Tuesday, July 3, 2012

Pilihanraya Ke 13, Isu Bangsa, Pendidikan, Dikotomi Kota dan Luar Bandar


Pilihanraya Ke 13, dijangka akan mewujudkan dikotomi antara kaum, dan Dikotomi Kota dan Luar Bandar. Adakah sistem Pendidikan akan berubah mengikut Dikotomi Juga?  

Pada tahun-tahun awal sebelum perang dunia ke dua dan selepas perang, taburan kependudukan kota dan desa menentukan keupayaan ekonomi masyarakat. Keupayaan masyarakat pendatang dalam bidang ekonomi di kota sangat jelas. Sebaliknya masyarakat Melayu di desa-desa ketinggalan jauh ke belakang. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu penghasilan daripada dikotomi kota dan desa tersebut. Politik kota dan desa merupakan pola penting terhadap keharmonian kaum. Namun sebagaimana yang digambarkan oleh sasterawan, kaum Melayu tewas di kota dan terjebak dalam kehidupan yang tidak bermoral. Sebaliknya pula di desa mereka hidup dalam kemelut ekonomi yang dikuasai oleh golongan pemodal yang sekali gus bertindak sebagai penindas. Kemiskinan desa dan kemiskinan di kota adalah dihuni oleh masyarakat Melayu. Dengan itu kesedaran terhadap semangat dan roh kebangsaan melahirkan Perlembagaan dan dasar-dasar yang berteraskan masyarakat Melayu sebagai teras kebangsaan, termasuk Akta Pendidikan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Abdul Razak meletakkan asas-asas yang kukuh dalam menjamin supaya dikotomi antara desa dan kota dapat disinkroniskan.

Kefahaman terhadap dasar-dasar kebangsaan tersebut adalah satu pilihan yang telah diberikan oleh kebijaksanaan pemikiran bersama. Oleh itu semangat dan roh kebangsaan dengan sendirinya menjadi suatu teras kepercayaan untuk semua warga kota dan desa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Pengluasan dasar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris telah meletakkan suatu dikotomi baru yang bertentangan dengan hasrat jiwa dan roh kebangsaan tersebut. Ibarat sistem ekonomi yang berbeza antara desa dan kota, kemelut bahasa ini akan mengheret kepada jurang dikotomi yang semakin melebar.    
Contoh klasik  yang sering diambil oleh ahli Komunikasi Antarabudaya tentang permasalahan bahasa dan dasar politik ialah di negara Belgium. Belgium menghadapi masalah dalam perpecahan wilayah bahasa dalam negeri mengikut pola-pola kedudukan ekonomi, politik dan sosial. Antara bahasa Perancis dan Belanda serta sebahagiannya Jerman menjadikan warganegara Belgium berpecah kepada beberapa golongan. Situasi ini menjadikan ketegangan dalam komunikasi antarbudaya. Pada tahun 1980, Belgium berpecah kepada tiga bahagian, iaitu Brussels, Flanders (menggunakan bahasa Belanda sebagai rasmi) dan Wallonia (menggunakan bahasa Perancis dan di bahagian utara menggunakan bahasa Jerman). Rakyat mereka berhadapan dengan masalah perpecahan kerana masalah bahasa yang bersifat multilingual. Kekacauan dalam keupayaan berbahasa dalam satu negara ini menyebabkan mereka menghadapi kecelaruan dari segi komitmen politik dan sosial (Judith N. Martin dan Thomas K. Nakayama, 2004: 225-227).