Teori Neo-Nostalgia.
OLEH HASHIM ISMAIL
1. Pengenalan:
Perkembangan mutakhir ilmu sastera
di Barat dan Timur yang berbeza perspektif menyebabkan timbul pelbagai masalah
dalam menangani sesuatu hasil sastera. Di dalam perkembangan sastera Melayu
muncul perbincangan yang mengenalpasti terhadap keperluan pendekatan sendiri
untuk memahami teks sastera tempatan. Kesedaran terhadap teori sendiri ini
terbukti dengan lahirnya pendekatan-pendekatan seperti Teori Pengkaedahan
Melayu, Teori Takmilah, Teori Teksdealisme, Persuratan dan Persuratan
Baru.
Perbincangan terhadap keperluan
pendekatan-pendekatan ini pula berlandaskan permasalahan yang timbul apabila dalam
membicarakan Teori Timur dan Barat, banyak ciri-ciri perspektif yang berbeza
akan timbul. Perspektif tersebut akan sentiasa bertolak dari kerangka berfikir
yang dikotomous, antara sesuai atau tidak. Penghasilan sastera di era
pascamoden menambahkan lagi bentuk-bentuk pemikiran baru yang bertembung antara
Barat dan Timur. Dan selesainya era kejatuhan Komunis atau perang dingin
menyebabkan semakin menggalakkan untuk timbulnya bentuk-bentuk pemikiran budaya,
politik dan sosial dari pelbagai perspektif. Unilateral menambahkan darjah
pencarian dikotomi antara Barat dan Timur serta antara muslim dan nonmuslim. Tanggapan
terhadap peristiwa “September Eleven atau 911” menjadikan kepelbagaian cabaran menerjah
terhadap masyarakat Timur, khususnya Islam. Neokolonialisme, pascakolonialisme,
neokapitalisme, hegemoni, global ekonomi dan kesedaran negara-negara Islam terhadap
“perpecahan” yang berpanjangan antara mereka menyebabkan globalisasi menjadi
lebih menuju untuk mencari nilai-nilai moral atau akhlak yang universal.
Politik dunia menjadi sebahagian daripada keperluan untuk menilai pencapaian
masa silam. Penduduk dunia sama ada Barat dan Timur melihat hegemoni
negara-negara besar terhadap negara-negara kecil dalam kerangka keagamaan dan
moraliti pemimpin. Kebenaran yang ada dilihat berpunca dari kebenaran atau
kesalahan kuasa pimpinan, dan kembali kepada menilai individu pimpinan, bukan
lagi budaya tinggi-budaya rendah atau budaya Barat-Timur. Dengan kata lain
globalisasi yang sarat dengan heterogeneiti itu telah mengembalikan kepada maruah
jati diri yang lebih kecil dalam kerangka pemikiran yang lebih mikrokosme sifatnya.
Antara pemikiran Barat dan Timur, perbezaan yang bersifat dikotomi sempit akan
makin menghakis kerana peradaban dunia terletak kepada peribadi yang mikro.
Dengan itu masa sekarang adalah masa
untuk bangsa yang sebelum ini berada di dalam skala kecil bangkit menyatakan
pemikiran mereka.
2. Latar Belakang
Pembinaan Teori
Teori Neo-Nostalgia muncul apabila
kajian terhadap hasil sastera Melayu sejak 1970-an didapati signifikant
penulisannya berdasarkan hasrat memperkukuhkan identiti bangsa berlandaskan kekuatan
masa lalu. Sebahagian besar penulis menggunakan sumber sejarah, sumber tradisi
lisan, lagenda, mitos, cerita rakyat dan kebudayaan tempatan serta kekuatan
daripada keagungan sejarah tamadun Islam. Sumber-sumber berkenaan sebelum ini
dihubungkan dengan pendekatan arkitaip, atau berbentuk histogriografi, namun
didapati jauh lebih mendalam ialah untuk memperkukuhkan moraliti bangsa,
memperkuatkan identiti, memberi penghujahan baru terhadap zaman silam, dan
membentuk maruah dalam konteks yang lebih kental dengan ciri-ciri Kemelayuan
dan Keislaman. Paten penulisan sedemikian akan dapat diikuti oleh majoriti
penulis negara dan dengan hasil kreativiti yang lebih tinggi mereka dapat
mengungkapkannya untuk meletakkan bahawa Kemelayuan dan Keislaman itu merupakan
sebatian geist yang paling sesuai dalam proses pengkaryaan sastera Melayu. Oleh
itu Teori Neo-nostalgia sebenarnya lebih menumpukan terhadap proses pemikiran
pengarang dan bagaimana proses kreativiti pengarang mengolah semula
sumber-sumber sejarah, kebudayaan, tamadun Melayu, tamadun Islam, tradisi
lisan, dan sumber-sumber moraliti kolektif bangsa Melayu ke dalam bentuk yang
lebih efektif untuk memberikan landasan pemikiran tentang kelebihan bangsa mereka.
