitu sfera faedah(keindahan dalaman); dan ketiga, iaitu sfera kesempurnaan rohani(yang tertinggi). a. Sfera Keindahan luaran “ Salah satu keunggulan karya sastera yang dianggap terpenting ialah keindahan(keindahan luaran) yang tercermin, baik dalam sistem imej mahupun dalam susunan kata. Dalam kesusasteraan punca segala keindahan ialah kudrat Allah. Disebabkan oleh kudrat-Nya itu, keindahan-Nya yang mutlak tampil dalam keindahan pelbagai benda, misalnya dalam keindahan karya sastera. Keindahan itu sendiri pula dipandang sebagai sesuatu yang luar biasa yang memperlihatkan bermacam-macam rupa dan sekaligus teratur dan penuh harmoni. Keindahan yang luar biasa itulah yang menarik perhatian dan membangkitkan keasyikan atau sejenis berahi dalam hati orang yang melihatnya ataupun mendengarnya. Hati manusia dianggap paling peka akan bunyi muzik atau suara yang teratur”.(Braginsky, 1994: 46). b. Sfera keindahan faedah “ Di samping keindahan luaran, satu lagi sifat karangan sastera yang lebih mustahak adalah faedahnya atau manfaatnya yang disamakan dengan keindahan dalaman. …. Dalam tradisi Melayu, ‘faedah’ dipandang sebagai makna didaktik, pengajaran daripada ciptaan yang bersifat keagamaan atau sekular. Makna tersebut tersembunyi dalam struktur karangan yang pokok. Oleh itu, faedah atau pengajaran sesebuah karya sastera, berlainan daripada keindahan luarannya, yang terdedah kepada akal yang sanggup menyelinap ke dalam “dunia ghaib’.”. (Braginsky, 1994: 46 –47). c. Sfera Penyempurnaan Rohani “ Pada peringkat yang tertinggi, sebuah karya sastera menyempurnakan pengetahuan manusia tentang al-Khalik dan agama-Nya serta menyiapkan hati nurani mereka untuk menerima ilham Illahi. Sistem nilai kesusasteraan Melayu turut tersusun menurut peringkat-peringkat dunia rohani manusia yang merupakan sasaran pengaruh sekumpulan karangan yang tertentu. Nilai-nilai tersebut juga membentuk sejenis hierarki;kesempurnaan hati yang seimbang, kesempurnaan akal yang tajam, serta kesempurnaan hati nurani yang terang". ”(Braginsky,1994, 48-49). B. Teori 2 : Mencari Keindahan Syair Bidasari. 1. Braginsky mengungkap keindahan SB dengan ungkapan “Ikan dalam Peti, Peti dalam Kolam atau Keindahan Hati yang Tahu Mengampuni”. SB disorot secara struktural teks yang tersusun teratur dengan imej-imej didaktik yang tinggi. Ia adalah sintesis teks yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan “Hikayat Petualangan Ajaib” namun dalam bentuknya yang tersendiri merupakan teks cermin didaktis terhadap golongan bangsawan dan raja-raja yang memerintah. Hubungan kasih anak dengan ibu bapa dan niat buruk kerana iri hati adalah dua cermin didaktik yang muncul dalam SB ini. Dilihat daripada aspek Syair Cinta(Syair Romantis), didaktisme dalamnya adalah motivasi selok- belok plot terpenting dan lunas-lunas etika yang ditekankan oleh syair berkenaan jelas mengakar dalam tradisi Islam(Braginsky, 1994:122). SB merupakan contoh syair naratif Melayu yang sukar dicari bandingannya dalam hal keunggulan sastera, sehingga dengan demikian syair ini pun boleh membantu dalam menghadapi keistimewaan ‘Syair Romantis’ sebagai karya sastera artistik(Braginsky, 1998: 377). Sebagai hasil sintesis sastera, SB dilihat mempunyai deskripsi yang halus, penuh dengan pelbagai perhiasan, keteraturan dan menitikberatkan psikologisme tingkah laku manusia. SB terbahagi kepada lima kisah. Secara struktural dan “rekonstruk”, Braginsky melihatnya dalam episod-episod dan hubungan plot yang bersimetri. Kisah yang pertama, mengisahkan pasangan diraja hidup serba senang, tetapi mala petaka serangan geruda, tiba-tiba menimpa mereka, menukarkan suka menjadi duka. Pasangan diraja tidak berdaya lagi menjelajahi hutan, anak ditinggalkan dalam paksaan. Kisah yang pertama berakhir dengan tema dukalara. Kisah kedua, bermula dengan nada gembira, dengan sedikit kecacatan Lela Jauhara tidak dikurniakan cahaya mata. Penemuan Bidasari meniupkan semangat dalam keluarga saudagar. Kisah bersambung, Johan Mengindera Raja Negeri Inderaputera bersama permaisuri Lela Sari yang cantik jelita. Lela Sari kemudiannya, tewas dalam nafsu haiwani, saingannya Bidasari diseksa penuh kesengsaraan. Air mata ibu bapa Bidasari menjadi rintihan keluarga. Saudagar tua merintih keruntuhan akhlak pada zamannya, kekejaman pegawai-pegawai tinggi dan permaisuri Lela Sari. Kisah ketiga, bermula dengan tema keriangan dan kegembiraan. Raja Mengindera dan isterinya Lela Sari hidup bahagia. Raja bertemu Bidasari di perburuan menjadikan episod cinta yang berpanjangan. Kedurjanaan Lela Sari terbongkar, Raja murka tersiksa jiwa. Kemabukan cinta, Bidasari menjadi isteri kedua. Duka Bidasari telah bertukar menjadi kebahagiaan, manakala kebahagiaan Lela Sari diganti duka. Kisah keempat, kisah Raja Kembayat kembali ke tanah airnya selepas dilanggar geruda. Kisah bermula dengan tema dukacita, sedih kehilangan puterinya jelita. Mereka mendapat cahaya mata, Putera Bangsawan diberi nama, berjaya mencari kakaknya, Puteri Bidasari di Inderapura. Kisah keempat berakhir dengan tema gembira. Kisah kelima, kembali dengan tema dukacita tetapi sejenak sahaja. Kerinduan Raja Kembayat kepada puterinya. Utusan dihantar ke Kembayat, membawa rombongan keluarga diraja ke negeri Inderapura. Suasana pertemuan membawa tema kegembiraan. Temasya dan pesta diadakan. Putera Bangsawan menemui pasangannya di perburuan dan mengasaskan Kota Inderanegara. Syair ditutup dengan cerita tentang pemerintahan yang sejahtera. Ketiga-tiga raja di negeri masing-masing dan perubahan sikap Lela Sari yang agak terlambat mengakui kesalahannya dan menyesali perbuatannya(Braginsky, 1994: 141). 2. Pendekatan tematik, suka-duka dan plot yang berepisod itu merupakan cara Braginsky memaparkan judul estetika teks ini, “Ikan dalam Peti, Peti dalam Kolam atau Keindahan Hati yang Tahu mengampuni”. Ukuran yang digunakan oleh Braginsky ialah dalam perjalanan cerita SB, unsur-unsur ibarat dan kiasan, keteraturan komposisi syair ini, di samping unsur-unsur didaktik, menjadikan syair ini lebih menitikberatkan ideal tatasusila yang murni daripada kejadian-kejadian yang menarik dan warna-warni yang dialami oleh watak-wataknya(Braginsky, 1994: 141 –142). 3. Braginsky melihat kebulatan dan simetri komposisi syair berkenaan sebagai nilai estetika dan berasaskan dua prinsip utama. 3.1 Prinsip yang pertama, ialah peranan terpenting yang dimainkan oleh titik pertengahan, baik dalam struktur seluruh karya itu, mahupun setiap kisahnya. Prinsip itulah yang menjadikan syair tersebut setangkup(simetrik). Pertukaran nasib watak-watak yang tampil di sini berupa sebuah chiasm: duka nestapa Bidasari berubah menjadi kebahagiaan. Kisah pertama dan kedua membentuk pasangan yang disatukan tema duka =(suka-duka/ suka-duka). Manakala kisah keempat dan kelima turut merupakan satu pasangan, tetapi berkisar pada tema kebahagiaan = (duka-suka/duka-suka). Kedua-dua pasangan berkenaan terletak setangkup dengan mengapit kisah ketiga yang berada di tengah-tengah(Braginsky, 1994: 143). 3.2 Prinsip kedua yang mendasari SB adalah prinsip yang menentukan perkembangan dua tema utama serta mencipta suasana emosionalnya. Tema-tema berkenaan didampingkan bagi melahirkan satu kontras (suka-duka/suka-duka // duka-suka/duka-suka). Suka dan duka silih berganti dalam teks syair untuk turut menciptakan simetri yang mengapit kisah pertengahan, iaitu kisah ketiga dan membentuk sebuah lilitan(Braginsky, 1994:143). 4. Penemuan Teori – Pertengahan kontras antara tema duka dan suka dalam SB menekankan lunas-lunas Islam, suka dan duka watak dikendalikan oleh sahsiah yang terhala – Tuhan Yang Maha Esa, Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Oleh itu Braginsky merumuskan, Dia yang mendengar keluhan semut terseni yang berada di bawah tujuh lapis bumi segera membalas doa ikhlas watak-watak yang telah menyerahkan diri mereka kepada-Nya. Dialah yang menukarkan kebahagiaan penindas kepada kehinaan, dan kesedihan yang terhina kepada kebahagiaan. Dengan komposisi SB tersebut Braginsky merumuskan komposisi itulah wawasan pokoknya, iaitu konsep etikanya dan difahami sebagai mengandungi lingkaran keindahan dan faedah itu(Braginsky, 1994:144). Bahagian II: Dualisme Yang Indah: Pengalaman Membaca Syair Bidasari. Apabila membaca SB, kita ingin kembali kepada hakikat diri sendiri. Dalam proses pembacaan itu kita cuba untuk melenturkan kesan bacaan tersebut melalui kemungkinan-kemungkinan keindahan yang diperolehi. Oleh itu kita membuka diri, membebaskan akal dan hati nurani untuk masuk menelusuri bait-bait syairnya, moga-moga kita dapat larut dalam keindahan tersebut. Hakikat ini cuba dilakukan kerana kita sendiri telah membaca tulisan Muhammad Haji Salleh, “Duka Sengsara Yang Indah: Estetika Melayu Daripada Duka Alam”. Persoalan kita, adakah duka sengsara itu indah, kerana kita sendiri sewaktu-waktu sengsara tidak pernah merasakan indah kecuali sengsara itu datang sebelum kebahagiaan. Yang indah adalah kebahagiaan. Di alam kebahagian itulah yang indah. Dan tentunya puncak segala kebahagiaan itu ialah kebahagiaan ‘bersatu” dengan Ilahi. Kebahagiaan dalam hubungan yang vertikal. Oleh itu apabila kita menempuh kesengsaraan kalau tidak disusuli kebahagiaan, atau kesengsaraan itu berterusan dan berakhir dengan kesengsaraan juga, bagi kita tiada yang indah di situ. Atau sebaliknya kalau kita bahagia yang memanjang, dan tidak pernah merasa erti kesengsaraan, itupun tiada merasai keindahan juga. Jelasnya, kesengsaraan perlu hadir bersama kebahagiaan (Bandingkan dengan kenyataan Muhammad Haji Salleh sebelum ini, “ Duka sengsara lebih memuaskan, lebih jauh jangkauannya. Kegembiraan biasanya agak dangkal, lebih jelas di permukaan dan kita lebih suka mengalaminya daripada menulis tentangnya”(Muhammad Haji Salleh, 1999: 98-99). Lalu kita mengingat pembacaan yang lepas. Najib al-Kilani mengumpulkan takrifan keindahan sebagai sesuatu yang dapat mengembirakan seseorang apabila melihat atau mengamati sesuatu objek, dan keindahan itu juga merupakan janji untuk kegembiraan; merupakan satu perkara yang nisbi(abstrak); dan sebagai satu kemampuan atau kemahiran secara langsung dan bukanlah pengabstrakan yang sunyi daripada kehidupan(Muhammad Bukhari Lubis, 1995:90-91). Lalu kita juga bertanya, adakah ini merupakan prinsip dualisme? Apabila bercakap kepada yang satu, kita akan memikirkan kepada yang dua, begitu juga sebaliknya. Oleh kerana dualisme itu, kita teringat kepada hakikat pembacaan. Dalam membaca syair, kita berhadapan dengan teks syair yang bertulis, sedangkan kita tidak sepatutnya menjadi lupa bahawa syair itu juga sebenarnya diperdengarkan; sudah tentu pula ada kemungkinan-kemungkinan indah yang membezakan antara kita yang membaca teks bertulis syair dengan kita yang mendengar perlaguan lisan teks syair. Keindahan bahasa teks bermuzikal adalah berbeza dengan keindahan bahasa teks bertulis. Walaupun tanpa larut di dalam lagu-laguan syair itu, kita tetap menjangkakan keindahan bahasanya akan lebih mempersonakan dan lebih jauh mendalam pengertian indahnya apabila ia menjadi hidangan telinga: akal, hati dan nurani kita; buat santapan jiwa dan rohani yang mikrokosmos itu. Namun demikian secara dualisme pula, wujudnya transkripsi mikrokosmos adalah kerana transkripsi makrokosmos, begitulah sebaliknya dalam bentuk kewujudan “yin” dan “yang”. Apabila