Wednesday, August 12, 2009

One Malaysia dan Nusajaya, Johor


Di Bahu Anak Negeri Johor Terpikul Benteng Terakhir Tanah Melayu.


Mengapa kita sedang berfikir untuk meletakkan tanggungjawab berat ini di bahu anak negeri Johor? Ketika kegemilangan Melaka diruntuhkan oleh Feringgi, Johor Lamalah yang menjadi penyambut dengan lapang dada untuk membangunkan semula legasi Melaka. Johor lambang kecemerlangan Melayu di dunia perdagangan dan kecemerlangan Melayu di arena politik dan kuasa.

Pada ketika kita sedang cemas dengan sikap orang-orang Melayu sendiri terhadap bangsanya, kita sedang menelaah dan menelah, apakah yang akan jadi kepada Melayu selanjutnya selepas beberapa tahun akan datang. Siapakah yang berani mempertahankan Kemelayuan jika di sana sini telah ada ungkapan-ungkapan yang membenci, muak dan mual dengan angkara Kemelayuan.

Maka kerana kecemasan itu lahirlah kaedah perundangan yang nampaknya tidak boleh tidak seperti dimaktubkan pada peraturan unggul Perlembagaan. Namun siapakah yang sanggup mempertahankan perlembagaan jika di Parlimen sendiri sudah mula menunjukkan kebiadaban tingkah laku manusia? Dewan Yang Mulia seakan tidak dapat mempertahankan kemuliaannya lagi.

