Sunday, November 7, 2010

Menang di Galas dan Batu Sapi. PRU 13 masih Berhantu?

Saya ingin komen sedikit berkenaan PRK Galas dan Batu Sapi. BN menang tetapi jangan ingat rakyat sudah berubah angin. PRK di kedua-dua tempat adalah berbeza dengan PRU. Jawapannya kerana pengundi di PRK itu masih dahagakan pembangunan di luar bandar. Keperluan prasarana diri dan setempat menyebabkan mereka memilih BN.

Bagaimanapun, PRU akan datang adalah berbeza sama sekali. Pengundi muda tidak memperdulikan pembangunan. mereka mementingkan integriti. Sisi kecil ini jika tidak diperhatikan ia akan menjadi hantu yang menakutkan dalam PRU akan datang.

Masalah Rasuah misalnya merupakan perkara pokok yang mengancam BN. Rasuah di dalam sistem pentadbiran kerajaan mesti dihapuskan. Keselamatan negara terabai kerana bukti-bukti penangkapan di pintu masuk negara semakin berleluasa seperti KLIA, LCCT, pelabuhan dan sempadan. Rasuah dalam kalangan pegawai imigresen, kastam, polis, JPJ, dan PBT merupakan contoh yang sering digunakan. Akhir-akhir ini pejabat pendaftaran pun ikut dilibatkan. Ini belum termasuk sempadan perairan negara yang bocor. Isu pemerdagangan manusia. Isu dadah yang dikaitkan dengan rasuah. Dan isu-isu kecil lain yang diheret dengan gejala rasuah sehingga pemberian bantuan rumah PPRT di kampung-kampung sekali pun merupakan duri dalam daging bagi parti pemerintah. Isu-isu besar sehingalah yang sekecil-kecilnya tentang rasuah mendapat perhatian utama generasi muda.

Apabila pasukan keselamatan tidak memainkan peranannya secara baik, tidak tegas, tidak amanah dan mengamalkan rasuah bersistematik; akibat rasuah dan isu pemerdagangan manusia, mengambil kira rasuah dalam parti di peringkat cawangan juga, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terhakis.

Di akhbar dan media saban hari komen rakyat tentang kemasukan dan koloni imigran yang bebas dan berleluasa menguasai beberapa kawasan penempatan setempat merimaskan kesejahteraan rakyat. Oleh itu salah satu simbol kolektif protes rakyat terhadap kegagalan fungsi pihak keselamatan adalah ditujukan kepada pihak kerajaan yang memerintah. Krisis kepercayaan ini dibantu oleh berita di pelbagai media; dengan demikian, undi protes tentang isu integriti tidak boleh dipandang ringan oleh parti pemerintah. Gelombang kolektif rasuah merupakan indeks ketidakpuasan hati rakyat, terutama di hati pengundi muda yang akan ditunjukkan melalui undi dalam PRU akan datang. Undi itu akan diterjemahkan sebagai satu bentuk celaan kepada keberkesanan pasukan keselamatan dan kakitangan penguatkuasaan negara.

Sunday, August 29, 2010

Diaspora Cina Bersatu

Disiarkan Utusan Malaysia (23 Ogos 2010, hlm. 10) dalam versi yang diedit dengan judul "Diaspora Cina Bersatu Seluruh Dunia"

Judul ini dipilih untuk menggambarkan kekuatan persatuan Cina yang sentiasa mementingkan persatuan dalam kalangan mereka tidak kira di mana mereka berada. Secara simbolisnya kita ingin membandingkan bagaimana Melayu sukar untuk bersatu dan pergerakan Melayu jika tumbuh hanya diprasangkakan berkepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu. Sedangkan persatuan Cina secara tradisi dan sejarahnya sangat kental dengan kehidupan berpersatuan, walaupun mereka sebenarnya dalam diam-diam lebih halus beragenda. Ini merupakan seumpama seni Sun Tzu, yang hidup diamalkan sejak 2,400 tahun silam sebagai satu seni strategi dalam kebudayaan masyarakat Cina. Oleh itu desakan mereka sentiasa didengar oleh pemerintah. Sikap tribal walaupun ke tahap kongsi gelap merupa asas penting kaedah masyarakat Cina dalam berorganisasi, sekali gus mampu menggerakkan secara kolektif hasrat kumpulan mereka. Negara Tanah Besar China memanfaatkan ketaatan berorganisasi atau sistem tribal ini untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, dan juga dimanfaatkan untuk membantu pembangunan negara China sejak “Dasar Buka Pintu” mereka.

Secara sejarah, gerakan diaspora Cina mula diikhtiraf oleh negara China Tanah Besar, sejak abad ke 16 dan ke 17. Kebanyakan mereka merupakan penghijrah yang berasal dari daerah pesisir sebelah Tenggara dan Selatan China, iaitu dari Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Dianggarkan lebih 42 juta Diaspora Cina yang kebanyakannya berhijrah ke Asia Tenggara. Paling ramai di Singapura, dan selebihnya menjadi warga di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Atas faktor perkembangan pembangunan dan ekonomi dunia yang baik menyebabkan mereka juga berhijrah ke Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Hawaii, Kanada, dan sebahagian besar negara-negara Eropah. Penghijrahan ini berlaku secara berperingkat-peringkat pada abad ke 19 dan abad ke 20. Namun demikian tanpa disedari, data-data mutakhir menunjukkan masyarakat Diaspora Cina yang terbesar dari segi peratusan sekarang ini, iaitu sebanyak lebih 12.1 peratus yang berada di benua Asia adalah menduduki negara Malaysia. Berbanding masyarakat Cina diaspora yang berada di Singapura yang hanya sekitar 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Asia.(Data statistik New World Encyclopedia).