membaca tulisan Braginsky, “Ikan dalam Peti, Peti dalam Kolam atau Keindahan Hati yang Tahu Mengampuni (Syair Bidasari)”, kita tenggelam dalam simetris komposisi syair ini yang diungkapkan oleh Braginsky secara struktural. Dan strukturalnya itu dihubungkan pula dengan rumusan cermin didaktik, “Hati yang Tahu mengampuni” sebagai sfera keindahan dan sfera faedah tersebut. Kita masih merasa belum puas dengan keputusan-keputusan yang dikatakan indah ini. Namun kita akui sedikit sebanyak telah melancakkan hati nurani kita supaya terjun ke dalam bait-bait SB, terokalah keindahan yang mungkin menimbulkan rasa berahi. Untuk itu, kita ingin membebaskan diri sebagaimana kain katun yang terbentang ditiup angin, merasa sejuk dan dingin, merasa panas dan hangat oleh hakikat belaian keindahan itu sendiri. “Ketika hamba-hamba pilihan Allah memperoleh pengetahuan tentang gudang dan khazanah tersembunyi-Nya serta mengetahui bahawa semuanya ini akan terus bertambah tanpa pernah berkurang untuk selama-lamanya, mereka pun bergembira dengan apa yang telah mereka dapatkan dan berusaha mereka tingkatkan. Mereka sangat kuat memegang martabat dan harga diri dan tak mahu menunjukkan apa pun, lantaran cemburu dan takut kalau-kalau segenap misteri atau rahsia itu diketahui oleh ‘yang lain’. Sifat-sifat keunggulan dan keagungan meliputi kesemuanya itu, sementara mereka menyembunyikan sifat-sifat rahmat dan keindahan. Kerana itu, mereka mengalami kontraksi dalam raga-raga mereka, seolah-olah terikat oleh rantai, kerana intesintas kemuliaan, kesabaran menunggu, dan pengingat. Akan tetapi, mereka mengalami ekspansi dalam segenap kalbu dan roh, persis halnya kain katun yang terbentang kerana ditiup angin”(Sachiko Murata, 1996: 109). SB memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Sebagai satu syair tentulah ia merupakan sejenis puisi. Manakala sebagai sebuah puisi ia juga bersifat naratif yang bagi kita adalah satu prosa atau prosaik yang dipuisikan. Sifat SB menjadi cukup istimewa lagi kerana komposisi isi dan wahananya adalah berwajahkan puisi tetapi berdagingkan lipur lara, beruratkan romantis dan bertulangkan didaktik. Bukan setakat itu sahaja, malahan penyebatian SB dilihat lahir dari sintesis-sintesis teks dan zamannya, perbauran antara hakikat zaman yang melahirkannya sendiri. Mungkin sahaja Jawa yang menumpang, Hindu yang menempel, Melayu yang mendokong dan Islam yang mengemudi. Dalam satu aliran kita katakannya kemunculan unsur-unsur intertekstualiti. Dalam aliran yang lain kita katakan sebagai hermeneutik dan kontinuiti sejarah. Dan komponen ini boleh sahaja bersifat lahiriah dan bersifat batiniah. Kebijaksanaan yang pelbagai inilah sintesis keindahan dalam diri kita. Walau bagaimanapun yang menarik dari pelbagai keistimewaan tersebut, tentulah pengolahan bahasanya, keindahan yang dicari oleh penghasil dan penggiat sastera. Yang indah itu bahasa, dan bahasa yang indah itu adalah bahasa yang dapat menyatakan erti kedalaman, kemurniaan, keharmonian, keseimbangan, peraturan dan (kepelbagaian). Kesempurnaan yang indah itu ialah kesempurnaan antara Keindahan dengan Kebenaran(Muhammad Bukhari Lubis, 1995:93). Seawal SB dalam mukadimmahnya sudah dinyatakan sifat keindahan tersebut, dalam konteks keindahan yang mencerminkan dan mencerahkan. Sifat keindahan yang sering menjadi buaian kehidupan hati-nurani manusia Melayu, bahawa itulah kedalaman pada bahasa tamsil-ibarat. Kias-kiasan menjadikan manusia Melayu belajar dari alam yang makrokosmos untuk saling berhubungan dalam pembentukan keintelektualan prinsip mikrokosmosnya pula. Dengarkan tuan suatu riwayat Raja di desa Negeri Kembayat Dikarang fakir dijadikan hikayat Supaya menjadi tamsil-ibarat. (SB:Rangkap.1) Bahasa dan kebijaksanaan kepengaranganlah yang mewujudkan keindahan SB, menjadikannya cukup berkesan dan menyentuh perasaan dan emosional. Sebagai memperlengkapi prinsip simetrikal Braginsky, kita perlu meneroka lebih jauh lagi struktur luaran SB, dan akhirnya akan menampakkan kelibat rasa kedalaman hubungan binaan komposisi SB tersebut atas prinsip dualisme yang indah itu. Dalam prinsip yang dualisme, kita terus dibawa kepada satu peringatan dalam rangkap seterusnya. Orang-orang tua sering mengingatkan jangan terlampau leka dengan kesukaan kerana dalam suka ada dukanya. Keindahan prinsip inilah yang menyatakan peraturan untuk kesempurnaan. Hakikat prinsip dualisme suka dan duka. Signifier(Petanda) itu ada pada rangkapnya; Hairan orang empunya temasya Baginda itulah raja perkasa Sangat tiada merasai susah Entah pada esok dan lusa (SB: R. 3) Daya sugestif suasana dualiti suka-duka inilah yang mempengaruhi khalayak supaya turut berimaginasi bahawa keseluruhan cerita ini akan berpaksikan keseimbangan perjalanan suka dan duka kehidupan manusia. Lantas kita memikirkan yang menjadikan SB ini indah adalah kerana kepengarangannya yang pandai dan bijaksana dalam bermain kata,menyusun bahasa, menghidupkan suasana dalam alunan imaginasi tinggi dan rendah, menjadi santapan lahir dan batin khalayaknya. “Sangat tidak merasai susah, entah pada esok dan lusa”, seperti “imbas muka” kepada apa yang akan berlaku selanjutnya. Kita menganggap ungkapan ini sebagai hentian dalam alunan menaik. Dan sebagai menepati prinsip dualisme, untuk menatapnya dalam keindahan, tentu sahaja akan ada harapan terhadap alunan menurun pula. Dan prinsip ini rupa-rupanya berterusan dalam kepengarangan SB. Selain yang dinyatakan oleh Braginsky(1994), simetris suka-duka dan duka-suka tersebut, banyak lagi unsur-unsur dualiti ini yang bersiratan seperti urat saraf yang berseni itu. Tidak lama selepas itu, mereka(Raja dan Permaisuri Kembayat) berhadapan dengan kedukaan, Negeri Kembayat dilanggar geruda. Baginda yang mendengar sembah, hati menjadi gelabah(SB:R.10); membawa keluarga mencari perlindungan, permaisuri sarat mengandung, melahirkan anak di jalanan, terpaksa pula anak ditinggalkan. Permaisuri menangis, berbelah bahagi, antara kesetiaan kepada suami atau pengorbanan kasih sayang kepada anak yang masih kemerahan itu. Dualisme di sini menuntut pengorbanan dan pengorbanan itu merupakan suatu penyiksaan tetapi sebagaimana hakikat dualisme berpasangan, perpisahan dan pertemuan adat berkasih sayang. Lainlah pulak bicara ayahmu Ia nan hendak meninggalkan kamu Adapun pada hati ibumu Sakitlah meninggalkan kamu Sembilan bulan sembilan hari Ku kandung di dalam diri duri Sekaranglah tuan tinggal sendiri Di manakan tiada hatiku peri (SB: R. 50-51). Di dalam arah yang bertentangan dilihat pertembungan feminin-maskulin. Pengorbanan tersebut tidak hanya kepada hati si ibu yang memilukan tetapi pertentangan rasa dalam diri si suami dengan kudrat Ilahi. Pertembungan dualiti inilah yang mengasyikkan, pengorbanan dalam diri, hati dan nurani kedua-duanya dalam kesatuan yang Esa, kudrat Illahi; kesatuan yang menyaksikan keindahan yang harmonis. Sangatlah menangis tuan puteri Pengsan tiada khabarkan diri Baginda melihat kelakuan isteri Rasanya hendak membunuh diri. Hatinya baginda terlalu peri Diriba baginda kepala isteri Dengan kudrat Khaliq-ul- bahri Puteri pun ingat bangun sendiri. (SB: R. 52-53) Alunan yang pelbagai tadi menyaksikan gerak turun dan naik, sekali duka, sekali suka, begitulah berterusan di dalam kepengarangan SB, seumpama mengikut rentak dan irama muzikal kepenyairan itu sendiri dalam lirik-lirik lagunya, sendunya, turun-naik alunan suara penyampaiannya. Lirik-lirik yang menjadi hidangan telinga ini menjadi imbangan hati nurani, bait-baitnya sebagai hidangan jasmani, manakala suasana suka-duka itulah santapan rohani. Di antara alunan turun-naik tersebut terdapat pula hentian dan pengenduran cerita. Misalnya baris-baris selanjutnya muncul signifier, “Moga-moga didapat orang dermawan”. Sebagaimana sebelum ini dinyatakan, signifier yang bersifat “imbas muka” ini berulangan dalam kepengarangan SB. Petanda baru ini menunjukkan kepada alam makna, duka tadi akan berganti dengan suka selanjutnya. Signifier ini menjadi titik pertemuan antara dualiti suka dan duka tersebut. Keindahan yang berimbang sebagaimana pernah dinyatakan Braginsky(1994), ada simetrikalnya. Khalayak selanjutnya mendengar peri saudagar yang bakal menemui Bidasari, dalam keadaan limpah kurnia dan penuh kemuliaan (SB: R.60). Di dalam contoh yang lain, di akhir episod kedua, petanda “imbas muka” berbunyi, “Adapun Bidasari dalam benua, tiadalah ada bandingannya dua”; Imbangan yang menjadikan episod ketiga, bermula dengan Puteri Lela Sari mencari orang yang mungkin mengatasi tolok banding rupa parasnya. Dia di dalam kesukaan tetapi apabila mendengar berita ada tandingannya, dia di dalam penderitaan jiwa. Berbagai helah dicari untuk mengatasi Bidasari. “Hitam” mencari “Putih”, dan dalam cermin didaktik yang “Putih” itu adalah cahaya kebenaran, manakala yang “hitam” itu kegelapan. Keindahan adalah kebenaran dan kesempurnaannya adalah akhlak dan adab yang “putih” tersebut. Atas dasar dualisme putih-hitam inilah komposisi SB dibina, dan sifat sebegini adalah universal di dalam hasil kesusasteraan kita, sehingga ke hari inipun ia masih dijadikan paksi kepengarangan Melayu. Dalam berhadapan dengan sifat-sifat kepengarangan petanda “imbas muka” tadi, SB menyaksikan petanda “imbas kembali”. Dualisme ini juga adalah perencah keindahan di dalam SB. Di dalam leka membaca tersebut terasa ada alunan-alunan yang sedemikian. Ada masanya kita diberikan tanda-tanda apa yang akan berlaku selanjutnya, manakala dalam masa yang lain pula kita dinyatakan apakah yang telah berlaku sebelumnya,. Keindahan kepengarangan inilah yang menarik bagi kita. Petanda-petanda “imbas kembali” dapat mengendurkan ketegangan, menjadi kesenggangan dan menghidupkan daya imaginasi khalayaknya dalam keasyikan alunan turun naik penceritaan SB tersebut. Dari segi kepengarangan boleh dilihat sebagai menegaskan kembali sesuatu episod penting atau dalam konteks lisan adalah suatu cara ‘memanggil’ kembali jalan cerita dalam ingatannya. Gambaran-gambaran “imbas kembali” tersebut seumpama orang keletihan mendapat peluang menyegarkan badan atau orang kedahagaan mendapat peluang berhenti untuk minum, tentunya mengembalikan kesegaran hati nurani yang sedang asyik dibawa ke sana ke mari oleh penceritaan SB. Misalnya, kesenggangan muncul apabila Saudagar sekelamin “mengimbas kembali” tindakannya melepaskan Bidasari untuk dibawa ke istana dan remuk- redam penderitaan yang dialaminya selama berpisah dengan Bidasari itu. Harapku akan tuan puteri Jadilah aku perhambakan diri Barang kehendaknya sekalian kuberi Membawak persembahan sehari-hari (SB:R. 429) Terlalu sangat harapan beta Sebab kasihnya dayang nyata Kusangkakan sungguh seperti kata Jadilah ku beri ke dalam kota (SB:R. 432) Dalam episod yang lain, kesenggangan dan pengenduran itu memberi alunan penghayatan yang menenangkan; Raja Johan Syah menceritakan kembali kisahnya dua hari menanti Bidasari, berulang-alik dari istana ke tempat persembunyian Bidasari di hutan. Begitu juga penceritaan “imbas kembali” untuk kesenggangan yang sama muncul dalam episod-episod akhir SB, Raja Kembayat di negeri Kembayat melarikan diri ke desa kerana serangan geruda; membawa diri ke Inderapura dan meninggalkan anak di dalam perahu. Tersebutlah perkataan sudah kisah Raja kembayat raja perkasa Dialahkan geruda unggas angkasa Undurlah baginda ke lain desa Ke Inderapura