Episteme Neo-Nostalgia
muncul apabila Hashim Ismail membentangkan satu kertas kerja di Seminar
Kritikan Sastera Melayu Serantau, 2001, di Kuala Lumpur.[1] Hashim Ismail membincangkan tradisi moraliti
kolektif yang menjadi teras wahana penghasilan teks kita. Dan Hashim Ismail
menganggap moraliti kolektif ini sebagai satu hasil bentukan “The Old Morality”
yang harus diangkat dan diketengahkan. Kita akan kembali kepada satu bentuk
nostalgia dari hasil kesusasteraan kita. Tradisi moraliti kolektif, sastera
adab dan cermin diri merupakan sastera yang menjadi milik kolektif kepujangaan
bangsa kita. Moraliti kolektif dari tradisi kesusasteraan itu merupakan satu
bentuk nostalgia kolektif. Hashim Ismail membahaskan pandangan Fred Davis(1979)
tentang nostalgia, dan Fred ternyata hanya mengistilahkannya sebagai “Simple
Nostalgia”. Namun demikian Hashim Ismail tidak nafikan perbahasan Fred menjadi
pedoman untuk beliau melandaskan satu bentuk pemikiran Neo-Nostalgia.[2] Dari segi konsep, nostalgia kolektif merujuk
keadaan objek-objek simbolik yang sangat diterima umum, tersebar luas, dan
sudah menjadi satu kelaziman, serta merupakan sumber simbolik dari masa lalu
yang disalurkan dalam keadaan yang
terkawal atau terbentuk; boleh memacukan gelombang demi gelombang perasaan
nostalgia jutaan manusia dalam masa yang sama.[3]
Bukan sahaja
pandangan Fred yang menyebabkan Hashim Ismail menimbulkan episteme Neo-Nostalgia,
malahan apabila membincangkan pascamoden beliau mendapati semakin banyak
keperluan ke arah itu untuk dirasionalkan. Pembacaan terhadap kupasan Fred, Hashim
Ismail menemukan konsep “The Beautiful Past and The Unattractive Present”. Fred
menggunakan juga ungkapan, “Things Were Better Then Than Now”.[4] Malahan beliau mendapatkan argumentasi-argumentasi utama
melalui Jean Baudrillard, Jean Francois Lyotard, dan Michel Foucault. Daripada
Baudrillard(1983), Hashim Ismail mendapati bahawa ketika yang nyata tidak lagi
seperti yang dahulu, ada nostalgia memberikan makna yang sesungguhnya; akan
terjadi perluasan mengenai mitos-mitos asal-usul dan tanda realiti; kebenaran
kedua berkenaan objektiviti dan autentik.[5]
Manakala melalui Lyotard dan Foucault, beliau mendapati bahawa keperluan
terhadap aspek peraturan strategi untuk berada dalam masyarakat “Carceral” atau
“The Computerization of Society”.[6]
Beliau meneliti pemikiran Pascamoden yang telah meletakkan ukuran seperti
dekonstruksi dan intertekstualiti yang boleh wujud dalam keadaan yang tidak
lagi mementingkan realisme semata-mata tetapi hakikat fantasi dan nonrealisme
yang semakin perlu untuk menunjukkan keberadaan manusia.[7]
Oleh itu sejarah
boleh dibina kembali dalam bentuk baru yang mempunyai maksud-maksud baru untuk
tujuan tertentu. Keberadaan sejarah tersebut boleh dirongkai dalam nostalgia
bentuk baru, kembali kepada keagungan silam untuk menunjukkan sesuatu maksud
baru yang mungkin tidak lagi merujuk kepada sejarah sebenar-benar sejarah
tetapi sejarah yang berdialog, yang mungkin juga bersifat intertekstualiti
tetapi merupakan moraliti baru yang semakin diperlukan untuk memperkukuhkan
jati diri bangsa tersebut.[8]
Hashim Ismail
berpendapat rasional keperluan terhadap Neo-Nostalgia kerana kita kini berada
dalam dunia teknologi maklumat yang sebenarnya kita bukan semakin berinteraksi
dengan manusia lain tetapi berinteraksi dengan keberadaan diri yang semakin
sempit. Masyarakat Komputerisasi berada di dalam dunia fantasi yang dihubungi
dengan maklumat kod-kod komputer. Kita berada di dalam budaya orang lain tanpa
keberadaan realisme diri. Oleh itu kita hilang dalam interaksi yang berjisim
tetapi semakin dirasakan wujud dalam interaksi yang bersifat maya, imaginasi
dan kehidupan nonrealisme. Kehebatan dunia fantasi dan imaginasi bergantung
kepada simbol maya yang akan menguasai keberadaan seseorang.[9]
Namun demikian beliau berpendapat
bahawa sejauhmana keupayaan tersebut untuk berlaku adil dalam masyarakat yang
penuh berilmu pengetahuan kerana setiap yang ada pada skrin itu merupakan
angka-angka yang hanya mewakili hakikat kewujudan sebenar. Lantaran itu mereka
perlu kembali kepada kewujudan sebenar dan apabila bertanya kepada kewujudan sebenar mereka
mencari pengenalan diri, hidup yang sebenar. Neo-Nostalgia akan kembalikan
mereka kepada keberadaan sebenar.[10]
3. Ciri-Ciri yang
Membina Teori Neo-Nostalgia
3.1 Konsep Neo-Nostalgia
Greenblatt(1982) menyatakan pemahaman
terhadap teks perlu ditafsirkan kembali dari segi konteks sejarahnya. Makna
sejarah sebelum ini terperangkap di dalam satu perspektif lama mengikut fahaman
“The Old Historicism”. Sejarah dapat ditafsirkan dari sudut-sudut yang lain
sebagaimana berkembangnya pemikiran-pemikiran seperti feminisme, gender,
pascamoden, dan neo-marxist. Sejarah itu bukan sahaja mempunyai konteks tetapi
terdapat teks yang bersejarah di dalamnya. Perspektif new historicism
bukan lagi perspektif yang sempit dari pencatatnya yang dilihat mempunyai kuasa
atau diberi kuasa, tetapi merupakan juga catatan-catatan dari pihak yang berada
di sisi marginal. Oleh itu sejarah perlu ditafsirkan bersama pemikiran budaya
dan sosial masyarakat yang mewakilinya.