Kekuatan hidup berpersatuan menyebabkan Diaspora Cina sentiasa menjalinkan jaringan antara mereka. Dalam sistem perbankan ditubuhkan Chinese Overseas Bank sejak tahun 1942 untuk menjaga sistem kewangan pemodal-pemodal berbangsa Cina. Hubungan ini bukan sahaja secara wilayah dan etnik yang pelbagai dari Tanah Besar China malahan hubungan kekeluargaan yang berasaskan tradisi kebudayaan. Chinese Overseas atau masyarakat Diaspora Cina ini menggerakkan persatuan-persatuan kecil dari peringkat persatuan pekerja, persatuan peniaga kecil, persatuan etnik, persatuan berbentuk kekeluargaan sehinggalah persatuan peniagaan yang bersifat makro. Mereka mengadakan Festival Diaspora secara besar-besaran di seluruh dunia. Dari pertandingan kraf sehinggalah ke pertandingan lagu-lagu moden untuk menyatukan jutaan perasaan kolektif bangsa Cina. Malahan pertandingan sebelum menyambut Tahun Baharu Cina akan diadakan di seluruh dunia secara sepakat dengan menjemput masyarakat Cina dari Tanah Besar dan masyarakat Cina yang berdiaspora. Sydney dan New York pernah mengadakan program ini. Kekentalan rasa penyatuan ini bukan lagi rahsia bagi masyarakat global kerana masyarakat Cina sejak awal-awal tamadun manusia telah mencatatkan pergerakan rasa kekitaan yang tinggi sesama mereka.

Oleh kerana penyatuan itu juga dunia menyaksikan masyarakat Diaspora Cina menguasai ekonomi di seluruh negara di Asia Tenggara. Mereka memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Asia Tenggara dan memainkan peranan penting dalam memastikan kekuasaan politik kaum Cina. Malahan dengan kuasa ekonomi, mereka juga membantu memberikan sumbangan dana yang besar kepada Tanah Besar China sejak berlakunya Revolusi China pada tahun 1911. Justeru itu kita akan menyaksikan kekuasaan masyarakat Cina akan dijanakan oleh kuasa ekonomi dan kuasa politik. Masyarakat Diaspora Cina sehingga ke hari ini mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli kabinet serta ahli politik di China. Buktinya kepentingan masyarakat Diaspora Cina ini diikhtiraf dengan adanya setiap jabatan dalam Kementerian dalam kerajaan China yang menubuhkan bahagian-bahagian yang menjaga kepentingan Diaspora masyarakat Cina di seluruh dunia.

Wilayah-wilayah yang mendapat bantuan secara langsung dari ahli-ahli perniagaan Cina seberang laut termasuklah Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Sewaktu kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2008 dan 2009, China dapat keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi kerana faktor-faktor aliran masuk pelaburan luar yang dibawa oleh Diaspora Cina global itu. China dengan pantas mencapai pertumbuhan KDNK lebih 10 peratus setahun, walaupun sejak akhir-akhir ini terperangkap dengan ikatan sistem matawangnya. Namun kesetiaan Diaspora Cina secara berterusan mengalirkan pelaburan mereka ke Tanah Besar merupakan satu suntikan dana yang berbilion dollar merupakan penyelamatan ekonomi China dari merudum. Dari Asia Tenggara sahaja dipercayai ahli perniagaan mereka yang terdiri daripada Raja Gula, Raja Getah, Raja Keluli dan Raja Hartanah telah membawa keluar wang secara besar-besaran untuk melabur ke Negara China, secara tidak langsung menyelamatkan nilai matawang mereka dari nilai matawang Asia Tenggara yang merosot teruk terdampak dari krisis gadai janji yang melanda Amerika baru-baru ini. Dipercayai sistem yang sama akan digunakan apabila krisis kewangan yang sekarang ini sedang melanda negara-negara Eropah, kesan krisis teruk di Greece dan Itali.

Dengan itu juga jika kita melawat Wilayah-Wilayah Selatan dan Timur China sekarang ini, kita akan dapat menyaksikan pembangunan yang pesat dalam pelbagai sektor terutama sektor hartanah, perkilangan dan pembangunan perkhidmatan awam. China sejak akhir-akhir ini menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10%, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil. Malahan kerana cepatnya China pulih dari kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia pada tahun 2008 -2009, mata spekulator seluruh dunia terpaksa dibeliakkan untuk melihat mampukah China mengatasi kuasa unilateral seperti Amerika? Banyak isu-isu antara kedua buah negara yang menjadi sensitif sejak akhir-akhir ini, termasuklah amaran Google untuk keluar dari enjin pencariannya di China, desakan Dalai Lama, pemimpin kerohanian Tibet yang nampaknya seperti menyokong Google, lawatan Dalai Lama ke Amerika yang banyak mengeluarkan kenyataan berbau politik dan menyentuh sensitiviti negara China, isu penjualan senjata Amerika ke Taiwan dan lain-lain isu hubungan dua hala yang sering dibincangkan sejak mutakhir ini. Ternyata sumbangan penting The Chinese Overseas sangat memainkan peranan dalam pembangunan mental dan fizikal rakyat dan negara China. Bukan sahaja pembangunan The Park dan Universiti tetapi juga terdapat ratusan imej sumbangan dana daripada Chinese Overseas yang mengalir masuk ke negara China terutama sejak amalan dasar terbuka negara China. Hal ini sangat membantu China dalam meningkatkan ekonomi warganya. Kesan tersebut cepat berlaku dan beberapa imigran rakyat China yang berada di luar negara sempat kami temui sewaktu di Fujian baru-baru ini, dan berbual ketika sarapan di hotel serta pertemuan singkat ketika berada di Kompleks Supermarket termasuk dari warga yang menetap di Indonesia, Amerika dan Hawaii. Mereka ternyata pulang ke kampung untuk sama-sama apabila meraikan sambutan Tahun Baru dan ada yang sengaja bertujuan untuk mengesan sejarah asal usul nenek moyang mereka. Sungguh mengkagumkan bagaimana masyarakat Chinese Overseas yang begitu sayangkan negara asal nenek moyang mereka. Oleh itu terbukti bagaimana sikap orang-orang Cina yang begitu bangga memiliki leluhur asal negara China.Teori mengatakan Chinese Overseas membangunkan ekonomi negara China adalah benar. The Rizal Memorial Park di Fujian dianggap Hero Diaspora adalah salah satu bukti dari ratusan pembangunan yang ada disokong Chinese Overseas. Kami juga melawat Muzium Jinjiang, yang sedang mengadakan pameran Jin Jiang Overseas Chinese History Overseas yang membariskan ratusan gergasi tycoon dunia termasuk sekarang ini menguasai dunia perniagaan di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Eropah yang ternyata sangat dibanggakan warga China.