membawa diri Kepada waktulah dinihari Di dalam perahu di pantai negeri Lalu berputera seorang diri (SB: R. 1079 –1080). Bagi sebuah syair yang lahir dalam zamannya berabad-abad yang lampau, langgam kepengarangan begini tentulah sesuatu yang mengagumkan kita. Ciri “imbas muka” dan “imbas kembali” tersebut merupakan dualisme yang menjadikan karya ini indah dari segi zahirnya, manakala dari segi batiniahnya pula mengungkap kesan rasa yang tersendiri (tenang dan asyik) kepada khalayak mahupun pengarangnya. Dalam bentuk-bentuk yang dramatis tentulah ia dapat pula mengendurkan ketegangan alun yang menaik dan menurun sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini. (Untuk berbincang berkenaan teknik kesenggangan yang terdapat di dalam SB, masih banyak yang boleh diperkatakan; misalnya, kaedah sisipan pantun, gambaran temasya, gambaran adat istiadat, gambaran pergerakan dan aksi watak yang bertangguh-tangguh dan seumpamanya, namun bukan pula tujuan kita untuk menyatakan keindahan tersebut di sini). Prinsip-prinsip yang dualitas dan menjadikan SB indah, berterusan mengalir di dalam bait-bait SB, lahir dan batinnya. Menurut simbolisme matematis yang sangat dikenal para pengarang kita, mengatakan satu sama ertinya dengan mengatakan dua, dan mengatakan dua sama ertinya dengan mengatakan satu. Membicarakan hamba adalah juga membicarakan Raja. Maka semuanya itu mengambil kesatuan tertentu. Itulah sebabnya para ahli falsafah dan orang-orang bijaksana berbicara tentang materi dan bentuk. Sebahagian dari mereka berbicara tentang cahaya dan kegelapan, sementara sebahagian lainnya berbicara tentang substansi dan aksiden, baik dan buruk, benar dan salah, pengesahan dan pelucutan, spiritual dan ragawi,lembaran dan pena, pancaran dan akal, cinta dan penindasan, gerak dan diam, eksistensi dan non-eksistensi, jiwa dan roh, pertumbuhan dan kemusnahan, dunia dan akhirat, sebab dan akibat, asal usul dan kembali, atau pembekuan dan pencairan. Segalanya jenis yang berpasangan. Perintah dan larangan, janji dan ancaman, harapan dan ketakutan, kepatuhan dan pembangkangan, pujian dan celaan, hukuman dan ganjaran, halal dan haram, perintah dan aturan, baik dan buruk, indah dan jelek, kebenaran dan kesalahan, kebenaran dan kebatilan(Sachiko Murata, 1996:91-93). Begitulah bagi kita dunia berpasang-pasangan ini adalah satu keindahan. Terjunlah ke dasar bait-bait SB dan kita akan berjumpa dengan keasyikan dari dualisme tersebut. Inilah lumrah hikmah Ilahi yang menjadikan kehidupan manusia itu pancaran segala sifat yang Maha Indah bagi-Nya. Untuk itu, kita terpesona dalam mengatakan alunan-alunan dualisme yang indah tersebut diolah secara berseni di dalam SB. Berbalik semula dari segi kepengarangan SB, seawal bicara kita telah mengatakan ia boleh terjadi daripada sintesis teks zamannya. Kedatangan Islam yang mencerahkan adalah sesuatu kesinambungan yang mudah dicerap oleh daya keintelektualan manusia Melayu. Di samping itu, ramai pula sarjana yang telah mengatakan, keunggulan kewujudan syair dalam tradisi sastera Melayu berpaksikan dakwah Islamiyah. Kehadiran SB tentunya membentuk dari materi lipur lara Melayu yang telah lama berakar umbi dalam kesusasteraan di daerah sini. Kesedaran diri sebagaimana teori, syair-syair Hamzah Fansurilah yang bersifat sufisme itu yang mengasas, melekat dan menyebar dengan luasnya ke daerah-daerah Melayu; menebar syair-syair yang mencari dan meneroka hubungan tersembunyi antara Allah dan makhluk-Nya. SB sebagai syair yang berdagingkan lipur lara. Dalam rangka yang lebih rendah(berbanding syair sufi), dijangkakan SB mempunyai sintesis yang tersendiri. Membina kembali rupa lipur lara dalam bentuk puisi syair naratif adalah mengikut alam keindahan yang manusia Melayu telah senangi sebelum ini. Sintesis tersebut rupa-rupanya mengangkat wirawati sebagi wira, berbanding dengan wira sebagai wira dalam lipur lara. Tentu sahaja kita menganggap citra ini adalah feminisme sifatnya. Sebaliknya dalam prinsip dualisme, feminisme dan maskulin itu adalah titik penyatuan yang sempurna, sepertimana ungkapan yang dinyatakan sebelum ini dalam kerangka berpasang-pasangan, bercakap tentang yang satu, kita juga sebaliknya bercakap tentang yang dua. Keindahan inilah yang diangkat pada zaman kelahiran teks ini, muncul dalam musim kedatangan dan kehidupan yang Islami. Islam itu sendiri secara sintesisnya tidak pernah membezakan antara yang feminisme dengan yang maskulin itu. Dengan sendirinya, Bidasari diangkat dalam cahaya yang baru terpancar di alam makrokosme dan mikrokosme manusia Melayu itu. Sebaliknya juga, wanita itu sendiri sebenarnya sumber keindahan. Untuk menyatakan yang indah, wanita itu sering pula disembunyikan dalam kelembutan dan kesopanannya. Mereka bukan makhluk yang lemah tetapi kerana keindahan itulah yang terselindung di balik kesempurnaan yang membezakan. Seumpama maksud perumpamaan bait-bait penyair Rumi, “Orang mungkin bertanya mengapa sifat-sifat kehebatan dan keunggulan menguasai mereka, sementara mereka menyembunyikan sifat-sifat keindahan, kemurahan, dan rahmat. Kami menjawab: Kerana keindahan, kemurahan, dan rahmat adalah wanita-wanita yang cantik dan menarik. Kerana mereka adalah wanita-wanita yang bebas dan terhijab, maka mereka tetap tersembunyi di balik hijab agar “yang lain” jangan tergoda oleh mereka”(Sachiko Murata, 1996:109, memetik di antaranya, Rumi juga menyebut-nyebut pengungkapan diri keindahan dan kelembutan Allah pada jiwa sebagai wanita dan mempelai perempuan yang cantik). SB sebagai syair yang beruratkan romantis. Keindahan yang terpancar dari cinta adalah keindahan yang kejauhan tetapi dalam kedekatan. Dari sudut pandang yang sedikit berbeza, penghambaan disejajarkan bukan dengan kekhalifahan, melainkan dengan cinta. Kejauhan dan ketakterbandingan menuntut keterpukauan, sementara kedekatan dan keserupaan menuntut keakraban. Keakraban adalah kebersamaan dan kesatuan, dan ini dicapai melalui cinta. Begitu kita mulai berbicara tentang cinta, maka kita pun berbicara tentang perpisahan dan kesatuan(pertemuan). Dalam cinta sendiri, dua hubungan kejauhan dan kedekatan pun hadir di sana. Sekalipun cinta adalah kualitas yang berkaitan terutama dengan keindahan dan kelembutan Allah, ia juga memerlukan keagungan dan kekerasan … dialog antara kelembutan dan kekerasan yang terjadi dalam konteks cinta sang hamba kepada Allah. Dan kerana seluruh alam semesta adalah seorang hamba yang dinafasi dengan cinta, maka segala sesuatu di dalamnya merefleksikan saling pengaruh antara kedua sifat ini. Seluruh pasangan dan kebalikan menemukan – dalam cermin ciptaan – keindahan dan keagungan Allah(Sachiko Murata, 1996:105). Dalam pancaran yang lebih bersifat horizontal, begitu juga kita merasai keindahan percintaan Bidasari dengan Raja Johan Syah. Setahap makhluk yang lemah, mereka bersama-sama menempuhinya, kejauhan dan kedekatan. Dalam suatu ketika, Bidasari pernah terkurung di istana Raja Johan sendiri, tetapi kerana pertemuan itu adalah perpisahan, atau kedekatan itu kejauhan, mereka tidak pernah untuk ditemukan sekalipun di bawah satu bumbung. Keasyikan percintaan ini akan luntur seandainya cinta mereka mudah dipertemukan, tiada lagi keindahan dalam percintaan. Dalam proses percintaan itulah mereka bersama saling menempohinya, antara kelembutan Bidasari dengan kekerasan Lela Sari, menjadi trauma dugaan percintaan yang cukup hebat. Dan keagungan Johan Syah yang merampas kekerasan Lela Sari, akhirnya meragut lambang semangat Bidasari di leher Lela Sari sendiri, membawa simbolisme cintanya ke arah titik kesatuan, kemuncak hubungan percintaan antara dua insan, satu dalam cerminan hamba dan yang satu lagi dalam cerminan khalifah. Kejauhan dan kedekatan mereka didualitikan dengan kelembutan dan kekerasan. Antara cinta Bidasari dan Lela Sari tersebut, dibina pasangan yang dualisme. Antara harapan Lela Sari supaya Bidasari tidak menyainginya, dengan ketakutan yang ditempohi Bidasari sepanjang tempoh kurungan. Antara tawa Lela Sari dengan air mata Bidasari, kegembiraan dan kedukaan, kematian dan kehidupan; kematian siang Bidasari adalah kehidupan siang Lela Sari, manakala kehidupan malam Bidasari adalah kematian buat Lela Sari. Antara kesetiaan Bidasari dengan kekasaran Lela Sari - adalah simbolisme keindahan, asam dan garam percintaan dalam makna kejauhan dan kedekatan. Kepedihan yang dilalui Bidasari itulah kepedihan dari perpisahan dengan kaum keluarganya tetapi dalam masa yang sama telah memarakkan lagi api cinta itu sendiri. Asam di darat, garam(ikan) di laut, di dalam periuk bertemu juga. Antara Bidasari dengan Johan Syah muncul rasa ketakjuban dan keakraban, kemabukan dan kewarasan, kehadiran dan ketiadaan, penafian dan penetapan, penyembunyiaan dan pengungkapan. Semua itu tergambar dalam pujuk rayu dan cumbuan mesra antara mereka. Ketika penyaksian semakin meningkat kadarnya, yang demikian itu membuahkan keakraban … bahawa semakin sering seseorang menyertai sesuatu, semakin akrab pula dia dengannya, sedemikian rupa sampai-sampai dia melihat keakraban sama dengan cinta … Kadang-kadang seseorang takut pada sesuatu, tetapi jika dia melihat sesuatu itu, hatinya pun luluh. Namun secara beransur- ansur dia menjadi berani dan menyembunyikan ketakutannya. Sedikit demi sedikit, dia pun akrab dengan kesengsaraan itu(Sachiko Murata, 1996:109 –110). Sifat keakraban inilah yang dimiliki oleh Bidasari. Dia menjadi takut dengan kehadiran Raja Johan Syah, dalam kemelut jiwa penuh kesangsian. Malahan apabila diketahuinya Johan Syah adalah suami kepada Lela Sari, kesengsaraannya menjadi bertambah luluh. Johan Syah pula datang dengan rasa penuh ketakjuban. Akhirnya Bidasari sendiri berubah menjadi akrab oleh kerana ketakjuban demi ketakjuban Johan Syah tersebut. Dalam kelam ketakutan ada cahaya keberanian pada Lela Sari. Dia berani bertanya kembali, dengan risiko yang bakal dihadapi, menerima cinta suami Lela Sari. (Ketakutan): Mendengarkan kata raja pestari Nyatalah raja di dalam negeri Hilanglah roh Bidasari Takutnya sangat akan tuan puteri (SB: R. 834) (Keberanian): Demi didengar oleh Bidasari Baginda sangat memuji puteri Ia pun geram hati sendiri Hendak berkata rasanya ngeri Daripada siasat baginda sendiri Tiadalah berdaya Bidasari Habislah dikatakan kelakuan puteri Baginda tercengang mendengar peri (SB: R. 880) Keindahan dari suasana keakraban dan ketakjuban kedua insan yang berada dalam percintaan ini adalah disyairkan dengan begitu panjang sekali, dengan alunan menaik dan menurun, pujuk dan rayu, pencungkilan dan pembongkaran rahsia dalam suasana yang melodramatis. Dari segi perjalanan rohani, keakraban dan keterkaguman adalah dua keadaan yang dialami oleh kaum darwisy yang sedang menempuh jalan menuju Zat Mahabenar. Keduanya adalah sebagai berikut: manakala Zat Mahabenar mengungkapkan diri-Nya pada kalbu sang hamba melalui saksi keagungan, maka bahagian yang diperoleh dalam hal itu adalah keterkaguman. Manakala Dia mengungkapkan diri-Nya pada kalbu sang hamba melalui saksi keindahan, maka bahagian yang diperolehnya dalam hal itu adalah keakraban. …. Golongan lainnya berpendapat bahawa keterkaguman menyertai kesengsaraan, perpisahan, dan hukuman, sementara keakraban adalah buah dari kesatuan dan rahmat(Sachiko murata, 1996: 111-112). Kita melihat keterkaguman Johan Syah kepada keakraban Bidasari, menjadikan