Greenblatt secara
kebetulan telah menggunakan istilah “new historicism” apabila beliau menulis
pengenalan untuk Shakespearean Negotiations atau secara lebih tepat
sewaktu beliau menulis pengenalan untuk buku The Power of Forms in the
English Renaissance.[11]
Greenblatt bertolak dari episteme “Cultural Poetics” dan konseptual tersebut
muncul berasaskan perbincangan konsep yang telah muncul di British dengan episteme
“Cultural Materialism”. Manakala apabila dibincangkan oleh Louis Montrose, dia
lebih cenderung untuk menggunakan episteme “Cultural Politics”.[12]
Walau bagaimanapun penekanan yang dibincangkan secara konseptual adalah terhadap
dua ufuk utama, iaitu membahaskan pemikiran “The New Historicism” dan
pendekatan “The Old Historicism”. Kedua-dua tokoh tersebut berasaskan perbahasan
sejarah sebagai takwil konsepsual.
Secara psikologi
bahawa apabila sahaja orang mengalami penderitaan jiwa dan kesengsaraan batin,
ia cenderung untuk memikirkan tempat asalnya; nostalgia silam yang membentuk
identiti budaya atau jati dirinya. Peter Berger, Brigitte Berger dan Hansfried
Kellner(1973) pernah mengemukakan fenomena The Homeless Mind, yang
menyangkut tema-tema keterasingan. Fenomena keterasingan yang menimbulkan
kesamaan bahawa dalam peradaban non Barat, idea dan fenomena nostalgia telah meluas. Istilah
peradaban Cina, iaitu hsiang-ch’ou melibatkan penggabungan istilah tanah
air dan penderitaan yang menunjukkan keinginan untuk kembali ke tempat akrab
dalam kehidupan sebelumnya.[13]
Manakala negara Jepun memiliki sejarahnya sendiri dan dapat menyatakan
binaan identiti atau jati diri bangsanya melalui binaan nostalgia yang dipupuk.
Dari moral yang lemah, Jepun membina esensi bentuk budaya yang berasal dari
budaya lain, terutama bangsa Cina. Kaum elit Meiji yang baru sangat tegas dan
mahir dalam merekonstruksi tradisi nasional, menyaksikan suatu kebijaksanaan
berasaskan pada penciptaan nostalgia yang sangat bermanfaat dalam
masalah-masalah tertentu seperti sistem imperial, Sinto sebagai agama rakyat,
etika samurai dan etos Konfusian sebagai jalan konsolidasi “esensi nasional”
Jepun dan menguatkannya, sebagai kebudayaan keseluruhan masyarakat yang khas
untuk melawan dunia luar. Jepun sebgaimana Jerman yang menyatu kembali sekitar
1989, merupakan dua bangsa yang menekankan aspek homogeneniti etnis atau ras
dan bukannya heterogeniti, mereka memanfaatkan nostalgia secara politik.[14]
Peradaban baru yang bangkit dengan Neo-Nostalgia
menunjukkan pencapaian dalam membangunkan bangsa.
Kekuatan Neo-Nostalgia
merupakan kekuatan pemikiran yang dibincangkan dalam kerangka kesedaran
terhadap nostalgia. Francis Fukuyama(1989) mencetuskan pendapatnya tentang The
End of History. Fukuyama telah berbicara mengenai “nostalgia yang sangat
kuat” yang telah dialaminya ketika “Sejarah Wujud”. Berakhirnya Perang Dingin,
terutama konflik antara Amerika dan Soviet serta anggapan kemenangan idea-idea
Barat, membuatnya berfikir bahawa nostalgialah yang akan terus memenuhi
persaingan dan konflik bahkan dalam dunia pascahistoris untuk beberapa waktu
mendatang. Menurut Fukuyama, prospek penting dari abad yang
“membosankan”(mendatang itu) akan menjadi sejarah muncul sekali lagi.[15]
Apakah maksud beliau dengan nostalgia tersebut? Bagi Hashim Ismail nostalgia
bukan untuk kita menjadi seorang perindu terhadap masa silam, untuk apa? Dengan
itu nostalgia yang sangat kuat itu perlu hadir dalam kerangka baru,
dipersembahkan dengan strategi baru, iaitu Neo-Nostalgia.