Tuesday, July 27, 2010

Mempersoalkan Nasionalis?


Hashim Ismail

(Disiarkan Utusan Malaysia, 12 Julai 2010, hlm. 11, dengan judul Usah Persoalkan Nasionalis)

Banyak pihak mula mempersoalkan kerelevanan nasionalis. Mereka menganggap Assabiyyah, bagaimanapun faham bahawa mencintai watan adalah tuntutan agama. Wacana yang berasaskan nasionalis dianggap perkauman atau pro chauvinist. Perangkap di sebalik prinsip-prinsip globalisasi, ketelusan, kebebasan bersuara, hak hak kemanusiaan menjadi obor bagi mencabar pemerintah, sama ada dengan tujuan yang baik atau dengan tujuan untuk mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Situasi politik, dan situasi ekonomi sangat mempengaruhi kebangkitan suara-suara ketidakpuasan, dan merebak secara cepat dan mudah mendapat pengaruh di media internet serta media alternatif. Keadaan kemelesetan ekonomi akan menambahkan lagi desakan dan suara-suara protes. Masyarakat sangat sensitif terhadap soal kewangan. Perkembangan semasa dalam krisis ekonomi di Eropah, kecelaruan ekonomi Amerika dan China, memburukkan lagi ekonomi dunia. Kesannya Malaysia juga sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi. Dalam masa terdekat dijangkakan ”The External Uncertainty” akan membawa Malaysia ke ambang inflasi, sekaligus akan memungkinkan Bank Negara menaikkan kadar faedah. Kesannya akan menyebabkan sedikit kemakmuran tergugat. Dan kita pasti bahawa ada pihak yang akan menyalahkan pihak lain dalam keadaan yang celaru tersebut. Suara protes akan meningkat kerana gangguan ekonomi. Pihak yang menguasai ekonomi tidak akan senang duduk. Pihak ini akan mencabar mitos GLC dan mitos UMNO mengawal ekonomi negara. Maka mereka berpaling tadah kepada imaginasi ekonomi pihak pembangkang. Sistem perundangan, sistem penguatkuasaan dan kehakiman akan dilihat korup. Krisis kepercayaan dan krisis keyakinan akan meningkat. Ini merupakan cabaran besar terhadap membina negara bangsa.

Di manakah relevannya Nasionalis dalam situasi ini? Perjuangan cintakan negara akan berubah kepada perjuangan mencintai jati diri dan kenegaraan. Bukankah pemikiran ini juga merupakan pemikiran nasionalis. Semangat kebangsaan dan obor patriotisme dihidupkan bertujuan untuk membina kesedaran pihak-pihak yang menguasai politik dan ekonomi supaya memikirkan sejarah panjang yang terbina, kesedaran terhadap neo-nostalgia masa lalu yang mungkin sangat tidak disukai dan tidak difahami oleh generasi muda. Bahayanya ialah ramai anak muda yang tidak mengerti akan kesengsaraan duduk di bawah pemerintahan orang asing.

Dalam situasi ini pentingnya semua pihak berfikir untuk mengekalkan kemakmuran negara. Yang pastinya juga mengekalkan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial. Sekarang inilah masanya, semua pihak pemerintah dan pembangkang harus berlandaskan prinsip membahagikan “Samarata Kemakmuran untuk Rakyat”. Untuk itu semua kaum harus memahami inspirasi kebangsaan, inspirasi nasionalis yang kita tidak boleh lari dari memahami kembali jalur sejarah dan kesan perkembangan politik dan bentuk ekonomi yang dihasilkan oleh peninggalan kolonial. Ini termasuk pola-pola bandar dan luar bandar.

Permintaan dan desakan yang melampau pada hari ini yang kita dengar oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya akan mecetuskan ketidakstabilan kemakmuran yang dikecapi bersama. Oleh itu apabila masyarakat Cina dengan pelbagai persatuan meminta secara berlebih-lebihan, maka akan muncul ratusan persatuan-persatuan Melayu yang akan menuntut untuk Kemakmuran Bersama bagi mempertahankan hak mereka. Tuntutan itu akan datang dari jauh dari daerah-daerah pendalaman kerana kesedaran yang meningkat. Fenomena ini adalah lazim dalam negara yang sedang berhadapan dengan krisis politik dan krisis ekonomi. Itali dan Rusia pernah mengalami situasi yang sama pada abad-abad lampau. Sehinggakan dunia menyaksikan kebangkitan tokoh pemikir seperti Marxis dan Musolini.

Perubahan dalam pihak yang memerintah sangat diperlukan dalam situasi sekarang. Dan cabarannya bukanlah mudah. Pembuktian terhadap dasar kesamarataan kek ekonomi adalah satu senjata yang perlu dipercepatkan. Secara sejarah, negera-negara yang jatuh dan dibangunkan semula adalah hasil gerakan rakyat. Dan gerakan rakyat adalah revolusioner yang tidak siapa dapat jangkakan, bom waktu akan meletup jika Kemakmuran tidak diagihkan sama rata. Memenangkan pihak tertentu akan menaikkan kemarahan rakyat. Kita tidak mahu ada pihak yang menggelarkan pihak lain sebagai primitif dan satu pihak lagi menggelarkan pihak lain pula barbaric. Cetusan-cetusan sebegini adalah kelemahan kita sendiri. Oleh itu ekosistem politik dan ekosistem ekonomi ini perlu distrategikan satu persatu. Ya, Konsep Satu Malaysia adalah salah satu jawabannya, tetapi jangan sampai Konsep Satu Malaysia disalah tafsir kerana keterbukaannya.