SB memancarkan erti dualisme keindahan tersebut. Keasyikan terhadap perasaan cinta, menjadikan dia lupa hakikat dirinya sendiri. Johan Syah kemabukan, berani menyelak kelambu, menyingkap selubung Bidasari yang sedang nyenyak di tilam, hilang akal di dalam dada, hilanglah roh di dalam cita, lalu dipeluk dan dicium Bidasari. Perlakuan Johan Syah yang berada di dalam keterkaguman ini adalah ibarat keterkaguman yang ditakrifkan sebagai sikap yang tepat bagi jiwa atau nafsu, bertentangan dengan keakraban(Bidasari), iaitu sikap yang tepat bagi roh atau relung misteri. Bertentangan dengan roh, jiwa(nafsu) tersebut adalah mewakili kecenderungan yang lebih rendah, gelap, turun dan jahil dalam diri manusia; sebaliknya roh adalah mewakili dimensi yang lebih tinggi, terang, naik dan cerdas. Oleh kerana jiwa(nafsu) itu gelap dan rendah, maka ia jauh dari Allah, kerana roh itu terang dan tinggi maka ia dekat dengan Allah(Sachiko Murata, 1996:112). Sebaliknya juga kita melihat keakraban dan keterkaguman ini sebagai kemuncak keindahan SB. Kemuncak pertemuan antara dua insan dalam percintaan di daerah kesatuan, keharmonian dan kemurnian. Bidasari dan Johan Syah adalah pancaran keindahan yang berseni, antara hamba dengan rajanya. Dualisme ini boleh diringkaskan oleh dua istilah kunci dalam Al-Qur’an: hamba (‘abd) dan wakil (Khalifah). “Kami telah mengatakan bahawa Islam memandang kekhalifahan sebagai keadaan manusia paling tinggi dan luhur, tujuan kehidupan manusia … Bahawa kekhalifahan adalah sebuah sikap sempurna “yang” terhadap kosmos yang mempunyai – sebagai komplemennya yang penting dan tidak boleh dipisahkan – sikap sempurna “yin” terhadap Allah. Perhambaan dan kekhalifahan adalah dua sisi mata wang yang sama, Tambahan lagi, penghambaan mempunyai keutamaan tertentu atas kekhalifahan, sebagaimana halnya Akal memiliki keutamaan tertentu atas Pena. Sekalipun Akal dan Pena identik, Pena baru boleh menulis jika Akal beroleh anugerah dari Allah. Begitu pula, manusia baru boleh menjadi wakil-Nya yang benar bila mereka memasrahkan diri pada kehendak Allah”(Sachiko Murata, 1996: 39 –40). Bidasari adalah lambang hamba yang penuh sopan-santun dari perilaku yang beradab. Johan Syah adalah keterkaguman, ibarat kekasihnya yang ingin mengatakan kepada kekasih sesuatu yang ingin dikatakan dan melakukan sesuatu di hadapan kekasih sesuatu yang ingin dilakukannya. Mereka bertemu dalam apa yang dikatakan oleh pengarang kita, cinta, rahmat, kebaikan, kelembutan, anugerah, dan keindahan Allah melahirkan keakraban. Sebaliknya pula kita (bandingkan dengan pembawaan Bidasari) terkagum-kagum berdiri di hadapan raja, kita sangat berhati-hati melakukan segala sesuatu yang tepat dan benar. Kita (di dalam SB ini ialah Bidasari) menjalankan segala tata krama kerajaan, semua sopan santun dan perilaku yang baik(adab).(bandingkan pula dengan konsep keakraban dan keterkaguman yang telah dinyatakan sebelum ini; Sachiko Murata, 1996: 113 –114). Dalam rangka yang lain SB didapati mempunyai kesamaan dengan puitika kerohanian, bersifat puitika deskripsi yang aktif emosional. Puitika ini memberikan kemungkinan seakan-akan “memurnikan “ efek yang yang diperlukan untuk menghapuskan kemasyghulan jiwa dari pernyataan-pernyataannya yang beraneka ragam, dan kemudian menerapkan efek tersebut dalam bentuk hakikinya ke dalam jiwa pembaca … Sedangkan untuk peringkat kalbu rohani dikhususkan “puitika citra pelambang meditatif”. Citra pelambang ini merupakan sebuah konstruksi yang penuh kontroversi dalam, serta mengandung “benih-benih” pemusnahan dan penghapusan sendiri melalui proses perenungan (musyahadah) yang intensif(Braginsky V.I, 1993:35, 47-49, 56 –57, 66-67). Sebagai pembaca SB, ada ketikanya kaedah dualisme yang telah dibincangkan sebelum ini membantu kita melihat watak Bidasari yang dalam perjalanan Rohani, penuh meditatif terhadap Ketuhanan. Dalam titik-titik pembawaannya terutama sepanjang tempoh kesengsaraan, dan sebelum dia mendapat kebahagiaan sebenar, Bidasari telah melakukan seumpama meditatif terhadap penghapusan diri sendiri. Dalam proses perenungan terhadap kesengsaraannya, kita menyaksikan penyerahan dirinya dengan membongkar rahsia semangat diri yang menumpang di dalam ikan. Dualisme yang menimbulkan benih-benih pemusnahan diri dalam kemuncak kesengsaraan jiwanya dan dipuncak ini, dualisme yang menyatu adalah meditatif hidup dan mati sama sahaja. Bidasari dalam rangka meditatif bermohon “membunuh diri”; Itu pun dengan kudrat-Mu belaka Di dalam dunia merasai neraka Daripada hidup dengan celaka Anggurlah mati hamba-Mu suka Engkau Tuhan Rahim dan Rahman Matikanlah hamba-Mu serta iman Puteri pun tiada menaruh iman Tiada menurut hadis dan firman Ya Ilahi matikan hamba Sakit tak kurang mangkin bertambah Hati hamba-Mu sangat gelabah Warna yang safa hitam berubah (SB;R. 330 – 332). Dengan dualisme kita boleh tenggelam ke dasar keindahan yang dimiliki SB, walau bagaimanapun keindahan itu sendiri ternyata bersifat nisbi; keupayaan menafsir gaya bahasanya yang puitis dan menghayati bersama kepengarangannya yang bijaksana adalah cukup bermakna untuk merasai keindahan itu. Masih banyak isi dan wahananya yang boleh diteroka dari sudut keindahan penciptaan . Misalnya kejayaan pengarangnya meneroka gambaran hati manusia, pergolahan rasa terdalam di dalamnya yang jauh menyelam ke lubuk jiwa manusia yang mendokong puisi naratif ini; diperlengkapkan pula dengan unsur-unsur tegang(suspen) dan dramatisasi. Manakala bahasa karangannya banyak yang puitis dengan metafora dan figuratif, menghidupkan suasana yang digambarkan dan menggerakkan imaginasi khalayaknya. Selain itu, kebijaksanaan pengarang melukiskan suasana dan situasi kegemilangan adat istiadat, peraturan dan kepelbagaian dalam temasya juga menunjukkan keindahan lahiriah SB ini. Tidak kurang pula ungkapan-ungkapan dan gambaran-gambaran suasana dan perlakuan yang penuh kesopanan yang diolah dalam hubungan yang horizontal – hamba dengan rajanya, dayang dengan tuannya dan anak dengan orang tuanya. Kesopanan dalam memperkenalkan diri dan batas-batas kesopanan dalam menggambarkan keindahan erotisme dapat pula menarik suasana harmoni dan murni yang cuba digambarkan oleh penyair SB. Keintelektualan kepengarangan menyusun dan mengatur kata-kata itulah yang berseni; Baginda melihat terlalu suka Melihatkan nuri berjenaka Setelah sudah malam kutika Pintu birahi sekalian terbuka Hari pun sudah tengah malam Terlalu Siti di atas tilam Bunga zaiton sundal malam Baunya semerbak memutar alam Bidasari beradu berhati duka Kainnya tergelingsir pinggang terbuka Rupanya seperti tarik angsoka Baginda mencium melakukan suka Mercalah Siti Bidasari Sampailah waktunya dinihari Zam-zam durja berseri-seri Melihatlah anak-anakan bidadari Lalailah menentang af’al Allah Leka memandang sifat-ul-Allah Hal merasai nikmat Allah Bagaikan lenyap seolah-olah. (SB: R. 1031-1035). Penutup Dualisme itu adalah keindahan; sesekali kita ditarik keluar kepada hakikat lahiriahnya dan sesekali kita ditolak ke dalam makrifat batiniahnya. Dalam keasyikan berahi menjejaki dan larut di dasar keindahan Syair Bidasari, ada waktunya kita hilang bentuk. Itulah keindahan yang meresap, bersebati dan menyatu dalam keindahan tersebut. Akhirnya kita lupa hakikat diri, apabila sesekali kita di alun ke kiri, sesekali di alun ke kanan, ke tengah dan ke tepi, ke atas dan ke bawah. Dualisme akhirnya bersatu dalam ketunggalan, bersemadi dalam keasyikan dan berahi keindahan hakikat diri. Namun demikian antara kita, kosmos dan Allah, kehakikian abadi adalah tetap milik Allah; kita dan kosmos hanyalah khazanah tersembunyi yang menyatakan kewujudan-Nya. [1] Muhammad Haji Salleh, 1999, Menyeberang Sejarah – Kumpulan Esei Pilihan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 84 –85.dipetik; Manusia Melayu yang tinggal di pinggir hutan, belayar di laut lepas, di sungai yang sepi berdindingkan bakau, nipah atau rumbia, dan bersawah di antara bukit dan alam yang keseluruhannya bergantung pada aliran air dan cuaca. Dalam peribahasa dan karya, mereka seperti menyimpulkan bahawa manusia(Melayu) itu makhluk kerdil dan daif. Latar hidupnya iaitu hutan atau lautan adalah maha besar dan maha luas. Dia harus mengatur hidup dan harinya supaya sesuai dengan rentak alam ini yang mungkin tidak memperlihatkan suatu sikap yang simpatetis terhadap manusia kerdil ini. Kerap pula dia dipermainkan oleh musim, unggas dan binatang. Di atas segara, di dalam perahu rapuh dan tipis, di tengah hutan yang dingin dan menyimpan rahsia serta bahaya, di balik pohon-pohon tua dan tersergam, dia tidak akan dapat melupakan atau menafikan hakikat kekerdilannya ini. Pandangan hidup yang tercipta di sepanjang sejarah orang-orang Melayu pramoden timbul daripada manusia daif ini. Pandangan ini praktis sifatnya kerana dia harus “survive” di dalam dunianya yang tidak begitu bermurah hati, tetapi di pihak lain dia tidak mungkin memiliki rasa yakin diri, yakin akan kepentingannya di tengah alam luas. Mungkin sewaktu di tengah laut atau sewaktu menangkap ikan, atau di pondok sementara menunggu padi masak dia selalu mengenang akan nasibnya yang dirobek oleh semua ini. Tambahan pula penyakit Tropika yang berbagai-bagai jenis itu cukup mudah menjangkitinya, dengan akibat yang cukup parah. Di belakang segala gerak peristiwa alam dan manusia purba Melayu ada dewata, dan apabila mereka menjadi Muslim, mereka bergantung kepada Allah Taala. Nasib dan takdir, mereka maklum, tidak pernah dapat dipastikan. Tuhan telah menentukannya sebelum ini. Maka semuanya diserahkan kepada dewata atau Tuhannya. Segalanya telah ‘tersurat’ dengan kuasa kepastian. Karya sasteranya dengan setia memerikan kembali derita dan kesusahan manusia sepanjang hidupnya. Kadang-kadang mereka meminta supaya nyawa mereka dipendekkan, seperti Siti Bidasari, yang tidak dapat menahan sengsara. Kadang-kadang menyoal dewata dan Tuhan tentang nasib mereka yang ditakdirkan sedemikian buruk dan malang. Bibliografi: 1. Braginsky, V.I. 1993. Tasawuf dan Sastera Melayu – Kajian dan Teks-teks. Jakarta: RUL. 2. Braginsky,V.I. 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 3. Braginsky, V.I. 1998. Yang Indah, Berfaedah dan Kamal – Sejarah Sastra Melayu dalam Abad 7 – 19. Terjemahan Hersi Setiawan. Jakarta: Indonesian – Netherland Cooperation In Islamic Studies (INIS). 4. Jamilah Hj. Ahmad(ed.). 1989. Syair Bidasari. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 5. Muhammad Bukhari Lubis. 1995. “Estetika Kesusasteraan Islam: Beberapa Pengamatan” dalam Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti. S.Jaafar Husin(ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 6. Muhammad Haji Salleh. 1999. Menyeberang Sejarah – Kumpulan Esei Pilihan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 7. Muhammad Haji Salleh. 1989. Puitika Melayu – Suatu Pertimbangan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 8. Murata, Sachiko. 1996. The Tao of Islam – Kitab Rujukan tentang Relasi Gender dalam Kosmologi dan Teologi Islam. Terjemahan Rahmani Astuti dan M. S. Nasrullah, (A Source Book on Gender Relationship in Islamic Thought, State University of New York Press, 1982). Bandung: Penerbit MIZAN. 9. Teuku Iskandar. 1995. Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad. Brunei: Jabatan Kesusasteraan Melayu Brunei Darussalam.

