Wednesday, October 14, 2009

Masih Relevankah Nasionalis?



Nasionalis dan Satu Melayu.


23 Oktober 2009, genaplah usia GAPENA selama 39 tahun bertahan sebagai satu badan NGO yang sentiasa ampuh dengan dasar-dasar nasional negara. GAPENA lahir dari perut kebangsaan yang sedang berada di puncaknya. Tahun 1970-an tersebut merupakan juga zaman pancaroba bagi warga yang baru mengecap erti kemerdekaan. Untuk mengisi jiwa yang bagaimana? Jiwa merdeka. Ini suatu anugerah Yang Maha Esa yang diberikan GAPENA. Anugerah zamannya.

Tegasnya semangat Kebangsaan membesarkan GAPENA dengan teguh, buat mengibarkan bendera suci perjuangan badan ini. Yang juga sekali gus merupakan juga wadah perjuangan kaum cerdik pandai Melayu yang meresap bersama para penulis yang rata-ratanya berlatarkan golongan marginal, pinggiran dan kedesaan, bersama cerdik pandai guru, wartawan dan budayawan.
GAPENA berkembang sesesuai dengan peredaran zaman yang sentiasa ada darah perjuangan. Misi nasional. Kemunculannya pada era 70-an adalah bertepatan dengan kebangkitan zaman itu yang bersahutan bersama makna-makna pemikiran sosialis dan realiti zamannya. Dengan itu banyaklah idea-ideayang bersifat keadilan social, kebangkitan semangat mengisi pola dikotomi yang selama ini menjadi ciptaan socialekonomi dan politik penjajah.

Sudah menjadi bukti keramat terhadap sejarah perjuangan yang tercatat, di lembaran-lembaran catatan sejarah perjuangan kebangsaan, GAPENA menyatukan dan mengentalkan semangat dan roh kebangsaan untuk terus menyala. Zaman nasionalis.

Antara yang memperjuangkan semangat kebangsaan itu adalah jentera-jentera yang dihidupkan melalui program-program yang yang digerakkan oleh tangan-tangan GAPENA. Kongres demi kongres, persdiangan, seminar, baik yang kecil jauh di luar-luar daarah atau yang besar-besar di kota-kota sehingga melewati perbatasan. Di pundak cendekiawan seperti Ismail Hussein dan kumpulannya antara yang terpikul tanggungjawab menghebahkan , memarakkan api perjuangan kebangsaan, dengan tabah dan yakin, terus menongkah arus pembangunan negara dengan pelbagai isu Melayu dan Kemelayuan.

Cabaran demi cabaran, sejarah Mei 1969, mengukuhkan lagi desakan untuk menyatukan masyarakat dalam satu wahana kebangsaan. Perpaduan, integrasi nasional, Melayu bangkit menuntut hak yang selama ini sudah menjadi bukti keterpinggiran mereka. Dasar-dasar baru menjelma untuk tujuan menggabungkan aguihan yang selama ini menyisishkan kaum bumiputera. Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Nasional, Akta Pendidikan diselaraskan untuk menjaga kepentingan Bumiputera, sesuai dengan perjanjian keramat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, menjaga hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan agama Islam sebagai agama rasmi.

Rancangan Malaysia Keempat, serta Jiwa-jiwa Kebangsaan yang didasarkan oleh pemerintah adalah kerana memahami citra kemerdekaan tersebut. Tumbuh dengan segar dan diterima oleh semua anggota masyarakat. Semangat Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-prisnip Rukunegara diterjemahakan dalam bentuk yang bersifat citra kebangsaan. Jika ini yang dirombak, maka bahayalah kepada pembangunan masyarakat Malaysia, bangsa Malaysia akan berhadapan dengan struktir dikotomi yang berpecah dan akan mencetuskan bila-bila masa api pertembungan kaum antara warganya lagi. Menjaga Melayu itulah bermakna menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara. Inilah juga hakikat perjuangan GAPENA sejak sekian lama.

Maka GAPENAlah yang nampaknya berterusan menjadi mata-mata yang meninjau, memerhati penerusan dan kekuatan citra kebangsaan itu agar berkesinambungan. Jika kita mahu lupakan kontrak sosial sekalipun, secara undang-unadng citra Perlembagaaan Persekutuan akan sentiasa menjadi ukuran teras kenegaraan yang merupakan satu sumpah suci warganegara. Kita telah diberikan pilihan untuk menjadi warganegara. Tanah ini adalah mempunyai pemilik asal dan sejarah yang panjang dari segi akar umbinya. Maka jika disentuh dan dirombak asal dan sejarah kefahaman tersebut, korban citra partriotisme akan berlaku. Sanggupkah masyarakat warga dan citra negara ini berkorban dan dikorbankan demi segelintir hasrat yang cuba menangguk di air keruh? Cabaran terhadap undang-undang semakin menjadi satu senjata yang digunakan bagi perjuangan oleh pihak-pihak tertentu. Cabaran itu sentiasa diperhatikan oleh GAPENA. Kepakaran yang ada pada GAPENA tentunya adalah citra jiwa kebangsaan yang kental itu.