Apabila membaca
tulisan-tulisan daripada Roland Robertson tersebut, Hashim Ismail memikirkan
apakah selepas ini? Malahan perkataan pada tajuk rencana Robertson tersebut
menimbulkan persoalan bagi beliau ; Setelah Nostalgia? Beliau memikirkan
tentulah Neo-Nostalgia. Beliau ingin mengukuhkan pandangannya tentang Neo-Nostalgia
apabila ilmu-ilmu pemikiran pascakolonial semakin cepat berkembang. Dan beliau
mendapat sedikit kelapangan apabila membaca tulisan Edward Said(1993) dalam
membincangkan kebudayaan dan imperialisme; Edward Said menyatakan saat-saat
pascamodenisme inilah saat-saat untuk bangsa tersebut menilai kembali sejarah
yang telah berlalu itu.[16]
Beliau menyatakan kesungguhan untuk menggarap Neo-Nostalgia sebagai satu
gagasan pemikiran; sekurang-kurangnya untuk dapat memahami penghasilan sastera
Melayu di dalam perkembangan sastera pascakolonial dan pascamoden.
Pemikiran Neo-Nostalgia
merupakan satu bentuk pemikiran yang
bukan lagi untuk muncul mengenangkan kembali masa silam yang indah tetapi
merupakan satu pembentukan pemikiran yang mengangkat pola-pola nostalgia
sejarah silam, tradisi kolektif, dan moraliti kolektif untuk diberikan makna
baru supaya bangsa dapat memahami keagungan silamnya itu. Neo-Nostalgia bukan
semata-mata keagungan bangsa tetapi merupakan satu keagungan yang menjadi
pembentuk semangat dan pembentukan moraliti yang memahami maruah jati diri
milik budayanya bagi menghadapi cabaran dan pertembungan pemikiran semasa dan masa
depan.
Prinsip-Prinsip
Teori Neo-Nostalgia
Prinsip-prinsip Teori Neo-Nostalgia dapat
dibina dengan membahaskan pendekatan New Historicism yang telah sedia ada dalam
kritikan sastera. Secara umum Neo-Nostalgia mirip dengan New Historicism,
tetapi berdasarkan pertembungan pemikiran Barat dan Timur, Islam dan Non Islam,
didapati Teori Neo-Nostalgia mempunyai trek asas berfikir yang berbeza,
terutama apabila kerangka New Historicism yang lebih meletakkan tahap kuasa
sebagai penentu, tetapi Neo-Nostalgia melihat daripada aspek Maruah Diri. Oleh
itu kaedah dialektikal antara dua Teori ini akan menunjukkan kerasionalan
kenapa keperluan menggunakan Teori Neo-Nostalgia dalam memahami teks sastera
tempatan menjadi relevan.
3.2 Prinsip-Prinsip
Teori Neo-Nostalgia
- Homogeneiti – Heterogeneiti
Masyarakat
pascamoden merupakan masyarakat yang sangat terbuka. Globalisasi dan dunia e-knowledge
menjadikan bangsa-bangsa dunia akan cepat mencerap maklumat antara satu sama
lain dengan mudah dan terbuka. Ciri-ciri pluralisme global menjadi lebih
kompleks. Simpang-siur maklumat mendedahkan kepada pelbagai sifat-sifat
heterogeneiti sama ada dari segi perkembangan ilmu pengetahuan dan maklumat-maklumat
lain. Budaya, sastera, bahasa, sosial, politik, perundangan dan pelbagai
maklumat “dikomputerisasikan” sama ada melalui media elektronik atau melalui
komunikasi satelit, dan ini akan mencambahkan lagi heterogeneiti. Di
negara-negara maju sama ada Barat atau Timur akan cepat menerima ciri-ciri
heterogeneiti tersebut. Pembentukan bangsa “kosmopolitan global” akan tumbuh
dengan cepat sama ada di Barat atau Timur, dan pembudayaan masyarakatnya akan
makin terbuka untuk mengambil ciri-ciri yang heterogeneiti tersebut. Kebudayaan
lokal akan terdedah untuk sama ada berdifusi, adaptif, akomodatif, asimilasi
atau berlaku “replacement” budaya. Kekuatan akan dilihat pada budaya yang universal
kerana ciri global yang meluas diterima pakai bagi “kosmopolitan global”.
Namun demikian bagi kumpulan yang
merasakan persaingan di dalam masyarakat “kosmopolitan global” akan mengancam
survival mereka, akan memilih untuk mengembalikan maruah mereka. Oleh itu bangsa yang cuba mempertahankan
identitinya akan mencari ciri-ciri homogeneiti. Pengenalan terhadap jati diri
di dalam pertembungan global akan mengembalikan bangsa-bangsa tempatan untuk
mendapatkan ciri-ciri kolektif. Set sejarah, budaya, bahasa dan agama merupakan
elemen-elemen homogeneiti yang dapat dijadikan benteng untuk menyatakan
keperibadian yang kolektif. Dengan kata lain jati diri yang dibentuk dan
dikukuhkan oleh maklumat-maklumat silam yang dapat dikongsi bersama menjadi
satu ciri homogeneiti. Oleh itu Neo-Nostalgia memainkan peranan yang penting di
dalam masyarakat pascamoden yang inginkan pengukuhan jati diri. Mitos, lagenda,
folklor, sastera lisan dan sejarah yang dimiliki secara kolektif dan mengakar
kukuh dalam masyarakat tradisional itu dapat dijadikan pemacu penting ke arah
mencapai cita-cita homogeneiti.[17]
Greenblatt(1982) tidak melihat dari aspek heterogeneiti atau
homogeneiti, namun Greenblatt menyarankan New Historicism itu sebagai
satu kaedah untuk memahami kebudayaan sesuatu zaman. Kuasa sosial sebenarnya
berada pada kuasa kebudayaan masyarakat yang menghasilkan teks tersebut. Oleh
itu teks perlu dilihat kembali dari aspek-aspek kebudayaan secara sejarah yang
mewakili zamannya. New Historicism menyediakan landasan fikiran untuk
melihat kembali teks sejarah. Dan Neo-Nostalgia menyarankan supaya tradisi bersejarah itu dilihat dan diangkat
kembali sebagai satu kolektif sosial dan kolektif budaya masyarakatnya.