Sunday, November 7, 2010

Menang di Galas dan Batu Sapi. PRU 13 masih Berhantu?

Saya ingin komen sedikit berkenaan PRK Galas dan Batu Sapi. BN menang tetapi jangan ingat rakyat sudah berubah angin. PRK di kedua-dua tempat adalah berbeza dengan PRU. Jawapannya kerana pengundi di PRK itu masih dahagakan pembangunan di luar bandar. Keperluan prasarana diri dan setempat menyebabkan mereka memilih BN.

Bagaimanapun, PRU akan datang adalah berbeza sama sekali. Pengundi muda tidak memperdulikan pembangunan. mereka mementingkan integriti. Sisi kecil ini jika tidak diperhatikan ia akan menjadi hantu yang menakutkan dalam PRU akan datang.

Masalah Rasuah misalnya merupakan perkara pokok yang mengancam BN. Rasuah di dalam sistem pentadbiran kerajaan mesti dihapuskan. Keselamatan negara terabai kerana bukti-bukti penangkapan di pintu masuk negara semakin berleluasa seperti KLIA, LCCT, pelabuhan dan sempadan. Rasuah dalam kalangan pegawai imigresen, kastam, polis, JPJ, dan PBT merupakan contoh yang sering digunakan. Akhir-akhir ini pejabat pendaftaran pun ikut dilibatkan. Ini belum termasuk sempadan perairan negara yang bocor. Isu pemerdagangan manusia. Isu dadah yang dikaitkan dengan rasuah. Dan isu-isu kecil lain yang diheret dengan gejala rasuah sehingga pemberian bantuan rumah PPRT di kampung-kampung sekali pun merupakan duri dalam daging bagi parti pemerintah. Isu-isu besar sehingalah yang sekecil-kecilnya tentang rasuah mendapat perhatian utama generasi muda.

Apabila pasukan keselamatan tidak memainkan peranannya secara baik, tidak tegas, tidak amanah dan mengamalkan rasuah bersistematik; akibat rasuah dan isu pemerdagangan manusia, mengambil kira rasuah dalam parti di peringkat cawangan juga, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terhakis.

Di akhbar dan media saban hari komen rakyat tentang kemasukan dan koloni imigran yang bebas dan berleluasa menguasai beberapa kawasan penempatan setempat merimaskan kesejahteraan rakyat. Oleh itu salah satu simbol kolektif protes rakyat terhadap kegagalan fungsi pihak keselamatan adalah ditujukan kepada pihak kerajaan yang memerintah. Krisis kepercayaan ini dibantu oleh berita di pelbagai media; dengan demikian, undi protes tentang isu integriti tidak boleh dipandang ringan oleh parti pemerintah. Gelombang kolektif rasuah merupakan indeks ketidakpuasan hati rakyat, terutama di hati pengundi muda yang akan ditunjukkan melalui undi dalam PRU akan datang. Undi itu akan diterjemahkan sebagai satu bentuk celaan kepada keberkesanan pasukan keselamatan dan kakitangan penguatkuasaan negara.

Sunday, August 29, 2010

Diaspora Cina Bersatu

Disiarkan Utusan Malaysia (23 Ogos 2010, hlm. 10) dalam versi yang diedit dengan judul "Diaspora Cina Bersatu Seluruh Dunia"

Judul ini dipilih untuk menggambarkan kekuatan persatuan Cina yang sentiasa mementingkan persatuan dalam kalangan mereka tidak kira di mana mereka berada. Secara simbolisnya kita ingin membandingkan bagaimana Melayu sukar untuk bersatu dan pergerakan Melayu jika tumbuh hanya diprasangkakan berkepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu. Sedangkan persatuan Cina secara tradisi dan sejarahnya sangat kental dengan kehidupan berpersatuan, walaupun mereka sebenarnya dalam diam-diam lebih halus beragenda. Ini merupakan seumpama seni Sun Tzu, yang hidup diamalkan sejak 2,400 tahun silam sebagai satu seni strategi dalam kebudayaan masyarakat Cina. Oleh itu desakan mereka sentiasa didengar oleh pemerintah. Sikap tribal walaupun ke tahap kongsi gelap merupa asas penting kaedah masyarakat Cina dalam berorganisasi, sekali gus mampu menggerakkan secara kolektif hasrat kumpulan mereka. Negara Tanah Besar China memanfaatkan ketaatan berorganisasi atau sistem tribal ini untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, dan juga dimanfaatkan untuk membantu pembangunan negara China sejak “Dasar Buka Pintu” mereka.

Secara sejarah, gerakan diaspora Cina mula diikhtiraf oleh negara China Tanah Besar, sejak abad ke 16 dan ke 17. Kebanyakan mereka merupakan penghijrah yang berasal dari daerah pesisir sebelah Tenggara dan Selatan China, iaitu dari Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Dianggarkan lebih 42 juta Diaspora Cina yang kebanyakannya berhijrah ke Asia Tenggara. Paling ramai di Singapura, dan selebihnya menjadi warga di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Atas faktor perkembangan pembangunan dan ekonomi dunia yang baik menyebabkan mereka juga berhijrah ke Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Hawaii, Kanada, dan sebahagian besar negara-negara Eropah. Penghijrahan ini berlaku secara berperingkat-peringkat pada abad ke 19 dan abad ke 20. Namun demikian tanpa disedari, data-data mutakhir menunjukkan masyarakat Diaspora Cina yang terbesar dari segi peratusan sekarang ini, iaitu sebanyak lebih 12.1 peratus yang berada di benua Asia adalah menduduki negara Malaysia. Berbanding masyarakat Cina diaspora yang berada di Singapura yang hanya sekitar 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Asia.(Data statistik New World Encyclopedia).

Kekuatan hidup berpersatuan menyebabkan Diaspora Cina sentiasa menjalinkan jaringan antara mereka. Dalam sistem perbankan ditubuhkan Chinese Overseas Bank sejak tahun 1942 untuk menjaga sistem kewangan pemodal-pemodal berbangsa Cina. Hubungan ini bukan sahaja secara wilayah dan etnik yang pelbagai dari Tanah Besar China malahan hubungan kekeluargaan yang berasaskan tradisi kebudayaan. Chinese Overseas atau masyarakat Diaspora Cina ini menggerakkan persatuan-persatuan kecil dari peringkat persatuan pekerja, persatuan peniaga kecil, persatuan etnik, persatuan berbentuk kekeluargaan sehinggalah persatuan peniagaan yang bersifat makro. Mereka mengadakan Festival Diaspora secara besar-besaran di seluruh dunia. Dari pertandingan kraf sehinggalah ke pertandingan lagu-lagu moden untuk menyatukan jutaan perasaan kolektif bangsa Cina. Malahan pertandingan sebelum menyambut Tahun Baharu Cina akan diadakan di seluruh dunia secara sepakat dengan menjemput masyarakat Cina dari Tanah Besar dan masyarakat Cina yang berdiaspora. Sydney dan New York pernah mengadakan program ini. Kekentalan rasa penyatuan ini bukan lagi rahsia bagi masyarakat global kerana masyarakat Cina sejak awal-awal tamadun manusia telah mencatatkan pergerakan rasa kekitaan yang tinggi sesama mereka.

Oleh kerana penyatuan itu juga dunia menyaksikan masyarakat Diaspora Cina menguasai ekonomi di seluruh negara di Asia Tenggara. Mereka memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Asia Tenggara dan memainkan peranan penting dalam memastikan kekuasaan politik kaum Cina. Malahan dengan kuasa ekonomi, mereka juga membantu memberikan sumbangan dana yang besar kepada Tanah Besar China sejak berlakunya Revolusi China pada tahun 1911. Justeru itu kita akan menyaksikan kekuasaan masyarakat Cina akan dijanakan oleh kuasa ekonomi dan kuasa politik. Masyarakat Diaspora Cina sehingga ke hari ini mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli kabinet serta ahli politik di China. Buktinya kepentingan masyarakat Diaspora Cina ini diikhtiraf dengan adanya setiap jabatan dalam Kementerian dalam kerajaan China yang menubuhkan bahagian-bahagian yang menjaga kepentingan Diaspora masyarakat Cina di seluruh dunia.

Wilayah-wilayah yang mendapat bantuan secara langsung dari ahli-ahli perniagaan Cina seberang laut termasuklah Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Sewaktu kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2008 dan 2009, China dapat keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi kerana faktor-faktor aliran masuk pelaburan luar yang dibawa oleh Diaspora Cina global itu. China dengan pantas mencapai pertumbuhan KDNK lebih 10 peratus setahun, walaupun sejak akhir-akhir ini terperangkap dengan ikatan sistem matawangnya. Namun kesetiaan Diaspora Cina secara berterusan mengalirkan pelaburan mereka ke Tanah Besar merupakan satu suntikan dana yang berbilion dollar merupakan penyelamatan ekonomi China dari merudum. Dari Asia Tenggara sahaja dipercayai ahli perniagaan mereka yang terdiri daripada Raja Gula, Raja Getah, Raja Keluli dan Raja Hartanah telah membawa keluar wang secara besar-besaran untuk melabur ke Negara China, secara tidak langsung menyelamatkan nilai matawang mereka dari nilai matawang Asia Tenggara yang merosot teruk terdampak dari krisis gadai janji yang melanda Amerika baru-baru ini. Dipercayai sistem yang sama akan digunakan apabila krisis kewangan yang sekarang ini sedang melanda negara-negara Eropah, kesan krisis teruk di Greece dan Itali.