Dengan itu gerakan-gerakan kesedaran tentang bahayanya masyarakat Malaysia tidak memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara akan menyebabkan api kemarahan kaum akan marak dengan cepat. GAPENA merupakan sebahagian NGO yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan Semangat Nasionalis itu hidup dalam wadah baharu, iaitu dengan menerangkan elemen-elemen perpecahan yang timbul sekarang ini kerana kita tidak faham Jati Diri dan Kenegaraan. Membina negara bangsa dalam bentuk menjaga Kemakmuran bersama yang Adil dan Saksama. Justeru itu juga Konsep Satu Malaysia itu adalah bahaya jika ditafsirkan secara berpihak. Konsep Satu Malaysia hendaklah berasaskan Meratakan Kemakmuran yang sebenarnya telah diletakkan pada semangat Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Perlembagaan Persekutuan. Anak-anak kita harus ditanamkan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan itu demi kemakmuran yang merata dan keadilan sosial.

Untuk parti-parti Melayu, landaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapkan sebagai tonggak perjuangan. Kita perlukan keadilan sosial dalam imej kepelbagaian Kaum yang ada di dalam negara. Zaman orang mendesak itu dan ini. Kita membuka diri untuk lebih bersifat rasional. Terasnya ialah terhadap permuafakatan sejarah yang telah sedia wujud dan Islam merupakan agama yang meletakkan asas keadilan sosial itu. Orang lain mungkin khuatir dengan istilah kemelayuan atau kebangsaan sekali pun, namun Islam adalah contoh pembawaan keadilan sosial dan merupakan tamadun yang universal. Oleh itu Melayu mempunyai Islam sebagai satu permuafakatan.























Sunday, March 7, 2010

The Rizal Memorial Park di Jinjiang, China: Apa dan Mengapa?


Hashim Ismail








Hashim dan John, pegawai CPAFFC Beijing
Pengenalan
China sejak akhir-akhir ini menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10%, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil. Malahan kerana cepatnya China pulih dari kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia pada tahun 2008 -2009, mata spekulator seluruh dunia terpaksa dibeliakkan untuk melihat mampukah China mengatasi kuasa unilateral seperti Amerika? Banyak isu-isu antara kedua buah negara yang menjadi sensitif sejak akhir-akhir ini, termasuklah amaran Google untuk keluar dari enjin pencariannya di China, desakan Dalai Lama, pemimpin kerohanian Tibet yang nampaknya seperti menyokong Google, lawatan Dalai Lama ke Amerika yang banyak mengeluarkan kenyataan berbau politik dan menyentuh sensitiviti negara China, isu penjualan senjata Amerika ke Taiwan dan lain-lain isu hubungan dua hala yang sering dibincangkan sejak mutakhir ini. Apakah hubungannya dengan The Rizal Park di Jinjiang, China? Teorinya ialah untuk memahami keseluruhan, fahamkanlah bahagian-bahagian kecil dari keseluruhan tersebut.

The Rizal Memorial Park yang terletak di Jinjiang, China merupakan satu kebanggaan setempat yang dikaitkan dengan semangat kebangkitan nasionalis berbangsa Cina. Jose Rizal walaupun dibesarkan di Filipina, dan menjadi hero perjuangan melawan penjajahan Sepanyol, namun merupakan imej kolektif yang dikongsi bersama, bukan sahaja kebanggaan penduduk kampung Singque, Jinjiang asal nenek moyangnya, malahan wilayah Fujian yang lebih besar, dalam bahagian Selatan China. Imej Memorial Rizal tersergam gagah di bandar Jinjiang, di sebelah kampung asal datuknya.Memorial Rizal mendapat perhatian pemimpin Filipina, malahan menjadi kebanggaan pimpinan Filipina yang sudah dilawati berkali-kali oleh beberapa presiden Filipina. Kedatangan rombongan GAPENA pada 26 Januari 2010 baru-baru ini juga disambut dengan penuh kebanggaan penduduk setempat dan Setiausaha Majlis Bandaraya Jinjiang, dan beberapa pegawai pengiring dari Pejabat Wilayah Fujian, serta pegawai hubungan luar negara Beijing. Kunjungan rombongan pegawai GAPENA ke Rizal Memorial Park mendapat liputan CCTV China. Imej sedemikian menampakkan sensitviti warga China dan kerajaannya terhadap pengikhtirafan masyarakat antarabangsa.

Di sebalik keagungan dan ketokohan Rizal tersebut, ternyata sumbangan penting The Chinese Overseas sangat memainkan peranan dalam pembangunan mental dan fizikal rakyat dan negara China. Bukan sahaja pembangunan Rizal Park tetapi juga terdapat ratusan imej sumbangan dana daripada Chinese Overseas yang mengalir masuk ke negara China terutama sejak amalan dasar terbuka negara China. Hal ini sangat membantu China dalam meningkatkan ekonomi warganya.Kesan tersebut cepat berlaku dan beberapa imigran rakyat China yang berada di luar negara sempat kami temui dan berbual ketika makan pagi di hotel serta pertemuan singkat ketika berada di Kompleks Supermarket termasuk dari warga yang menetap di Indonesia, Amerika dan Hawaii. Mereka ternyata pulang ke kampung untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baru dan ada yang sengaja bertujuan untuk mengesan sejarah asal usul nenek moyang mereka. Sungguh mengkagumkan bagaimana masyarakat Chinese Oversea yang begitu sayangkan negara asal nenek moyang mereka. Oleh itu terbukti bagaimana sikap orang-orang China yang begitu bangga memiliki leluhur asal negara China.Teori mengatakan Chinese Overseas membangunkan ekonomi negara China adalah benar. The Rizal Memorial Park adalah salah satu satu bukti dari ratusan pembangunan yang ada disokong Chinese Overseas. Kami juga melawat Muzium Jinjiang, yang sedang mengadakan pameran Jin Jiang Overseas Chinese History Overseas yang membariskan ratusan gergasi tycoon dunia termasuk sekarang ini menguasai dunia perniagaan di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Eropah.

The Rizal Memorial Park dan Pembangunan Mental Masyarakat China.
Memahami sejarah adalah keterbukaan terhadap pembinaan diri dan kesediaan menghadapi cabaran. Mendirikan keyakinan dengan kejayaan sejarah adalah penting. Bukti ini sudah sedia terakam dan keyakinan terhadap cerita tentang kejayaan adalah maruah yang berpanjangan. Dialog terbuka dan saling percaya mempercayai antara rakyat dan bangsa adalah sesuatu yang amat penting dalam dunia globalisasi hari ini.