Sebaliknya New Historicism menyarankan kecenderungannya untuk
mengemukakan kembali kumpulan marginal dan perlakuan nonnormatif yang sebelum
ini disisihkan oleh kekuasaan politik, dan mereka cenderung untuk mengangkat
semula The Other yang mungkin sebelum ini dari segi sejarahnya dianggap
subversif.[18]
Namun demikian New Historicism
turut dipengaruhi pemikiran Michael Foucault tentang konsep sejarah. Dan mereka
menampakkan kecenderungan terhadap perkongsian keberadaan sifat kebudayaan.
Persamaan tersebut menunjukkan kolektiviti masyarakat dan ke arah homogeneiti. “New
Historicists conception of history as a succession of epistemes or structures
of thought that shape everyone and everything within a culture”.[19]
- “The Old Morality, The Beautiful Past and The
Unattractive Present”
New
Historicism ingin mencari sesuatu yang telah lama terperangkap di
dalam kaedah kajian akademik di dalam kritikan sastera Anglo-American. Louis
Montrose memberikan beberapa alasan mengapa perlunya kajian semula terhadap
kritikan sastera Anglo-American, dan kepentingan cultural poetics
terhadap perkembangan akademik sarjana-sarjana English. Montrose telah
menghadapi situasi akademik yang berat sebelah, baginya kajian hanya tertumpu
kepada sastera agung yang hanya menyaksikan penghasilan dari kuasa-kuasa
kebudayaan dan politik yang dominan. Kesedaran terhadap kelemahan perpspektif
akademik tersebut menimbulkan tindakan untuk New Historicism
mengemukakan cadangan kaedah bacaan bagi kajian teks-teks tradisional.[20]
Mereka memahami bahawa imej dan naratif merupakan satu kerja kebudayaan. Ia
mempunyai fungsi sebagaimana “bengkel” yang menggambarkan masalah kebudayaan,
harapan, dan obsesi yang dikemukakan dan dielakkan. Masalah moral di dalam
sesebuah teks merupakan masalah sejarah dan budaya masyarakat yang
menghasilkannya di zaman tersebut.[21]
Sastera
Melayu itu secara tradisinya telah mengakar kuat dengan moraliti. Kesedaran
diri tentang lingkungan faedah, lingkungan rohani dan lingkungan estetik
merupakan milik sastera Melayu tradisional. Paksi moraliti ini merupakan paksi
yang sering menjadi teras penghasilan karya. Dan paksi moraliti ini merupakan
satu kenyataan keberadaan sastera Melayu. Paksi ini Hashim Ismail nyatakan
sebagai “The Old Morality”. Neo-Nostalgia memerlukan penerusan paksi “The
Old Morality”. Di dalam berhadapan dengan perubahan masyarakat, sama ada
moden atau pascamoden, sastera kita telah menunjukkan sifat kesebatiannya
dengan “The Old Morality”. “The Old Morality” merupakan benteng
yang dapat meneruskan survival bangsa. “The Old Morality” menjadi roh
atau semangat yang mendasari kekuatan Neo-Nostalgia. Dalam masa yang sama, Neo-Nostalgia
itu akan bertambah berkesan kerana desakan kewujudan manusia Melayu yang
berdialog secara dalaman antara masa lalu dan masa kini. The Beautiful Past
menjadi satu keperluan untuk menantang pemikiran masa kini yang dilihat dalam
sudut pertembungan, antara tradisi dan moden dan antara tradisi dan pascamoden.