Dengan itu juga jika kita melawat Wilayah-Wilayah Selatan dan Timur China sekarang ini, kita akan dapat menyaksikan pembangunan yang pesat dalam pelbagai sektor terutama sektor hartanah, perkilangan dan pembangunan perkhidmatan awam. China sejak akhir-akhir ini menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10%, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil. Malahan kerana cepatnya China pulih dari kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia pada tahun 2008 -2009, mata spekulator seluruh dunia terpaksa dibeliakkan untuk melihat mampukah China mengatasi kuasa unilateral seperti Amerika? Banyak isu-isu antara kedua buah negara yang menjadi sensitif sejak akhir-akhir ini, termasuklah amaran Google untuk keluar dari enjin pencariannya di China, desakan Dalai Lama, pemimpin kerohanian Tibet yang nampaknya seperti menyokong Google, lawatan Dalai Lama ke Amerika yang banyak mengeluarkan kenyataan berbau politik dan menyentuh sensitiviti negara China, isu penjualan senjata Amerika ke Taiwan dan lain-lain isu hubungan dua hala yang sering dibincangkan sejak mutakhir ini. Ternyata sumbangan penting The Chinese Overseas sangat memainkan peranan dalam pembangunan mental dan fizikal rakyat dan negara China. Bukan sahaja pembangunan The Park dan Universiti tetapi juga terdapat ratusan imej sumbangan dana daripada Chinese Overseas yang mengalir masuk ke negara China terutama sejak amalan dasar terbuka negara China. Hal ini sangat membantu China dalam meningkatkan ekonomi warganya. Kesan tersebut cepat berlaku dan beberapa imigran rakyat China yang berada di luar negara sempat kami temui sewaktu di Fujian baru-baru ini, dan berbual ketika sarapan di hotel serta pertemuan singkat ketika berada di Kompleks Supermarket termasuk dari warga yang menetap di Indonesia, Amerika dan Hawaii. Mereka ternyata pulang ke kampung untuk sama-sama apabila meraikan sambutan Tahun Baru dan ada yang sengaja bertujuan untuk mengesan sejarah asal usul nenek moyang mereka. Sungguh mengkagumkan bagaimana masyarakat Chinese Overseas yang begitu sayangkan negara asal nenek moyang mereka. Oleh itu terbukti bagaimana sikap orang-orang Cina yang begitu bangga memiliki leluhur asal negara China.Teori mengatakan Chinese Overseas membangunkan ekonomi negara China adalah benar. The Rizal Memorial Park di Fujian dianggap Hero Diaspora adalah salah satu bukti dari ratusan pembangunan yang ada disokong Chinese Overseas. Kami juga melawat Muzium Jinjiang, yang sedang mengadakan pameran Jin Jiang Overseas Chinese History Overseas yang membariskan ratusan gergasi tycoon dunia termasuk sekarang ini menguasai dunia perniagaan di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Eropah yang ternyata sangat dibanggakan warga China.

Tuesday, July 27, 2010

Mempersoalkan Nasionalis?


Hashim Ismail

(Disiarkan Utusan Malaysia, 12 Julai 2010, hlm. 11, dengan judul Usah Persoalkan Nasionalis)

Banyak pihak mula mempersoalkan kerelevanan nasionalis. Mereka menganggap Assabiyyah, bagaimanapun faham bahawa mencintai watan adalah tuntutan agama. Wacana yang berasaskan nasionalis dianggap perkauman atau pro chauvinist. Perangkap di sebalik prinsip-prinsip globalisasi, ketelusan, kebebasan bersuara, hak hak kemanusiaan menjadi obor bagi mencabar pemerintah, sama ada dengan tujuan yang baik atau dengan tujuan untuk mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Situasi politik, dan situasi ekonomi sangat mempengaruhi kebangkitan suara-suara ketidakpuasan, dan merebak secara cepat dan mudah mendapat pengaruh di media internet serta media alternatif. Keadaan kemelesetan ekonomi akan menambahkan lagi desakan dan suara-suara protes. Masyarakat sangat sensitif terhadap soal kewangan. Perkembangan semasa dalam krisis ekonomi di Eropah, kecelaruan ekonomi Amerika dan China, memburukkan lagi ekonomi dunia. Kesannya Malaysia juga sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi. Dalam masa terdekat dijangkakan ”The External Uncertainty” akan membawa Malaysia ke ambang inflasi, sekaligus akan memungkinkan Bank Negara menaikkan kadar faedah. Kesannya akan menyebabkan sedikit kemakmuran tergugat. Dan kita pasti bahawa ada pihak yang akan menyalahkan pihak lain dalam keadaan yang celaru tersebut. Suara protes akan meningkat kerana gangguan ekonomi. Pihak yang menguasai ekonomi tidak akan senang duduk. Pihak ini akan mencabar mitos GLC dan mitos UMNO mengawal ekonomi negara. Maka mereka berpaling tadah kepada imaginasi ekonomi pihak pembangkang. Sistem perundangan, sistem penguatkuasaan dan kehakiman akan dilihat korup. Krisis kepercayaan dan krisis keyakinan akan meningkat. Ini merupakan cabaran besar terhadap membina negara bangsa.

Di manakah relevannya Nasionalis dalam situasi ini? Perjuangan cintakan negara akan berubah kepada perjuangan mencintai jati diri dan kenegaraan. Bukankah pemikiran ini juga merupakan pemikiran nasionalis. Semangat kebangsaan dan obor patriotisme dihidupkan bertujuan untuk membina kesedaran pihak-pihak yang menguasai politik dan ekonomi supaya memikirkan sejarah panjang yang terbina, kesedaran terhadap neo-nostalgia masa lalu yang mungkin sangat tidak disukai dan tidak difahami oleh generasi muda. Bahayanya ialah ramai anak muda yang tidak mengerti akan kesengsaraan duduk di bawah pemerintahan orang asing.

Dalam situasi ini pentingnya semua pihak berfikir untuk mengekalkan kemakmuran negara. Yang pastinya juga mengekalkan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial. Sekarang inilah masanya, semua pihak pemerintah dan pembangkang harus berlandaskan prinsip membahagikan “Samarata Kemakmuran untuk Rakyat”. Untuk itu semua kaum harus memahami inspirasi kebangsaan, inspirasi nasionalis yang kita tidak boleh lari dari memahami kembali jalur sejarah dan kesan perkembangan politik dan bentuk ekonomi yang dihasilkan oleh peninggalan kolonial. Ini termasuk pola-pola bandar dan luar bandar.

Permintaan dan desakan yang melampau pada hari ini yang kita dengar oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya akan mecetuskan ketidakstabilan kemakmuran yang dikecapi bersama. Oleh itu apabila masyarakat Cina dengan pelbagai persatuan meminta secara berlebih-lebihan, maka akan muncul ratusan persatuan-persatuan Melayu yang akan menuntut untuk Kemakmuran Bersama bagi mempertahankan hak mereka. Tuntutan itu akan datang dari jauh dari daerah-daerah pendalaman kerana kesedaran yang meningkat. Fenomena ini adalah lazim dalam negara yang sedang berhadapan dengan krisis politik dan krisis ekonomi. Itali dan Rusia pernah mengalami situasi yang sama pada abad-abad lampau. Sehinggakan dunia menyaksikan kebangkitan tokoh pemikir seperti Marxis dan Musolini.

Perubahan dalam pihak yang memerintah sangat diperlukan dalam situasi sekarang. Dan cabarannya bukanlah mudah. Pembuktian terhadap dasar kesamarataan kek ekonomi adalah satu senjata yang perlu dipercepatkan. Secara sejarah, negera-negara yang jatuh dan dibangunkan semula adalah hasil gerakan rakyat. Dan gerakan rakyat adalah revolusioner yang tidak siapa dapat jangkakan, bom waktu akan meletup jika Kemakmuran tidak diagihkan sama rata. Memenangkan pihak tertentu akan menaikkan kemarahan rakyat. Kita tidak mahu ada pihak yang menggelarkan pihak lain sebagai primitif dan satu pihak lagi menggelarkan pihak lain pula barbaric. Cetusan-cetusan sebegini adalah kelemahan kita sendiri. Oleh itu ekosistem politik dan ekosistem ekonomi ini perlu distrategikan satu persatu. Ya, Konsep Satu Malaysia adalah salah satu jawabannya, tetapi jangan sampai Konsep Satu Malaysia disalah tafsir kerana keterbukaannya.

Dengan itu gerakan-gerakan kesedaran tentang bahayanya masyarakat Malaysia tidak memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara akan menyebabkan api kemarahan kaum akan marak dengan cepat. GAPENA merupakan sebahagian NGO yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan Semangat Nasionalis itu hidup dalam wadah baharu, iaitu dengan menerangkan elemen-elemen perpecahan yang timbul sekarang ini kerana kita tidak faham Jati Diri dan Kenegaraan. Membina negara bangsa dalam bentuk menjaga Kemakmuran bersama yang Adil dan Saksama. Justeru itu juga Konsep Satu Malaysia itu adalah bahaya jika ditafsirkan secara berpihak. Konsep Satu Malaysia hendaklah berasaskan Meratakan Kemakmuran yang sebenarnya telah diletakkan pada semangat Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Perlembagaan Persekutuan. Anak-anak kita harus ditanamkan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan itu demi kemakmuran yang merata dan keadilan sosial.

Untuk parti-parti Melayu, landaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapkan sebagai tonggak perjuangan. Kita perlukan keadilan sosial dalam imej kepelbagaian Kaum yang ada di dalam negara. Zaman orang mendesak itu dan ini. Kita membuka diri untuk lebih bersifat rasional. Terasnya ialah terhadap permuafakatan sejarah yang telah sedia wujud dan Islam merupakan agama yang meletakkan asas keadilan sosial itu. Orang lain mungkin khuatir dengan istilah kemelayuan atau kebangsaan sekali pun, namun Islam adalah contoh pembawaan keadilan sosial dan merupakan tamadun yang universal. Oleh itu Melayu mempunyai Islam sebagai satu permuafakatan.























Sunday, March 7, 2010

The Rizal Memorial Park di Jinjiang, China: Apa dan Mengapa?


Hashim Ismail








Hashim dan John, pegawai CPAFFC Beijing
Pengenalan
China sejak akhir-akhir ini menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10%, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil. Malahan kerana cepatnya China pulih dari kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia pada tahun 2008 -2009, mata spekulator seluruh dunia terpaksa dibeliakkan untuk melihat mampukah China mengatasi kuasa unilateral seperti Amerika? Banyak isu-isu antara kedua buah negara yang menjadi sensitif sejak akhir-akhir ini, termasuklah amaran Google untuk keluar dari enjin pencariannya di China, desakan Dalai Lama, pemimpin kerohanian Tibet yang nampaknya seperti menyokong Google, lawatan Dalai Lama ke Amerika yang banyak mengeluarkan kenyataan berbau politik dan menyentuh sensitiviti negara China, isu penjualan senjata Amerika ke Taiwan dan lain-lain isu hubungan dua hala yang sering dibincangkan sejak mutakhir ini. Apakah hubungannya dengan The Rizal Park di Jinjiang, China? Teorinya ialah untuk memahami keseluruhan, fahamkanlah bahagian-bahagian kecil dari keseluruhan tersebut.

The Rizal Memorial Park yang terletak di Jinjiang, China merupakan satu kebanggaan setempat yang dikaitkan dengan semangat kebangkitan nasionalis berbangsa Cina. Jose Rizal walaupun dibesarkan di Filipina, dan menjadi hero perjuangan melawan penjajahan Sepanyol, namun merupakan imej kolektif yang dikongsi bersama, bukan sahaja kebanggaan penduduk kampung Singque, Jinjiang asal nenek moyangnya, malahan wilayah Fujian yang lebih besar, dalam bahagian Selatan China. Imej Memorial Rizal tersergam gagah di bandar Jinjiang, di sebelah kampung asal datuknya.Memorial Rizal mendapat perhatian pemimpin Filipina, malahan menjadi kebanggaan pimpinan Filipina yang sudah dilawati berkali-kali oleh beberapa presiden Filipina. Kedatangan rombongan GAPENA pada 26 Januari 2010 baru-baru ini juga disambut dengan penuh kebanggaan penduduk setempat dan Setiausaha Majlis Bandaraya Jinjiang, dan beberapa pegawai pengiring dari Pejabat Wilayah Fujian, serta pegawai hubungan luar negara Beijing. Kunjungan rombongan pegawai GAPENA ke Rizal Memorial Park mendapat liputan CCTV China. Imej sedemikian menampakkan sensitviti warga China dan kerajaannya terhadap pengikhtirafan masyarakat antarabangsa.