Masalah jati diri, krisis pemilikan budaya antara dua serumpun misalnya yang timbul sekarang ini adalah sepatutnya diserahkan kepada GAPENA yang sudah membuktikan bahawa perjuangan semangat yang mencantumkan dunia Melayu itu terpikul di bahu mereka sejak dari dahulu lagi. Perjuangan selama 39 tahun tersebutlah yang cuba memahami makna nilai “rasa” yang sepatutnya, nilai “rasa” bersama dari leluhur yang sejak sekian lama yang ada pada kita, bukan nilai ekonomi yang menjerat antara satu sama lain. Dua negara besar Indonesia dan Malasyia sedang berkecamuk dari segi nilai kebangsaannya, hanya maslah sepertiu “tarian Pendet”, atau “reog”, atau “batik” atau lagu “rasa sayangnya”, atau apa sahaja yang mengakar dari masyarakat asal rantau ini. Dalam keadaan sekarang apa lagi unsur-unsur moden yang semakin mengancam kedudukan yang bergenerasi sejak lama lagi. Kembali kepada penyatuan rasa, nilai serumpun, walau disebut Melayu Raya dan Melayu Raya Yang Kecil, atau walau Malaysia dianggap sebagai Indonesia Raya Kecil sekalipun, penyatuan perkongsian semangat dari puluhan generasi lampau itu sangat memerlukan dan saling faham memahami.

GAPENA mungkin agak terpukul oleh kedudukan pemerintah yang seperti memandang sepi terhadap perjuangan lewat zaman kebudayaan bersama. Yang GAPENA perjuangkan sejak sekian lama Melayu Raya dari segi Kebudayaannya.

Usaha demi usaha yang menjadikan GAPENA relevan dalam kancah zaman pancaroa sekarang ini. Ismail Hussein sebagai pempinnya bukan Sukarno atau Tengku Abdul Rahman, dengan caranya GAPENA nampaknya bukan sahaja menghadapi krisis kepercayaan daripada anak-anak muda dalam negera kerana bergerak terlalu luas memikirkan soal-soal keserumpunanan dan Melayu yang global tersebut. Tetapi GAPENA juga sedang berhadapan dengan kebangkitan dunia maya yang kebanyakannya cepat menyebarkan pecahan dan bilahan masyarakat untuk yang lupa kepada asal leluhur masyarakat asal rantau ini. Keadaan ini meruncingkan hubungan Melayu global atau Melayu yang raya ini sehingga menjadi isu-isu yang berpecar meliputi soal politik, hubungan sosial, ekonomi dan kasus yang sering menjadi satu kesinisan yang merupakan satu paten baru ialah milik kebudayaan masing-masing, sedangkan darah yang menghuni dalam jiwa anak-anak masyarakat serantau yang sebeklum ini berkongsi kesejahteraan, emosi, nilai malahan nisab keturunan itu adalah sama.

Ancaman ini menambahkan zaman pancaroba yang dihadapi oleh GAPENA, apa lagi dalam keadaan politik yang menyerang Melayu itu dari segenap sudut dan segi. Jika GAPENA mahu terus dilihat relevan dengan perkembangan zamannya, GAPENA harus kental dengan ciri yang telah sedia ada padanya, jika tidak GAPENA tiada pilihan, ia akan diruntuhkan oleh desakan-desakan yang mikro sifatnya kerana masyarakat mula menyoal perjuangan yang berbentuk “sempit” yang dikatakan bersifat perkauman tetapi mereka tidak sedar jiwa kebangsaan itu juga sedang marak di merata-rata tempat di seluruh dunia, hasil dari puncak peredaran globalisasi itu sendiri. Oleh itu dalam usianya yang 39 tahun ini GAPENA harus menyatakan pendiriannnya dengan jelas, sama ada terperangkap dengan satu Malaysia atau Satu Melayu. Pengorbanan akan banyak berlaku kerana pancaroba yang bersifat mikro kian bertambah. Dalam zaman pancaroba ini makin diperbesarkan oleh semua anggota masyarakat, apa lagi dengan adanya media internet yang sangat cepat dimanfaatkan oleh semua warga, sama ada ia anasir yang patriotisme, atau yang bersifat subversif.