Tentunya sesuatu yang membanggakan apabila mendapat peluang melawat China, kebanggaan tersebut merupakan satu kepuasan untuk belajar daripada China yang merupakan satu kuasa ekonomi baharu, malahan menjalinkan persefahaman dari segi kebudayaan antara Malaysia dan China. Lawatan ini juga merupakan suatu petunjuk tentang perkembangan kematangan hubungan dan kerjasama antara GAPENA dan CPAFFC(The Chinese People’s Associations for Friendship with Foreign Countries), sekaligus mengeratkan ikatan hubungan yang telah berjalan sejak tahun 1980-an.

Terdapat satu teori yang mengatakan adanya hubungan asal usul antara masyarakat Fujian di China dengan dunia Melayu. Hubungan ini berlaku sejak ribuan tahun sebelum Masehi, menyaksikan bagaimana generasi dari Fujian berhijrah ke Kepulauan Borneo dalam berusaha mendapatkan tanah yang subur untuk pertanian. Jauh sebelum zaman ais, terdapat penghijraan besar-besaran penduduk dari Tanah Besar ke Kepulauan Selatan yang digelar Nusantara, termasuk tanah Borneo, Selat Sunda dan Kepulauan Filipina. Buku-buku menyatakan tentang teori masyarakat asli ayng antaranya asal usul sebahagian besar penduduk Dataran Selat Sunda meliputi Nusantara yang berasal dari Wilayah Fujian dan Yunnan. Sebagai contoh, Peter Belwood yang menyatakan Melayu Austronesian berhijrah ke Kepulauan Melayu sekitar 3000 tahun sebelum masehi dari Kepulauan Formosan(Taiwan/China Selatan) dan membangunkan ekonomi pertanian yang berasaskan bjirin seperti padi dan bijirin. Mereka turut memperkenalkan penggunaan pasu di Kepulauan Melayu(Mohd Arof Ishak, The Malay Civilization, 2007:40). Pada tahun 2006, hasil lawatan Puan Arroyo, Presiden Filipina, perkembangan peranan dan ketokohan Rizal diserlahkan melalui ucapan beliau. Rizal merupakan tokoh nasionalis yang bukan sahaja menjadi wira kepada rakyat Filipina tetapi merupakan satu simbol kejayaan perjuangan Asia, termasuk bangsa yang disebut-sebut oleh Jose Rizal sendiri sebagai bangsa “Malayan”. Puan Arroyo menyatakan dengan bangga hubungan usaha membangunkan Rizal Park atas dasar jalinan kekeluargaan yang berasaskan hubungan nenek-moyang antara Filipina dan negara China.

The national hero is the direct descendant of Chinese trader Cua Yi Lam, who immigrated from Siongque ("Zhang-Guo" in Mandarin Chinese) to the Philippines in the later part of the 17th century. Church records show that Cua Yi Lam was baptized Domingo Lamco at the age of 35 in Manila in 1697 and that his birthplace was Siongque village in China. The monument, made of the world-famous Jinjiang granite stones, stands at 18.61 meters high, which is taller than the 12-meter high Rizal Monument in Manila. It was built on a five-hectare park named in Rizal’s honor, making it the biggest Rizal Shrine outside the Philippines. The park will also be the site of a Rizal museum and library.The success of the project can be attributed to the combined efforts of the Cua-Chua Family Association where Rizal drew his Chinese lineage, the KAISA Para sa Kaunlaran, headed by Prof. Teresita Ang-See, which provided assistance in research and substance, Philippine Airlines Chair Lucio Tan who headed the project committee working group, the Tulay Foundation, the Knights of Rizal, the Philippine Consulate General in Xiamen, the Jinjiang village and the city association based in Manila that arranged funding for the project, the Fujian Provincial Overseas Chinese Affairs Office, and the Quanzhou Municipal Government. (Ucapan Arroyo ketika melawat Rizal Memorial Park, 2006)

Wilson Y. Lee Flores(1999) apabila menulis tentang “Rizal's ‘rags-to-riches’ Ancestor from South China” menyatakan bagaimana kesungguhan untuk membina Rizal Park tercetus dan usaha-usaha dijalankan oleh gerakan kesedaran Chinese Overseas tentang hubungan mengangkat imej Rizal sebagai Hero dunia Asia. Kebangkitan imej ini adalah merupakan satu kehidupan kembali yang mencetuskan kesedaran secara tidak langsung dalam pembangunan minda rakyat China. Mereka sangat memerlukan cerita-cerita tentang kejayaan yang akan menghidupkan jutaan perasaan secara kolektif tentang keagungan diaspora masyarakat China. Apa yang penting sumbangan itu adalah satu pembangunan jiwa masyarakat China. Imej semangat tycoon diberikan kepada datuk Jose Rizal yang berhijrah ke kawasan subur di Filipina dan menjadi imej kuasa ekonomi yang dikaitkan dengan kepentingan sejarah kejayaan tycoon-tycoon lain yang berhijrah.