Di sebalik keagungan dan ketokohan Rizal tersebut, ternyata sumbangan penting The Chinese Overseas sangat memainkan peranan dalam pembangunan mental dan fizikal rakyat dan negara China. Bukan sahaja pembangunan Rizal Park tetapi juga terdapat ratusan imej sumbangan dana daripada Chinese Overseas yang mengalir masuk ke negara China terutama sejak amalan dasar terbuka negara China. Hal ini sangat membantu China dalam meningkatkan ekonomi warganya.Kesan tersebut cepat berlaku dan beberapa imigran rakyat China yang berada di luar negara sempat kami temui dan berbual ketika makan pagi di hotel serta pertemuan singkat ketika berada di Kompleks Supermarket termasuk dari warga yang menetap di Indonesia, Amerika dan Hawaii. Mereka ternyata pulang ke kampung untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru dan ada yang sengaja bertujuan untuk mengesan sejarah asal usul nenek moyang mereka. Sungguh mengkagumkan bagaimana masyarakat Chinese Oversea yang begitu sayangkan negara asal nenek moyang mereka. Oleh itu terbukti bagaimana sikap orang-orang China yang begitu bangga memiliki leluhur asal negara China.Teori mengatakan Chinese Overseas membangunkan ekonomi negara China adalah benar. The Rizal Memorial Park adalah salah satu satu bukti dari ratusan pembangunan yang ada disokong Chinese Overseas. Kami juga melawat Muzium Jinjiang, yang sedang mengadakan pameran Jin Jiang Overseas Chinese History Overseas yang membariskan ratusan gergasi tycoon dunia termasuk sekarang ini menguasai dunia perniagaan di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Eropah.

The Rizal Memorial Park dan Pembangunan Mental Masyarakat China.
Memahami sejarah adalah keterbukaan terhadap pembinaan diri dan kesediaan menghadapi cabaran. Mendirikan keyakinan dengan kejayaan sejarah adalah penting. Bukti ini sudah sedia terakam dan keyakinan terhadap cerita tentang kejayaan adalah maruah yang berpanjangan. Dialog terbuka dan saling percaya mempercayai antara rakyat dan bangsa adalah sesuatu yang amat penting dalam dunia globalisasi hari ini.

Tentunya sesuatu yang membanggakan apabila mendapat peluang melawat China, kebanggaan tersebut merupakan satu kepuasan untuk belajar daripada China yang merupakan satu kuasa ekonomi baharu, malahan menjalinkan persefahaman dari segi kebudayaan antara Malaysia dan China. Lawatan ini juga merupakan suatu petunjuk tentang perkembangan kematangan hubungan dan kerjasama antara GAPENA dan CPAFFC(The Chinese People’s Associations for Friendship with Foreign Countries), sekaligus mengeratkan ikatan hubungan yang telah berjalan sejak tahun 1980-an.

Terdapat satu teori yang mengatakan adanya hubungan asal usul antara masyarakat Fujian di China dengan dunia Melayu. Hubungan ini berlaku sejak ribuan tahun sebelum Masehi, menyaksikan bagaimana generasi dari Fujian berhijrah ke Kepulauan Borneo dalam berusaha mendapatkan tanah yang subur untuk pertanian. Jauh sebelum zaman ais, terdapat penghijraan besar-besaran penduduk dari Tanah Besar ke Kepulauan Selatan yang digelar Nusantara, termasuk tanah Borneo, Selat Sunda dan Kepulauan Filipina. Buku-buku menyatakan tentang teori masyarakat asli ayng antaranya asal usul sebahagian besar penduduk Dataran Selat Sunda meliputi Nusantara yang berasal dari Wilayah Fujian dan Yunnan. Sebagai contoh, Peter Belwood yang menyatakan Melayu Austronesian berhijrah ke Kepulauan Melayu sekitar 3000 tahun sebelum masehi dari Kepulauan Formosan(Taiwan/China Selatan) dan membangunkan ekonomi pertanian yang berasaskan bjirin seperti padi dan bijirin. Mereka turut memperkenalkan penggunaan pasu di Kepulauan Melayu(Mohd Arof Ishak, The Malay Civilization, 2007:40). Pada tahun 2006, hasil lawatan Puan Arroyo, Presiden Filipina, perkembangan peranan dan ketokohan Rizal diserlahkan melalui ucapan beliau. Rizal merupakan tokoh nasionalis yang bukan sahaja menjadi wira kepada rakyat Filipina tetapi merupakan satu simbol kejayaan perjuangan Asia, termasuk bangsa yang disebut-sebut oleh Jose Rizal sendiri sebagai bangsa “Malayan”. Puan Arroyo menyatakan dengan bangga hubungan usaha membangunkan Rizal Park atas dasar jalinan kekeluargaan yang berasaskan hubungan nenek-moyang antara Filipina dan negara China.

The national hero is the direct descendant of Chinese trader Cua Yi Lam, who immigrated from Siongque ("Zhang-Guo" in Mandarin Chinese) to the Philippines in the later part of the 17th century. Church records show that Cua Yi Lam was baptized Domingo Lamco at the age of 35 in Manila in 1697 and that his birthplace was Siongque village in China. The monument, made of the world-famous Jinjiang granite stones, stands at 18.61 meters high, which is taller than the 12-meter high Rizal Monument in Manila. It was built on a five-hectare park named in Rizal’s honor, making it the biggest Rizal Shrine outside the Philippines. The park will also be the site of a Rizal museum and library.The success of the project can be attributed to the combined efforts of the Cua-Chua Family Association where Rizal drew his Chinese lineage, the KAISA Para sa Kaunlaran, headed by Prof. Teresita Ang-See, which provided assistance in research and substance, Philippine Airlines Chair Lucio Tan who headed the project committee working group, the Tulay Foundation, the Knights of Rizal, the Philippine Consulate General in Xiamen, the Jinjiang village and the city association based in Manila that arranged funding for the project, the Fujian Provincial Overseas Chinese Affairs Office, and the Quanzhou Municipal Government. (Ucapan Arroyo ketika melawat Rizal Memorial Park, 2006)

Wilson Y. Lee Flores(1999) apabila menulis tentang “Rizal's ‘rags-to-riches’ Ancestor from South China” menyatakan bagaimana kesungguhan untuk membina Rizal Park tercetus dan usaha-usaha dijalankan oleh gerakan kesedaran Chinese Overseas tentang hubungan mengangkat imej Rizal sebagai Hero dunia Asia. Kebangkitan imej ini adalah merupakan satu kehidupan kembali yang mencetuskan kesedaran secara tidak langsung dalam pembangunan minda rakyat China. Mereka sangat memerlukan cerita-cerita tentang kejayaan yang akan menghidupkan jutaan perasaan secara kolektif tentang keagungan diaspora masyarakat China. Apa yang penting sumbangan itu adalah satu pembangunan jiwa masyarakat China. Imej semangat tycoon diberikan kepada datuk Jose Rizal yang berhijrah ke kawasan subur di Filipina dan menjadi imej kuasa ekonomi yang dikaitkan dengan kepentingan sejarah kejayaan tycoon-tycoon lain yang berhijrah.

In the annals of the world's top ethnic Chinese entrepreneurs, immigrant tycoon Don Domingo Lamco (Chinese name: ''Cue Yi-Lam,'' also pronounced ''Ke Yi-Nan'' in Mandarin) of Laguna province, the Philippines will eventually rank high in importance due to the greatness of his direct male heir and Philippine national hero Dr.Jose Rizal. Five Rizal descendants recently made a historic homecoming to the hero's ancestral village of Siongque (pronounced ''Zhang Guo'' in Mandarin) in Losan district, Jinjiang City, Fujianprovince, south China last April 2, just three days before the ancient Ching Ming Festival when Chinese people traditionally pay homage to their ancestors. Agence France Presse (AFP) said 10,000 people gave a grand welcome in Siongque. Many Filipino businessmen now propose the construction of a 1.2-hectare Rizal park and museum in Fujian as ''symbols of the enduring friendly relations between the PhilippinesandChina.'' In May 1998, this writer had lunch at the home of Rizal's grandniece Asuncion Lopez-Rizal Bantug and I told her it was possible to trace the hero's Chinese roots. In February this year, this writer and businessman Manuel O. Chua successfully verified the roots of Rizal based on south China genealogical records and a 1913 book donated by the late Justice Roman Ozaeta (father of former PCI Bank president Antonio Ozaeta) to Manila's National Library. Authored by American historian Prof. Austin Craig, the book ''Lineage, Life and Labors of Jose Rizal, Philippine Patriot'' gave the first Philippine verification of Rizal's Chinese roots in the chapter on ''Rizal's Chinese Ancestry.'' Domingo Lamco had specified Siongque in Manila church records as his home village near Chinchew or ''City of Spring.'' ''Siongque Village of Fujian province indeed exists near the historic city of Quanzhou, which is pronounced ''Chuanchow,'' meaning ''City of Spring.'' The rural areas of Jinjiang (now a city), Lamoa, Hui-Wa, Chio-Sai, An-Khue and others under Quanzhou are the ancestral places of 80 percent of the country's top Filipino entrepreneurs of Chinese descent (Wilson Y. Lee Flores, 1999).

Minda Kolektif yang berkongsi tentang kejayaan bersama merupakan satu indoktrin baharu yang berjaya dicipta dalam kalangan masyarakat tempatan. Hal ini merupakan satu sintesis penting dalam memberikan suntikan semangat generasi muda China, iaitu kaedah Cerita Tentang Kejayaan. Dalam sambutan perayaan yang besar-besaran dijalankan di perkampungan datuk Jose Rizal, semestinya dengan kehadiran mereka di hadapan sebuah tugu kebanggaan The Rizal Memorial Park yang tersergam lebih tinggi daripada tugu Rizal yang dibina di Filipina. Wilson Y. Lee Flores menulis tentang situasi kemeriahan dan kebanggaan Minda Kolektif yang ditunjukkan dalam suasana kebanggaan tersebut. Kemegahan terhadap bangsa dan seharusnya ditunjukkan tentang imej-imej besar tycoon yang menguasai ekonomi. Mungkin tidak sensitif untuk dikatakan NeoMarxis melihat dari perspektif yang lebih kemudian atas dasar bukan konflik ekonomi kelas lagi tetapi hubungan masyarakat dengan sejarah atas dasar ekonomi juga yang menyatukan mereka.




Salasilah Keluarga Domingo Lamco


The five Rizal heirs were accompanied by 200 Cua-Chua clan members from the Philippines, Singapore, Hong Kong, Malaysia, Taiwan and China in the sentimental journey to the village of Domingo Lamco. The entire 5,000 population of Siongque Village and thousands others from nearby villages lined all streets for the grand welcome. There were nonstop firecracker blasts, the local school was closed, red banners filled the walls saying ''Welcome Home, heirs of Domingo Lamco and Jose Rizal from the Philippines,'' a thousand small children in red waved flower bouquets and ancient rites were held in them two village temples. It was a welcome befitting an emperor. Noni Bantug delivered a speech hoping that the memory of Rizal's Chinese heritage will strengthen Philippine China relations. Stanford-educated Ricardo ''Bombit'' Consunji III (Chinese name: Cua Yeng-Liong), with Philbank director Francis Chua's help in drafting his speech, impressed the audience by speaking about his ''lolo'' Jose Rizal in fluent Mandarin. Rizal himself was fluent in the Chinese language and researched Chinese historical data referring to pre-colonial Philippines to debunk Spanish claims that the country had no early culture.Bicolano trader Melanio Cua Fernando said: ''Our village had never seen such a grand celebration, not since 1948 when Bicolano tycoon Qua Chee Gan, another son of this village, returned to Siongque to donate the local school.'' In the. Pre war era years to the pre-martial law 1970s, immigrant Qua Chee Gan was the ''rags-to-riches'' trader who became Philippine ''Copra King.'' Based in Tabaco, Albay, Qua vigorously pushed Philippine copra exports and was also a leading philanthropist. Qua was so respected for his ''shinyung'' or ''trustworthiness'' that company drafts with his signatures were then considered more valuable than cash by traders in the Bicol region and Quezon province. One of his agency managers based in Daet, Camarines Norte was the late Fernando S. Vinzons Sr., the future top Bicolano businessman and father of former BIR Commissioner Liwayway Vinzons Chato(Wilson Y. Lee Flores, 1999).

