Tuesday, July 27, 2010

Mempersoalkan Nasionalis?


Hashim Ismail

(Disiarkan Utusan Malaysia, 12 Julai 2010, hlm. 11, dengan judul Usah Persoalkan Nasionalis)

Banyak pihak mula mempersoalkan kerelevanan nasionalis. Mereka menganggap Assabiyyah, bagaimanapun faham bahawa mencintai watan adalah tuntutan agama. Wacana yang berasaskan nasionalis dianggap perkauman atau pro chauvinist. Perangkap di sebalik prinsip-prinsip globalisasi, ketelusan, kebebasan bersuara, hak hak kemanusiaan menjadi obor bagi mencabar pemerintah, sama ada dengan tujuan yang baik atau dengan tujuan untuk mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Situasi politik, dan situasi ekonomi sangat mempengaruhi kebangkitan suara-suara ketidakpuasan, dan merebak secara cepat dan mudah mendapat pengaruh di media internet serta media alternatif. Keadaan kemelesetan ekonomi akan menambahkan lagi desakan dan suara-suara protes. Masyarakat sangat sensitif terhadap soal kewangan. Perkembangan semasa dalam krisis ekonomi di Eropah, kecelaruan ekonomi Amerika dan China, memburukkan lagi ekonomi dunia. Kesannya Malaysia juga sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi. Dalam masa terdekat dijangkakan ”The External Uncertainty” akan membawa Malaysia ke ambang inflasi, sekaligus akan memungkinkan Bank Negara menaikkan kadar faedah. Kesannya akan menyebabkan sedikit kemakmuran tergugat. Dan kita pasti bahawa ada pihak yang akan menyalahkan pihak lain dalam keadaan yang celaru tersebut. Suara protes akan meningkat kerana gangguan ekonomi. Pihak yang menguasai ekonomi tidak akan senang duduk. Pihak ini akan mencabar mitos GLC dan mitos UMNO mengawal ekonomi negara. Maka mereka berpaling tadah kepada imaginasi ekonomi pihak pembangkang. Sistem perundangan, sistem penguatkuasaan dan kehakiman akan dilihat korup. Krisis kepercayaan dan krisis keyakinan akan meningkat. Ini merupakan cabaran besar terhadap membina negara bangsa.

Di manakah relevannya Nasionalis dalam situasi ini? Perjuangan cintakan negara akan berubah kepada perjuangan mencintai jati diri dan kenegaraan. Bukankah pemikiran ini juga merupakan pemikiran nasionalis. Semangat kebangsaan dan obor patriotisme dihidupkan bertujuan untuk membina kesedaran pihak-pihak yang menguasai politik dan ekonomi supaya memikirkan sejarah panjang yang terbina, kesedaran terhadap neo-nostalgia masa lalu yang mungkin sangat tidak disukai dan tidak difahami oleh generasi muda. Bahayanya ialah ramai anak muda yang tidak mengerti akan kesengsaraan duduk di bawah pemerintahan orang asing.

Dalam situasi ini pentingnya semua pihak berfikir untuk mengekalkan kemakmuran negara. Yang pastinya juga mengekalkan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial. Sekarang inilah masanya, semua pihak pemerintah dan pembangkang harus berlandaskan prinsip membahagikan “Samarata Kemakmuran untuk Rakyat”. Untuk itu semua kaum harus memahami inspirasi kebangsaan, inspirasi nasionalis yang kita tidak boleh lari dari memahami kembali jalur sejarah dan kesan perkembangan politik dan bentuk ekonomi yang dihasilkan oleh peninggalan kolonial. Ini termasuk pola-pola bandar dan luar bandar.

Permintaan dan desakan yang melampau pada hari ini yang kita dengar oleh pihak-pihak tertentu sebenarnya akan mecetuskan ketidakstabilan kemakmuran yang dikecapi bersama. Oleh itu apabila masyarakat Cina dengan pelbagai persatuan meminta secara berlebih-lebihan, maka akan muncul ratusan persatuan-persatuan Melayu yang akan menuntut untuk Kemakmuran Bersama bagi mempertahankan hak mereka. Tuntutan itu akan datang dari jauh dari daerah-daerah pendalaman kerana kesedaran yang meningkat. Fenomena ini adalah lazim dalam negara yang sedang berhadapan dengan krisis politik dan krisis ekonomi. Itali dan Rusia pernah mengalami situasi yang sama pada abad-abad lampau. Sehinggakan dunia menyaksikan kebangkitan tokoh pemikir seperti Marxis dan Musolini.

Perubahan dalam pihak yang memerintah sangat diperlukan dalam situasi sekarang. Dan cabarannya bukanlah mudah. Pembuktian terhadap dasar kesamarataan kek ekonomi adalah satu senjata yang perlu dipercepatkan. Secara sejarah, negera-negara yang jatuh dan dibangunkan semula adalah hasil gerakan rakyat. Dan gerakan rakyat adalah revolusioner yang tidak siapa dapat jangkakan, bom waktu akan meletup jika Kemakmuran tidak diagihkan sama rata. Memenangkan pihak tertentu akan menaikkan kemarahan rakyat. Kita tidak mahu ada pihak yang menggelarkan pihak lain sebagai primitif dan satu pihak lagi menggelarkan pihak lain pula barbaric. Cetusan-cetusan sebegini adalah kelemahan kita sendiri. Oleh itu ekosistem politik dan ekosistem ekonomi ini perlu distrategikan satu persatu. Ya, Konsep Satu Malaysia adalah salah satu jawabannya, tetapi jangan sampai Konsep Satu Malaysia disalah tafsir kerana keterbukaannya.

Dengan itu gerakan-gerakan kesedaran tentang bahayanya masyarakat Malaysia tidak memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara akan menyebabkan api kemarahan kaum akan marak dengan cepat. GAPENA merupakan sebahagian NGO yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan Semangat Nasionalis itu hidup dalam wadah baharu, iaitu dengan menerangkan elemen-elemen perpecahan yang timbul sekarang ini kerana kita tidak faham Jati Diri dan Kenegaraan. Membina negara bangsa dalam bentuk menjaga Kemakmuran bersama yang Adil dan Saksama. Justeru itu juga Konsep Satu Malaysia itu adalah bahaya jika ditafsirkan secara berpihak. Konsep Satu Malaysia hendaklah berasaskan Meratakan Kemakmuran yang sebenarnya telah diletakkan pada semangat Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Perlembagaan Persekutuan. Anak-anak kita harus ditanamkan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan itu demi kemakmuran yang merata dan keadilan sosial.

Untuk parti-parti Melayu, landaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapkan sebagai tonggak perjuangan. Kita perlukan keadilan sosial dalam imej kepelbagaian Kaum yang ada di dalam negara. Zaman orang mendesak itu dan ini. Kita membuka diri untuk lebih bersifat rasional. Terasnya ialah terhadap permuafakatan sejarah yang telah sedia wujud dan Islam merupakan agama yang meletakkan asas keadilan sosial itu. Orang lain mungkin khuatir dengan istilah kemelayuan atau kebangsaan sekali pun, namun Islam adalah contoh pembawaan keadilan sosial dan merupakan tamadun yang universal. Oleh itu Melayu mempunyai Islam sebagai satu permuafakatan.