In the annals of the world's top ethnic Chinese entrepreneurs, immigrant tycoon Don Domingo Lamco (Chinese name: ''Cue Yi-Lam,'' also pronounced ''Ke Yi-Nan'' in Mandarin) of Laguna province, the Philippines will eventually rank high in importance due to the greatness of his direct male heir and Philippine national hero Dr.Jose Rizal. Five Rizal descendants recently made a historic homecoming to the hero's ancestral village of Siongque (pronounced ''Zhang Guo'' in Mandarin) in Losan district, Jinjiang City, Fujianprovince, south China last April 2, just three days before the ancient Ching Ming Festival when Chinese people traditionally pay homage to their ancestors. Agence France Presse (AFP) said 10,000 people gave a grand welcome in Siongque. Many Filipino businessmen now propose the construction of a 1.2-hectare Rizal park and museum in Fujian as ''symbols of the enduring friendly relations between the PhilippinesandChina.'' In May 1998, this writer had lunch at the home of Rizal's grandniece Asuncion Lopez-Rizal Bantug and I told her it was possible to trace the hero's Chinese roots. In February this year, this writer and businessman Manuel O. Chua successfully verified the roots of Rizal based on south China genealogical records and a 1913 book donated by the late Justice Roman Ozaeta (father of former PCI Bank president Antonio Ozaeta) to Manila's National Library. Authored by American historian Prof. Austin Craig, the book ''Lineage, Life and Labors of Jose Rizal, Philippine Patriot'' gave the first Philippine verification of Rizal's Chinese roots in the chapter on ''Rizal's Chinese Ancestry.'' Domingo Lamco had specified Siongque in Manila church records as his home village near Chinchew or ''City of Spring.'' ''Siongque Village of Fujian province indeed exists near the historic city of Quanzhou, which is pronounced ''Chuanchow,'' meaning ''City of Spring.'' The rural areas of Jinjiang (now a city), Lamoa, Hui-Wa, Chio-Sai, An-Khue and others under Quanzhou are the ancestral places of 80 percent of the country's top Filipino entrepreneurs of Chinese descent (Wilson Y. Lee Flores, 1999).

Minda Kolektif yang berkongsi tentang kejayaan bersama merupakan satu indoktrin baharu yang berjaya dicipta dalam kalangan masyarakat tempatan. Hal ini merupakan satu sintesis penting dalam memberikan suntikan semangat generasi muda China, iaitu kaedah Cerita Tentang Kejayaan. Dalam sambutan perayaan yang besar-besaran dijalankan di perkampungan datuk Jose Rizal, semestinya dengan kehadiran mereka di hadapan sebuah tugu kebanggaan The Rizal Memorial Park yang tersergam lebih tinggi daripada tugu Rizal yang dibina di Filipina. Wilson Y. Lee Flores menulis tentang situasi kemeriahan dan kebanggaan Minda Kolektif yang ditunjukkan dalam suasana kebanggaan tersebut. Kemegahan terhadap bangsa dan seharusnya ditunjukkan tentang imej-imej besar tycoon yang menguasai ekonomi. Mungkin tidak sensitif untuk dikatakan NeoMarxis melihat dari perspektif yang lebih kemudian atas dasar bukan konflik ekonomi kelas lagi tetapi hubungan masyarakat dengan sejarah atas dasar ekonomi juga yang menyatukan mereka.




Salasilah Keluarga Domingo Lamco


The five Rizal heirs were accompanied by 200 Cua-Chua clan members from the Philippines, Singapore, Hong Kong, Malaysia, Taiwan and China in the sentimental journey to the village of Domingo Lamco. The entire 5,000 population of Siongque Village and thousands others from nearby villages lined all streets for the grand welcome. There were nonstop firecracker blasts, the local school was closed, red banners filled the walls saying ''Welcome Home, heirs of Domingo Lamco and Jose Rizal from the Philippines,'' a thousand small children in red waved flower bouquets and ancient rites were held in them two village temples. It was a welcome befitting an emperor. Noni Bantug delivered a speech hoping that the memory of Rizal's Chinese heritage will strengthen Philippine China relations. Stanford-educated Ricardo ''Bombit'' Consunji III (Chinese name: Cua Yeng-Liong), with Philbank director Francis Chua's help in drafting his speech, impressed the audience by speaking about his ''lolo'' Jose Rizal in fluent Mandarin. Rizal himself was fluent in the Chinese language and researched Chinese historical data referring to pre-colonial Philippines to debunk Spanish claims that the country had no early culture.Bicolano trader Melanio Cua Fernando said: ''Our village had never seen such a grand celebration, not since 1948 when Bicolano tycoon Qua Chee Gan, another son of this village, returned to Siongque to donate the local school.'' In the. Pre war era years to the pre-martial law 1970s, immigrant Qua Chee Gan was the ''rags-to-riches'' trader who became Philippine ''Copra King.'' Based in Tabaco, Albay, Qua vigorously pushed Philippine copra exports and was also a leading philanthropist. Qua was so respected for his ''shinyung'' or ''trustworthiness'' that company drafts with his signatures were then considered more valuable than cash by traders in the Bicol region and Quezon province. One of his agency managers based in Daet, Camarines Norte was the late Fernando S. Vinzons Sr., the future top Bicolano businessman and father of former BIR Commissioner Liwayway Vinzons Chato(Wilson Y. Lee Flores, 1999).

Siapakah Jose Rizal? (1861-1896)