Siapakah Jose Rizal? (1861-1896)

Jose Rizal atau Jose Protasio Rizal Mercado Alonzo Realonda, dilahirkan pada 19hb. Jun 1861, di Kalamba, Filipina. Sejak kecil sudah diajar berbahasa Sepanyol dan Latin, selain bahasa Tagalog. Sejak kecil dipaksa membaca buku dan dilatih untuk belajar melukis. Sejak berumur 7 tahun sudah dibawa berjalan dari bandar ke bandar. Melalui bapa saudaranya, Uncle Gregorio, dia dilatih bekerja keras dan melakukan semua perkara dengan cermat, belajar untuk mendalami semua perkara, belajar berfikir secara bebas, dan diajar memahami gambaran sebenar setiap subjek. Berumur sembilan tahun sudah berpisah dengan ibu bapanya dan tinggal bersama emak saudara, di Binan; seorang yang taat kepada ajaran agama Kristian. Di zaman gerakan pemberontakan di Filipina, kaum keluarga Jose terlibat dengan gerakan anti penjajah. Umur Jose baru mencecah 11 tahun. Dia dibawa oleh abangnya ke Manila, dan ditukar nama panggilan kepada Rizal kerana hendak menggelakkan nama Jose yang ada hubungan dengan asal keluarganya, Mercado yang terlibat dengan istilah filibustero atau pemberontakan.(Carlos Quirino,The Great Malayan, 1958:1-20).
Rizal berminat dengan bidang seni bersifat fundamental, fizik dan ilmu falsafah. Pada usia 14 tahun, Rizal telah menghasilkan puisi. Dalam usia 15 tahun, setelah bergaul dengan pelajar-pelajar berbangsa Sepanyol, Rizal telah mula membandingkan kebolehan intelektual antara bangsa Sepanyol dan bangsa Melayu. Kesedaran ini berlaku ketika beliau berada di Universiti Santo Tomas, Manila. Bibit-bibit nasionalis membentuk dalam jiwanya. Kesedaran ini adalah kesedaran terhadap persekitaran zaman. Manifestasi tersebut adalah terbit dari pemerhatiannya terhadap pertembungan kebolehan pelajar berkulit putih dan pelajar tempatan. Baginya tiada perbezaan keintelektualan antara dua bangsa tersebut. Bagaimanapun bangsa Filipina bukan bangsa yang superior dari segi intelektual kerana masalah bahasa yang digunakan di universiti. Dari segi yang lain, bangsa tempatan terlalu menghormati bangsa asing, mempunyai rasa rendah diri, dan berkepentingan peribadi.(Carlos Quirino, 1958: 37).
1877, Rizal yang berusia 16 tahun telah memenangi hadiah penulisan puisi, Liceo Literario-Artistico, bagi katogeri hadiah penulisan puisi yang ditulis bangsa Filipino. Puisi yang menang tersebut membawa mesej patriotisme, harapan untuk pemuda tanah air. Beberapa tahun kemudian, Rizal menang lagi hadiah utama sayembara puisi, namun setelah didapati ia adalah bangsa tempatan, hadiah utama diberikan kepada bangsa Sepanyol. Rizal sangat menyesal dengan perkara yang berlaku ke atas penduduk pribumi. Rizal mula menyimpan perasan benci kepada ketidakadilan. Dia menggerakkan persatuan pemuda di Casa Tomasina, dinamakan Companerismo, terdiri daripada pimpinan pelajar Filipino. Organisasi ini mempunyai peraturan dan ciri-ciri gerakan tersendiri. Rizal dikesan pihak tentera kerana mempunyai gerakan anti kerajaan. Dia ditangkap dan setelah dibebaskan beliau mengadu kepada pihak Gabenor. Keadilan yang dimintanya nyata tidak berbalas. Rizal semakin tertekan dan membara untuk menjadi orang perjuangan. Dia terlibat dalam pergaduhan dengan kadet Sepanyol yang mencela pelajar pribumi. 1880, Rizal dilantik sebagai presiden Academia de La Literatura Castellana. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha, untuk Academia de Ciencias Filosofico – Naturales.(Carlos Quirino, 1958: 37-42).
Rizal melanjutkan pelajarannya ke Sepanyol. Di Sepanyol, dia melihat kebebasan bersuara, walaupun dalam hal-hal sensitif diluahkan di khalayak awam. Pengawal awam tidak empedulikan kata-kata bersifat nasionalisme, seperti laungan- laungan pejuang-pejuang wilayah Catalonia yang ingin bebas dari Sepanyol. Rizal menutuskan surat kepada teman-temannya di Manila berkenaan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan amalan-amalan warisan. Rizal semakin belajar mencintai nasionalisme Filipina. Di Madrid, Rizal telah berkumpul bersama bangsa Filipino yang lain. Kelab bangsa Filipino tersebut merupakan percambahan pendapat dan pandangan tentang perkembangan ekonomi, politik, dan sistem pentadbiran di Filipina. Mereka menulis dengan pelbagai cara. Kelab ini terdiridaripada ahli-ahli yang lebih dewasa, terdiri daripada peguam, pedangang, bekas pegawai tentera, penulis, dan orang-orang yang pencen. Rizal mendapati, terdapat ramai cerdik pandai yang hilang punca dan tidak disatukan dalam bentuk pertubuhan kerana terlalu mementingkan sikap peribadi atau individualisme. Rizal semakin mendapat aspirasi untuk memperjuangkan nasionalisme Filipina. Dia belajar bahasa Arab, Greek, dan Hebrew untuk mendapatkan banyak kefahaman dalam strategi perjuangan yang didapatinya dari peluang pembacaan pelbagai bidang dan buku-buku yang terbentang luas di Eropah. Tahun kedua di Madrid, Rizal berterusan mujuk anak-anak muda Filipina untuk melakukan yang terbaik bagi Filipina jika hanya mereka sanggup bergerak secara organisasi yang betul-betul diuruskan. 1883, Rizal megadakan perhimpunan anak-anak Filipina di Madrid pada sambutan tahun baru. Peluang ini digunakan Rizal untuk menaikkan semangat cintakan tanah air. Pertemuan seterusnya diadakan, namun Rizal menghadapi masalah kerana ada antara yang hadir banyak menimbulkan kesulitan dari menyokong. Setengah daripada mereka bangun meninggalkan perbincangan. Rizal mendapat kesukaran dan timbul idea untuk menurunkan perjuangannya dalam bentuk kesedaran yang bersifat ironi. Rizal berjaya menyalurkan idea tersebut melalui novel, Noli Me Tangere. Di dalam novel inilah Rizal menyedarkan khalayak pembaca tentang penjajahan, kekejaman, dan ketidakadilan Sepanyol di Filipina(Carlos Quirino, 1958: 65-80). Rizal bangkit dengan kesedaran yang bercita-cita dengan penuh harapan sanggup berkorban dalam hidupnya. Dia juga melihat kerenah gereja yang bebas di Madrid dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun walau pihak kerajaan, tetapi sebaliknya di Filipina, pihak gereja didominasikan oleh kerajaan.
Rizal menegaskan prinsip-prinsip perjuangannya untuk dunia pergerakan, novel Noli beliau dikritik kerana tiada unsur-unsur sastera, namun dia tegas menjawab,
To me, the question of writing with a greater or less degree of literary style is secondary: the principal thing is to and feel honestly, to work for an end and then let the pen do its best in transmitting our ideas. What we should ask most of a Filipino of our generation is not to be a stylist, but to be a good man, a good citizen who will aid with his head, his heart, and if need be with his hands the progress of his country. With the head and the heart, we can and should always work; with the hands, when the times comes. At present the principal instrument of the heart and the head is the pen. Some prefer the brush, others the chisel. I prefer the pen.(The Great Malayan, hlm. 160)

Rizal juga menyatakan prinsip-prinsip perjuangan yang tegas dalam dunia gerakan, jangan mementingkan diri secara peribadi, dan keputusan yang kolektif merupakan satu keputusan yang suci bagi dunia perjuangan, jangan mengharapkan balasan, atau sebarang imbuhan. Keikhlasan dan kesamaan adalah keadilan untuk semua. Prinsip ini diberikan dalam ucapannya ketika dipilih sebagai presiden kehormat persatuan Filipina yang baru ditubuhkan, iaitu La Solidaridad, setelah persatuan Asociacion Hispano Filipina diambil alih oleh ahli politik Sepanyol.

In newly-born societies, the spirit of tolerance must reign … in discussions the conciliatatory tendency must reign instead of tendency of tendency to opposition. Nobody should resent a defeat … The individual should give way to the well-being of society …The decisions of the majority, after sufficient discussion, are sacred and cannot be questioned. Much and much good will are needed. Let no one expect prizes or honors for what he does; he who fulfills his duty with a view to recompense often receives disappointment, for nobody ever believes he is sufficiently rewarded …Economy, economy, and economy should be our watchword. Sincerity and equal justice to all (The Great Malayan, hlm. 161-162).

Perjuangan Rizal bukan setakat mempengaruhi rakyat Filipina tetapi turut meraih simpati sarjana-sarjana asing untuk menyebelahi perjuangan nasionalisme Filipina. Ketika di London, Rizal berjaya mendapat simpati beberapa sarjana daripada England, Perancis dan German dalam mengatur strateginya untuk mendapat jaringan dan sokongan antarabangsa. Rizal berjaya menubuhkan persatuan yang dicita-citakan untuk aspirasi nasional beliau ketika tiba di Paris. Asociacion Internacional de Filipinistas ditubuhkan. Blumentritt, warga German menjadi presiden, Edmund Planchet, sarjana Perancis sebagai vice-presiden, dan beliau sebagai setiausaha. Rizal tidak berdiam diri setelah kemasukan warga antarabangsa di Filipina dalam kegiatan seminar dan konferen dihadkan. Usaha Rizal terbantut. Namun Rizal meneruskan dengan usaha kehadiran warga Filipina ke Sepanyol. Beberapa tokoh pejuang dari Filipina seperti Baldomero Roxas dan Lauro Dimayuga, Gregorio Aguilera, Julio Llorente, Gregorio Pautu dan Fernando Canon digabungkan dalam kelab “Kidlat”. Rizal cekap mengambil kesempatan yang ada untuk menggerakkan idealismenya. Rizal cuba mengedarkan buku dan risalahnya dengan pelbagai cara, beliau berusaha walau dengan penuh cabaran dan pancaroba. Rizal poskan penerbitan beliau kepada kawan-kawannya di seberang laut, menyebarkan propaganda. Dan beliau tidak berkompromi dengan tekanan pihak Sepanyol. Beliau berkorban makan minumnya untuk menerbitkan sebuah lagi novel nasionalis berjudul, El Filibusterismo. Anak muda ini menggunakan apa sahaja yang dianggapnya peluang untuk mempengaruhi kesedaran terhadap perjuangan yang dicita-citakan.
Keserlahan Rizal dalam menggerakkan semangat kebangsaan Filipina mendapat perhatian pemerintah. Tahun 1896, Rizal ditangkap dalam pelayaran ke Cuba, dan dipenjarakan di Barcelona, sebelum dibawa balik ke Manila untuk dibicarakan dan Rizal dijatuhkan hukuman bunuh pada 30hb. Disember 1896 atas dakwaan menggerakkan revolusi. Dia dikenang sebagai Pejuang Agung Bangsa Malayan @ Melayu.
Dari kehidupan Rizal bayak yang dapat digali dan dipelajari. Beliau membawa imej gerakan rakyat, bersemangat kental, berjiwa besar dan suka dengan kesatuan. Sepanjang hidupnya, Rizal merupakan seorang pejuang yang sering meletakkan asas-asas penyatuan semanagt sebagai satu mekanisme untuk mencapai kejayaan. Beliau merupakan lambang inspirasi anak-anak muda yang seharusnya melihat sesuatu fenomena dalam kerangka yang lebih terbuka serta luas dalam konteks yang lebih makro. Baginya, bangsa Malayan yang dimimpi-mimpikan adalah satu bangsa besar tanpa beliau sendiri fikirkan asal usul etnik yang sempit, namun jiwa kolektif beliau memperlihatkan akan perlunya gerakan kesatuan, pengorbanan terhadap pembebasan bangsa, solidariti dan keamanan sejagat.

Penutup
Dengan demikian Rizal Memorial Park merupakan simbol yang diwujudkan dalam menggerakkan jutaan perasaan rakyat China untuk berkongsi dan memahami Cerita Tentang Kejayaan. Sikap dan jiwa rakyat China dapat dibangunkan dengan satu inspirasi tentang kejayaan masa silam, dari segi sejarah dan keagungan nenek moyang kepada kejayaan tycoon-tycoon ekonomi yang berhijrah ke luar negara dan mencipta jutaan cerita tentang kejayaan. Pemikiran neomarxis wujud dengan prinsip bukan atas dasar teori konflik lagi tetapi teori penyatuan yang menyaksikan masyarakat dibangunkan melalui ekonomi dan kesedaran sejarahnya. Kombinasi ini adalah menarik sebagai satu pendekatan untuk menggerakan minda kolektif rakyat supaya dapat bersama-sama berkongsi dalam pembangunan mental dan jiwa mereka ke arah kejayaan. Simbol tentang kejayaan seperti simbol yang ada pada Jose Rizal merupakan simbol yang harus dimanfaatkan oleh negara-negara lain. Untuk itu secara positif saya mengatakan China akan berjaya menguasai ekonomi dunia, sekaligus menyaingi Amerika jika ia dapat menggerakkan ekonomi yang berasaskan pembangunan mental dan jiwa rakyatnya secara kolektif.