Maka ketika saat-saat genting ini kita kembali mengingatkan janji dan ingatan payung negara. Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
* Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
* Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
* Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
* Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
* Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
* Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
* Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Keagungan Kesultanan Melayu nampaknya seakan hanya tidak dicabar di negeri Johor. Sikap tegas dan keberanian pemerintahan Johor jelas merupakan tonggak penting maruah Melayu. Jika tidak Johor mudah diperkotak-katikkan. Kesinambungan kegemilangan sejarah Kesultanan Johor-Riau sejak Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan kesinambungan simbol kuasa politik Melayu. Bintan menjadi kota pertahanan penting menentang penjajahan Peringgi. Runtuh Kota Bintan, mereka bina kota Kampar. Dari Kampar menegakkan kembali panji-panji di Johor Lama dan sebahagiannya menegakkan panji-panji bangsa di Perak. Mereka bergabung bersama saudara mara di Pahang bagi menghadapi musuh. Kepada anak negeri Johorlah seperti terpikul darah semangat kekebalan Melayu itu. Di tangan anak Johor kita memerhatikan penentangan terhadap Peringgi, menegakkan panji-panji bangsa di Pekan Tua, Kota Batu, Sayong Pinang, Batu Sawar, Seluyut, Kota Kara dan Tanah Puteh yang tidak lekang sepanjang sejarah di Selat Melaka di sekitar abad ke 16 dan ke 17, sehingga kemudiannya penentangan terhadap Malayan Union dan unsur-unsur kebangkitan lain yang bersifat subversif di zaman pemerintahan Johor moden.
Kerajaan Johor-Riau menjadi lambang kemegahan bangsa Melayu kerana menjadi pusat kecemerlangan dagangan Timur Barat yang baru setelah Melaka. Bersama kecemerlangan perdagangan itu muncullah pula kecemerlangan dan kemakmuran dalam bidang-bidang lain termasuk bidang keagamaan dan kebudayaan. Pada ketika ini jugalah tarian zapin menjadi elemen penting kebudayaan bersama penyebaran agama yang lebih bersifat metafizik sehingga ke alam sufi menyebar luas dalam wilayah pentadbiran Johor.
Sejarah Johor juga membuktikan bahayanya pemerintahan jika seringkali diadu domba oleh bangsa-bangsa asing dan luar. Perpecahan mudah berlaku dalam kalangan orang Melayu akibat daripada perpecahan dari anasir dalaman. Anasir ini yang telah dibuktikan dalam sejarah yang mengakibatkan pemerintahan dan pentadbiran Johor berpecah belah. Kita tidak mahu Johor diperkotak-katik sama ada dari unsur anasir luaran atau unsur dalaman. Walau apapun asal anak bangsa, Minang atau Bugis, Jawa atau Orang Laut kesetiaan kepada citra bangsa adalah penting demi menjaga keharmonian dan kemakmuran negara.
Tanah Melayu adalah milik bangsa yang berdaulat dan bersejarah. Istilah Satu Malaysia adalah satu epistemologi pemerintahan moden yang boleh menjadi bom jangka jika tidak diaturkan dengan baik. Kita tidak mahu ada pihak yang subversif menyalahgunakan istilah ini sehingga menampakkan seperti sejarah zaman silam yang menanggalkan hak dan keistimewaan yang ada pada bangsa Melayu. Adalah satu situasi yang merbahaya jika dasar-dasar yang liberalisasi atas dasar konsep Satu Malaysia diamalkan tergelincir dari amalan Perlembagaan Persekutuan. Kekhuatiran ini ada asasnya kerana banyak program-program pembangunan negara termasuk pembangunan Tanah di negeri Johor yang sangat hampir dengan anasir subversif luar. Kita tidak mahu ada elemen Jambatan Bengkok berulang. Untuk itu ada rasionalnya cadangan Jambatan Ketiga dikaji secara terperinci, kerana akibat dari pembangunan yang tidak terkawal hak kita boleh tergadai dengan mudah hanya dengan sebuah jambatan. Dan jambatan itu adalah jambatan untuk laluan seekor naga yang sedang tidur dalam jaga. Bayangan Sir Stamford Raffles masih menjalar di dalam siratan darah hantu-hantu ekonomi. Hantu D.G Campbell juga ada bahayanya. Hantu-hantu inilah yang menokokkan demografi penduduk Tanah Melayu, menjadikan keadaan lebih sukar dengan demografi penduduk yang hampir sama, Melayu - 2.63 juta, Cina – 2.04 juta, dan India 566 ribu orang pada setelah bermulanya gagasan Malayan Union mereka. Apa sahaja cara dan kaedah pascamoden boleh berlaku dengan statistik. Tujuan menghalalkan cara Machiavelli. Dan melalui ”perlembagaan” juga kuasa politik Melayu dipisahkan oleh Perjanjian 1824. Oleh itu 7 Wasiat Raja-Raja Melayu di atas adalah relevan sepanjang zaman, hatta sekarang ini di saat-saat Melayu makin kehilangan kuasa di Tanah Melayu.
Atas dasar kesangsian kita terhadap naga yang sedang tidur dalam jaga, mungkinkah kemakmuran Melayu di Tanah Melayu akan direntap dengan Pembangunan Tanah Wilayah Iskandar (WPI)? WPI boleh menjadi rapuh jika tidak dikawal selia dengan baik. Di bahu anak negerilah terpikul amanah ini. Peluasan wilayah ekonomi bermakna keterbukaan kita terhadap kemasukan pelabur asing yang dapat diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk pembangunan ekuiti, kewangan, hartanah, dan sebagainya. Salah satu anasir buruk yang ada pada episteme globalisasi ialah runtuhnya sempadan negara yang membuka laluan dari segi dasar ekonomi bebas dan terbuka. Batam adalah contoh terbaik kerana matawang yang digunakan di sana adalah matawang negara jiran yang lebih kuat hembusan nyawa apinya. Liberasi yang diperlukan oleh Malaysia adalah liberalisasi terkawal kerana kita sedar bahawa pemilikan anak negeri tidak sampai 19 peratus. Walaupun orang lain masih menyoal tidak cukupkah lagi 50 tahun? Siapa mereka untuk bertanyakan demikian jika 7 wasiat di atas dihayati. Tentunya mereka tidak ingin menerima pakai 7 wasiat tersebut kerana bukan menyebelahi impian mereka. Adakah impian ini terbentang melalui jalan baru dengan membuka peluang dalam Satu Malaysia?
Kita sedang memerhati berita-berita ekonomi dari Nusajaya. Kemenangan atau kekalahan hanya akan diukur dari sudut matawang. Bersedialah kita untuk menapis dan menepis kerana DEB sudah dianggap gagal dilaksanakan, sehingga idak malu untuk mengatakan tidak perlu DEB, kita perlu merit; tidak perlu menghayati Perlembagaan kerana motto hak-hak istimewa memang sukar dilaksanakan, jika dilaksanakan sekalipun tidak ke mana pun. Naga boleh terus bermimpi dalam jaga. WPI boleh dibeli dengan pakatan sekelompok naga yang lebih ganas dan berkuasa. Kapitalis dan Neokapitalis. Di mana anak negeri? Kita tidak mahu kita hanya menjadi seperti tetamu yang hanya sebagai pelancong di dalam negeri sendiri. Melawat Nusajaya untuk menyahut slogan Cuti-cuti Malaysia. Sedangkan pemilikan WPI megahnya dibentuk oleh kuasa dan pemilikan asing. Oleh itu kebijaksanaan di bahu anak negeri Johorlah sebagai benteng terakhir di Tanah Melayu. Kita belajarlah dari peristiwa Pulau Batu Puteh. Pembangunan ekonomi kadang-kadang lebih kejam daripada pembangunan politik. Teori Klasik Ekonomi yang tidak pernah didedahkan ialah Pembangunan Ekonomi Makro akan Mengorbankan Ekonomi Mikro. Serba salah juga bila mengenangkan Pembangunan Seimbang. Lebih pedih lagi telinga apabila mereka kata, WPI @ Wilayah Pembangunan Singapura. Jika begitu keadaannya, Kita sokong Satu Malaysia dengan syarat.