Jose Rizal atau Jose Protasio Rizal Mercado Alonzo Realonda, dilahirkan pada 19hb. Jun 1861, di Kalamba, Filipina. Sejak kecil sudah diajar berbahasa Sepanyol dan Latin, selain bahasa Tagalog. Sejak kecil dipaksa membaca buku dan dilatih untuk belajar melukis. Sejak berumur 7 tahun sudah dibawa berjalan dari bandar ke bandar. Melalui bapa saudaranya, Uncle Gregorio, dia dilatih bekerja keras dan melakukan semua perkara dengan cermat, belajar untuk mendalami semua perkara, belajar berfikir secara bebas, dan diajar memahami gambaran sebenar setiap subjek. Berumur sembilan tahun sudah berpisah dengan ibu bapanya dan tinggal bersama emak saudara, di Binan; seorang yang taat kepada ajaran agama Kristian. Di zaman gerakan pemberontakan di Filipina, kaum keluarga Jose terlibat dengan gerakan anti penjajah. Umur Jose baru mencecah 11 tahun. Dia dibawa oleh abangnya ke Manila, dan ditukar nama panggilan kepada Rizal kerana hendak menggelakkan nama Jose yang ada hubungan dengan asal keluarganya, Mercado yang terlibat dengan istilah filibustero atau pemberontakan.(Carlos Quirino,The Great Malayan, 1958:1-20).
Rizal berminat dengan bidang seni bersifat fundamental, fizik dan ilmu falsafah. Pada usia 14 tahun, Rizal telah menghasilkan puisi. Dalam usia 15 tahun, setelah bergaul dengan pelajar-pelajar berbangsa Sepanyol, Rizal telah mula membandingkan kebolehan intelektual antara bangsa Sepanyol dan bangsa Melayu. Kesedaran ini berlaku ketika beliau berada di Universiti Santo Tomas, Manila. Bibit-bibit nasionalis membentuk dalam jiwanya. Kesedaran ini adalah kesedaran terhadap persekitaran zaman. Manifestasi tersebut adalah terbit dari pemerhatiannya terhadap pertembungan kebolehan pelajar berkulit putih dan pelajar tempatan. Baginya tiada perbezaan keintelektualan antara dua bangsa tersebut. Bagaimanapun bangsa Filipina bukan bangsa yang superior dari segi intelektual kerana masalah bahasa yang digunakan di universiti. Dari segi yang lain, bangsa tempatan terlalu menghormati bangsa asing, mempunyai rasa rendah diri, dan berkepentingan peribadi.(Carlos Quirino, 1958: 37).
1877, Rizal yang berusia 16 tahun telah memenangi hadiah penulisan puisi, Liceo Literario-Artistico, bagi katogeri hadiah penulisan puisi yang ditulis bangsa Filipino. Puisi yang menang tersebut membawa mesej patriotisme, harapan untuk pemuda tanah air. Beberapa tahun kemudian, Rizal menang lagi hadiah utama sayembara puisi, namun setelah didapati ia adalah bangsa tempatan, hadiah utama diberikan kepada bangsa Sepanyol. Rizal sangat menyesal dengan perkara yang berlaku ke atas penduduk pribumi. Rizal mula menyimpan perasan benci kepada ketidakadilan. Dia menggerakkan persatuan pemuda di Casa Tomasina, dinamakan Companerismo, terdiri daripada pimpinan pelajar Filipino. Organisasi ini mempunyai peraturan dan ciri-ciri gerakan tersendiri. Rizal dikesan pihak tentera kerana mempunyai gerakan anti kerajaan. Dia ditangkap dan setelah dibebaskan beliau mengadu kepada pihak Gabenor. Keadilan yang dimintanya nyata tidak berbalas. Rizal semakin tertekan dan membara untuk menjadi orang perjuangan. Dia terlibat dalam pergaduhan dengan kadet Sepanyol yang mencela pelajar pribumi. 1880, Rizal dilantik sebagai presiden Academia de La Literatura Castellana. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Setiausaha, untuk Academia de Ciencias Filosofico – Naturales.(Carlos Quirino, 1958: 37-42).
Rizal melanjutkan pelajarannya ke Sepanyol. Di Sepanyol, dia melihat kebebasan bersuara, walaupun dalam hal-hal sensitif diluahkan di khalayak awam. Pengawal awam tidak empedulikan kata-kata bersifat nasionalisme, seperti laungan- laungan pejuang-pejuang wilayah Catalonia yang ingin bebas dari Sepanyol. Rizal menutuskan surat kepada teman-temannya di Manila berkenaan kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan amalan-amalan warisan. Rizal semakin belajar mencintai nasionalisme Filipina. Di Madrid, Rizal telah berkumpul bersama bangsa Filipino yang lain. Kelab bangsa Filipino tersebut merupakan percambahan pendapat dan pandangan tentang perkembangan ekonomi, politik, dan sistem pentadbiran di Filipina. Mereka menulis dengan pelbagai cara. Kelab ini terdiridaripada ahli-ahli yang lebih dewasa, terdiri daripada peguam, pedangang, bekas pegawai tentera, penulis, dan orang-orang yang pencen. Rizal mendapati, terdapat ramai cerdik pandai yang hilang punca dan tidak disatukan dalam bentuk pertubuhan kerana terlalu mementingkan sikap peribadi atau individualisme. Rizal semakin mendapat aspirasi untuk memperjuangkan nasionalisme Filipina. Dia belajar bahasa Arab, Greek, dan Hebrew untuk mendapatkan banyak kefahaman dalam strategi perjuangan yang didapatinya dari peluang pembacaan pelbagai bidang dan buku-buku yang terbentang luas di Eropah. Tahun kedua di Madrid, Rizal berterusan mujuk anak-anak muda Filipina untuk melakukan yang terbaik bagi Filipina jika hanya mereka sanggup bergerak secara organisasi yang betul-betul diuruskan. 1883, Rizal megadakan perhimpunan anak-anak Filipina di Madrid pada sambutan tahun baru. Peluang ini digunakan Rizal untuk menaikkan semangat cintakan tanah air. Pertemuan seterusnya diadakan, namun Rizal menghadapi masalah kerana ada antara yang hadir banyak menimbulkan kesulitan dari menyokong. Setengah daripada mereka bangun meninggalkan perbincangan. Rizal mendapat kesukaran dan timbul idea untuk menurunkan perjuangannya dalam bentuk kesedaran yang bersifat ironi. Rizal berjaya menyalurkan idea tersebut melalui novel, Noli Me Tangere. Di dalam novel inilah Rizal menyedarkan khalayak pembaca tentang penjajahan, kekejaman, dan ketidakadilan Sepanyol di Filipina(Carlos Quirino, 1958: 65-80). Rizal bangkit dengan kesedaran yang bercita-cita dengan penuh harapan sanggup berkorban dalam hidupnya. Dia juga melihat kerenah gereja yang bebas di Madrid dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun walau pihak kerajaan, tetapi sebaliknya di Filipina, pihak gereja didominasikan oleh kerajaan.
Rizal menegaskan prinsip-prinsip perjuangannya untuk dunia pergerakan, novel Noli beliau dikritik kerana tiada unsur-unsur sastera, namun dia tegas menjawab,
To me, the question of writing with a greater or less degree of literary style is secondary: the principal thing is to and feel honestly, to work for an end and then let the pen do its best in transmitting our ideas. What we should ask most of a Filipino of our generation is not to be a stylist, but to be a good man, a good citizen who will aid with his head, his heart, and if need be with his hands the progress of his country. With the head and the heart, we can and should always work; with the hands, when the times comes. At present the principal instrument of the heart and the head is the pen. Some prefer the brush, others the chisel. I prefer the pen.(The Great Malayan, hlm. 160)

Rizal juga menyatakan prinsip-prinsip perjuangan yang tegas dalam dunia gerakan, jangan mementingkan diri secara peribadi, dan keputusan yang kolektif merupakan satu keputusan yang suci bagi dunia perjuangan, jangan mengharapkan balasan, atau sebarang imbuhan. Keikhlasan dan kesamaan adalah keadilan untuk semua. Prinsip ini diberikan dalam ucapannya ketika dipilih sebagai presiden kehormat persatuan Filipina yang baru ditubuhkan, iaitu La Solidaridad, setelah persatuan Asociacion Hispano Filipina diambil alih oleh ahli politik Sepanyol.