Dan kesannya mungkin lebih dahsyat kerana wujudnya ciri-ciri masyarakat kini
yang mula melihat The Unattractive Present. Dengan itu sejarah perlu
dinyatakan kembali dalam bentuk imaginasi baru yang dapat menjanakan fantasi masyarakat seperti mitos baru untuk
menjanjikan kecemerlangan nonrealiti.[22]
- Dekonstruksi dan Intertekstualiti
Apabila mengembalikan semula sejarah
dan keagungan silam melalui Neo-Nostalgia, teks akan melalui proses pembinaan
semula sejarah atau moraliti kolektifnya. Untuk menyatakan keagungan tersebut
kita memerlukan prinsip-prinsip dekonstruksi dan intertekstualiti. Neo-Nostalgia
hidup di dalam kerangka melontarkan semula pemikiran bangsa tentang kejayaan
silam tersebut. Malahan “masyarakat komputerisasi” dan pascamoden akan membawa
kita ke dalam lingkungan dekonstruksi dan intertekstualiti. Pencapaian maklumat
perlu dirangkaikan dengan maklumat-maklumat yang lain. Neo-Nostalgia tidak
boleh dihidupkan tanpa dekonstruksi dan intertekstualiti. Kita membina masa
silam di dalam masa kini. Neo-Nostalgia memerlukan dekonstruk kepingan-kepingan
masa silam agar menjadi lebih menarik dan berwibawa. Kegemilangan dan
kecemerlangan bangsa merupakan kepingan-kepingan masa silam yang perlu dinyatakan
kembali. Sejarah akan ditafsirkan kembali dan dibina di dalam kerangka-kerangka
baru yang lebih menarik. Dengan tujuan menyatakan kebenaran impian hibriditi
atau masyarakat yang dijajah, dekontruksi peristiwa-peristiwa sejarah merupakan
jalan terbaik untuk mengangkat Neo-Nostalgia sebagai satu kejayaan impian.[23]
Namun
demikian New Historicism tidak berprinsip melakukan dekonstruksi teks
kerana ia mengganggap dekonstruksi teks masih sama dengan new criticism
atau strukturalism yang tidak memberikan fokus kajiannya terhadap konteks yang
bersejarah. Dekonstruksi dianggap masih tidak meletakkan teks tersebut pada
sejarah zaman penghasilannya. Oleh itu dekonstruksi boleh menimbulkan bias, dan menempel dengan
kuasa politik berpihak atau “monological”.[24]
Sebaliknya
dekonstruksi adalah penting bagi masyarakat pascakolonial, terutama masyarakat
Timur. Mereka harus memperbetulkan bukti-bukti sejarah sebelum ini yang
diselewengkan untuk tujuan penjajahan. Jika tidak dapat secara fakta, pastinya
secara imaginasi fiksyen yang dapat mengembalikan maruah bangsa, atau
sekurang-kurangnya menimbulkan kesedaran terhadap perspektif sejarah yang bias
sebelum ini. Sejarah di zaman kolonial adalah dalam kerangka kuasa satu pihak.
Dan ini selaras dengan keperluan New Historicism yang mengagaskan supaya
sejarah difahami dari sudut masyarakat marginal yang sebelum ini tidak dapat
bersuara sebagai satu alternatif.
- Imaginasi dan Nonrealisme
New
Historicism biasa dengan kerja-kerja kritikan tentang English
Renaissance, paling memberangsangkan
hasil dari tulisan-tulisan Stephen Greenblatt. Namun demikian
tulisan-tulisan yang hampir sama dengan Greenblatt, yang melihat sejarah di
dalam penghasilan sastera zaman Romantis telah dilakukan oleh Jerome McGann.
Inovasi kritikannya sama dengan Greenblatt, namun pendekatan kritikan McGann
lebih menekankan terhadap hermeneutik, bukan antropologikal atau method Foucauldian
sebagaimana dirasionalkan oleh Greenblatt. McGann menekankan bahawa untuk
memahami sejarah, keperluan imaginasi tetap ada, sejarah adalah masa lalu, atau
semestinya pengalaman lampau yang dilihat melalui masa kini; dan tujuan sejarah
adalah untuk berusaha rekonstruksi masa lalu, termasuk kehadiran masa silam.
Dan McGann di dalam kajiannya terhadap karya Cantos mendapati bahawa
sejarah termasuk masa hadapan, dan di sini letaknya pembabitan sejarah untuk
membina apa yang mungkin berlaku.[25]
Dari segi
sastera, Hashim Ismail melihat bahawa keperluan untuk memahami masa silam, masa
kini dan masa hadapan adalah dapat dicapai. Kita bukan sahaja meletakkan teks
sastera itu di dalam kerangka masa silamnya, tetapi sumbangannya terhadap
kehidupan hari ini atau masa depan. Imaginasi mempunyai horizon yang paling
luas tanpa batas. Sejarah boleh dibina di dalam kerangka imaginasi di dalam
teks dan untuk tujuan itu kita tidak perlu lagi melihat sejarah yang
sebenar-benar sejarah tetapi merupakan sejarah pemikiran manusia yang
menghidupi zamannya. Dengan itu fiksyen akan sentiasa benar di dalam darjah
nonrealisme bukan lagi sebagai pencatat realiti per se. Neo-Nostalgia adalah
untuk mencapai matlamat demikian kerana sejarah di dalam Neo-Nostalgia merupakan
sejarah manusia yang menciptanya kembali dengan tujuan-tujuan estetik.[26]
- Regenerated dan Regeneration
Konsep “representation” merupakan konsep penting di
dalam pemahaman kritikan New Historicism. Ahli-ahli New Historicism memikirkan
bahawa “Self-Reflectivity” bukan sahaja
persoalan kontigensi terhadap peristiwa tetapi juga berasaskan situasi
bagaimana ahli sejarah (penulis) menjelaskan peristiwa. Teks sastera bagi New
Historicism, sama ada artifak
istimewa terasing daripada budaya teks lain atau ia merupakan satu gambaran
makna serta fakta melangkaui batas teks
tersebut. Dengan kata lain “Representation” bukanlah satu contoh mimesis tetapi
merupakan pembentukan hasil dari “persembahan semula” itu. “Representation” di
dalam New Historicism bukan sesuatu proses yang menekankan signifikasi
semata-mata tetapi disebut sebagai “Social Negotiations” dan “Social
Exchanges”. Isu-isu tentang “representation” adalah mempersoalkan sejarah itu
sendiri.[27]
Bagi Hashim
Ismail, isu-isu berkenaan sejarah bukan hanya setakat persoalan “representation”
peristiwa atau sumber konteks yang sedia ada atau berlalu, tetapi isunya ialah menyatakan “representation”
tersebut dalam rangka menggerakkan masa kini dan masa akan datang. Oleh itu Neo-Nostalgia
menyarankan istilah “regenerated” dan “regeneration”. Keperluan ini merupakan
satu prinsip yang akan menghubungkan masa lalu dengan masa kini dan akan datang.