In newly-born societies, the spirit of tolerance must reign … in discussions the conciliatatory tendency must reign instead of tendency of tendency to opposition. Nobody should resent a defeat … The individual should give way to the well-being of society …The decisions of the majority, after sufficient discussion, are sacred and cannot be questioned. Much and much good will are needed. Let no one expect prizes or honors for what he does; he who fulfills his duty with a view to recompense often receives disappointment, for nobody ever believes he is sufficiently rewarded …Economy, economy, and economy should be our watchword. Sincerity and equal justice to all (The Great Malayan, hlm. 161-162).

Perjuangan Rizal bukan setakat mempengaruhi rakyat Filipina tetapi turut meraih simpati sarjana-sarjana asing untuk menyebelahi perjuangan nasionalisme Filipina. Ketika di London, Rizal berjaya mendapat simpati beberapa sarjana daripada England, Perancis dan German dalam mengatur strateginya untuk mendapat jaringan dan sokongan antarabangsa. Rizal berjaya menubuhkan persatuan yang dicita-citakan untuk aspirasi nasional beliau ketika tiba di Paris. Asociacion Internacional de Filipinistas ditubuhkan. Blumentritt, warga German menjadi presiden, Edmund Planchet, sarjana Perancis sebagai vice-presiden, dan beliau sebagai setiausaha. Rizal tidak berdiam diri setelah kemasukan warga antarabangsa di Filipina dalam kegiatan seminar dan konferen dihadkan. Usaha Rizal terbantut. Namun Rizal meneruskan dengan usaha kehadiran warga Filipina ke Sepanyol. Beberapa tokoh pejuang dari Filipina seperti Baldomero Roxas dan Lauro Dimayuga, Gregorio Aguilera, Julio Llorente, Gregorio Pautu dan Fernando Canon digabungkan dalam kelab “Kidlat”. Rizal cekap mengambil kesempatan yang ada untuk menggerakkan idealismenya. Rizal cuba mengedarkan buku dan risalahnya dengan pelbagai cara, beliau berusaha walau dengan penuh cabaran dan pancaroba. Rizal poskan penerbitan beliau kepada kawan-kawannya di seberang laut, menyebarkan propaganda. Dan beliau tidak berkompromi dengan tekanan pihak Sepanyol. Beliau berkorban makan minumnya untuk menerbitkan sebuah lagi novel nasionalis berjudul, El Filibusterismo. Anak muda ini menggunakan apa sahaja yang dianggapnya peluang untuk mempengaruhi kesedaran terhadap perjuangan yang dicita-citakan.
Keserlahan Rizal dalam menggerakkan semangat kebangsaan Filipina mendapat perhatian pemerintah. Tahun 1896, Rizal ditangkap dalam pelayaran ke Cuba, dan dipenjarakan di Barcelona, sebelum dibawa balik ke Manila untuk dibicarakan dan Rizal dijatuhkan hukuman bunuh pada 30hb. Disember 1896 atas dakwaan menggerakkan revolusi. Dia dikenang sebagai Pejuang Agung Bangsa Malayan @ Melayu.
Dari kehidupan Rizal bayak yang dapat digali dan dipelajari. Beliau membawa imej gerakan rakyat, bersemangat kental, berjiwa besar dan suka dengan kesatuan. Sepanjang hidupnya, Rizal merupakan seorang pejuang yang sering meletakkan asas-asas penyatuan semanagt sebagai satu mekanisme untuk mencapai kejayaan. Beliau merupakan lambang inspirasi anak-anak muda yang seharusnya melihat sesuatu fenomena dalam kerangka yang lebih terbuka serta luas dalam konteks yang lebih makro. Baginya, bangsa Malayan yang dimimpi-mimpikan adalah satu bangsa besar tanpa beliau sendiri fikirkan asal usul etnik yang sempit, namun jiwa kolektif beliau memperlihatkan akan perlunya gerakan kesatuan, pengorbanan terhadap pembebasan bangsa, solidariti dan keamanan sejagat.

Penutup
Dengan demikian Rizal Memorial Park merupakan simbol yang diwujudkan dalam menggerakkan jutaan perasaan rakyat China untuk berkongsi dan memahami Cerita Tentang Kejayaan. Sikap dan jiwa rakyat China dapat dibangunkan dengan satu inspirasi tentang kejayaan masa silam, dari segi sejarah dan keagungan nenek moyang kepada kejayaan tycoon-tycoon ekonomi yang berhijrah ke luar negara dan mencipta jutaan cerita tentang kejayaan. Pemikiran neomarxis wujud dengan prinsip bukan atas dasar teori konflik lagi tetapi teori penyatuan yang menyaksikan masyarakat dibangunkan melalui ekonomi dan kesedaran sejarahnya. Kombinasi ini adalah menarik sebagai satu pendekatan untuk menggerakan minda kolektif rakyat supaya dapat bersama-sama berkongsi dalam pembangunan mental dan jiwa mereka ke arah kejayaan. Simbol tentang kejayaan seperti simbol yang ada pada Jose Rizal merupakan simbol yang harus dimanfaatkan oleh negara-negara lain. Untuk itu secara positif saya mengatakan China akan berjaya menguasai ekonomi dunia, sekaligus menyaingi Amerika jika ia dapat menggerakkan ekonomi yang berasaskan pembangunan mental dan jiwa rakyatnya secara kolektif.