Dengan itu juga hasil sastera tidak dilihat hanya sebagai satu catatan konteks
kebudayaan masa silam, tetapi merupakan satu keupayaan baru yang lebih positif
terhadap pembacaannya.
Pluralisme
dan pascamoden meletakkan landasan sejarah untuk mengukur keupayaan bangsa.
Pertembungan antara pemikiran bangsa penjajah dengan bangsa yang dijajah
menjadi pertimbangan dalam perkembangan ilmu yang dipelajari. Persoalan
kesesuaian ilmu dari pendekatan pihak-pihak tersebut menjadi perdebatan yang panjang.
Hegemoni antara Barat dan Timur, dan hegemoni antara Islam dan nonIslam turut menjadi
ukuran pemikiran Neo-Nostalgia. Manakala di peringkat yang lebih jauh isu
unilateral dan Jews menjadi satu desakan pemangkin yang tiada hujungnya. Impian
dan tujuan sejagat itu boleh turut menjadi kerangka pertahanan kekuatan
imaginasi jika diperlukan. Ketidakseimbangan kuasa di peringkat global cuma
menjadi pengamatan media atau hanya pada peringkat “print nationalism”.
Kekuatan yang ada hanya merupakan kekuatan “imagine society”. Di dalam
perkembangan yang lain, pertembungan antara penganut agama Islam dengan
penganut agama lain seringkali menimbulkan masalah dan menjadi cabaran yang
lebih besar apabila peristiwa 11 September makin memacu pertembungan hegemoni
Barat dan Timur, dan khususnya Islam dan nonIslam.[28]
Persoalan
yang menjadi gagasan untuk diselesaikan ialah termasuk menggerakkan generasi
muda yang memikul tanggungjawab baru dalam kerangka menjadikan mereka warga
masyarakat dunia yang sejagat. Pertembungan tersebut masih dilihat di dalam
kerangka global, dan masalah jati diri sekali lagi menjadi masalah dasar yang
utama. Gerakan atau gagasan pengarang dilihat cuba mengembalikan ke akar jati
diri atau identiti bangsa. Setiap bangsa di dunia mula memperkenalkan diri
mereka. Dalam landaan globalisasi yang
merentas sempadan negara, kekhuatiran terhadap pupusnya imej diri dan
jati diri budaya menjadi agenda penting menggerakkan generasi muda. Kerisauan
terhadap hegemoni yang lebih besar dan berkuasa makin memarakkan gerakan memacu
generasi muda tentang sektor genetik mereka yang tidak boleh dipandang ringan.[29]
Neo-Nostalgia ini
merupakan gagasan untuk suatu proses regenerated dan dalam kerangka
strategi proses gerakan kebudayaan. Dalam masa yang sama Neo-Nostalgia dapat
menjadi satu bentuk motivasi kebudayaan yang mementingkan penerusan regeneration.
Kesedaran terhadap cintakan jati diri dan induk ibu pertiwi memuncakkan proses regenerasi,
dan Neo-Nostalgia memainkan peranan untuk meraih kesedaran masyarakat melalui
pencernaan motif-motif “The Old Morality”, seumpama sumber mitos,
lagenda, hero, lipur lara, folklor, sejarah dan kod-kod keagungan silam bangsa
yang telah sedia ditafsirkan kembali.
3.3 Tumpuan Teori
Gagasan tentang Neo-Nostalgia muncul
apabila Hashim Ismail membentangkan kertas kerja di Seminar Kritikan Sastera
Melayu Serantau (2001). Di dalam kertas tersebut Hashim Ismail meneliti
kemunculan teori-teori atau pendekatan tempatan seperti Teori Takmilah, Persuratan
Baru, Sastera Islam, Taabudiyyah, Pengkaedahan Melayu, Teksdealisme,
Puitika Melayu, dan Teori Kritikan Melayu. Akhirnya Hashim Ismail mendapati
mereka cenderung untuk kembali kepada keagungan kesusasteraan tradisional dan
keagungan agama Islam yang bersebati dengan budaya Melayu. Apabila Hashim
Ismail merujuk kepada perkembangan paradigma mutakhir, ahli-ahli sosiologi dan
antropologi serta ilmu-ilmu lain telah kembali melihat kebudayaan silam.
Malahan kajian-kajian budaya dalam proses globalisasi telah berpindah kepada
kajian-kajian berasaskan satu set simbol amalan budaya, objek atau kepercayaan yang
dikongsi bersama. Fokus ilmu sosiologi masyarakat global telah berubah dari
kelas kepada etnik, dari kelas kepada budaya, dan dari rasionaliti kepada
keperluan keagamaan.[30]
Perbahasan
terhadap sejarah oleh New Historicism banyak berasaskan pengaruh kuasa
di dalam sesuatu zaman teks itu dihasilkan. Greeblatt walau pun menggunakan
istilah “cultural poetic” tetapi masih berasaskan ketidakpuasan beliau terhadap
penghasilan sastera di zaman Renaissance yang dianggap bias kerana dikuasai
oleh politik gereja Katolik. Oleh itu beliau menyarankan supaya teks dilihat
kembali berasaskan hubungan antara teks dan sistem kebudayaan yang
menghasilkannya. Greenblatt menganggap bahawa kehidupan pengarang adalah
dikawal oleh pelbagai pihak berkuasa, institusi seperti gereja, mahkamah,
keluarga dan pentadbiran kolonial dan kitab-kitab suci. Dan “kuasa” ini dilihat
sebagai menimbulkan konflik kerana mengesahkan corak persaingan di dalam
pengalaman organisasi sosial. Penguatkuasa budaya menentukan perlakuan mereka
yang ditentukan melalui kod yang
dianjurkan oleh institusi yang dikenal pasti, dan mereka mempelajari untuk
membenci The Other yang mengancam kewujudan mereka.[31]
Perbahasan
terhadap Neo-Nostalgia dibentuk setelah meneliti karya-karya yang dihasilkan di
zaman pascakolonial dan pascamoden. Neo-Nostalgia meneliti kemungkinan untuk
penulis-penulis merekonstruksi dan dekonstruksi terhadap sumber sejarah dan
budaya yang dimiliki oleh bangsa. Sesuatu kerangka ideologikal mungkin dibentuk
untuk tujuan-tujuan mencapai imaginasi masyarakat dalam kerangka yang bukan
lagi benar-benar berasaskan realisme tetapi cukup untuk mengangkat identiti
masyarakatnya. Neo-Nostalgia juga membenarkan persejarahan baru atau New
Historicism, namun demikian Neo-Nostalgia juga membenarkan realisme
sejarah. Dari sinilah terbentuk kepentingan idea untuk memperkasakan jurai
keturunan dari segi genetik, mementingkan pertiwi dan harga diri atau maruah
bangsa. Hasilnya Neo-Nostalgia akan menemukan bahawa hasil karya sastera itu
merupakan satu bentuk “Cultural Movement” dan “Cultural Motivation”.
Perbezaan
yang jelas antara Neo-Nostalgia dan New Historicism terletak pada asas
pemikirannya. New Historicism berlandaskan terminologi kuasa sebagai
satu faktor penyebab untuk meletakkan premis kajiannya. Manakala Neo-Nostalgia
meletakkan asas maruah diri sebagai faktor premis gagasannya. New
Historicism bergerak dengan strategi “representation” hubungan teks dengan
sistem budaya zamannya. Manakala Neo-Nostalgia bergerak berasaskan strategi
“regenerated” dan “regeneration”. Dengan itu juga jika New Historicism
hanya mementingkan untuk memahami zaman yang telah berlalu, namun Neo-Nostalgia
memikirkan satu kesan terhadap hubungan budaya dan teks dalam kerangka masa
lalu, kini dan akan datang.
4.
Contoh Aplikasi Teori Neo-Nostalgia
Samira: Makna Sejarah dan Neo-Nostalgia, Mencabar
Kemelayuan.
Pengenalan
Hakikat sejarah
dan makna diri serta kemelut masa lalu untuk menjalani masa kini dan menghadapi
masa depan adalah hakikat penghasilan novel Samira
(Dari pecahan Sebuah Trilogi Tiga Genre:
Antara Manusia, Kepala Bapak dan Samira) karya terbaharu SN Arena Wati. Samira
adalah satu penghasilan pemikiran simbolik mencabar Kemelayuan.
“Dia pun tahu ketawanya bersama kecibak air, dirinya
bersama ombak adalah pancaran daripada sejarah lumpuh. Tetapi apakah erti
sejarah lumpuh itu bagi dirinya, selain sedih bertindan-tindih? Kini dia sedar
bahawa kain dimangsa gegat, manusia dimangsa pilu. Kini, dia sudah tendang ke
belakang longgokan sedih. Dia kais ke sisi semua timbunan murung. Dirinya
terlalu ingin kekiniannya dalam diam, masih bisu, tetapi dengan mata dan
telinga terbuka, kelak ikut serta menukil bakti untuk mengisi ruang dengan
kemenangan hari depan – dalam usia tua – betapa pun kecilnya”
(Prolog Samira, hlm.453-454).
Makna Sejarah dan Neo-Nostalgia
Sastera merupakan satu penghasilan
moraliti kolektif yang berhubungan dengan tradisi yang bersejarah. Moraliti
kolektif dari tradisi kesusasteraan itu merupakan satu bentuk nostalgia
kolektif. Dan sejarah boleh merupakan satu bentuk pemikiran Neo-Nostalgia. Dari
segi konsep, nostalgia kolektif merujuk keadaan objek-objek simbolik yang
diterima umum, tersebar luas, dan sudah menjadi satu kelaziman, serta merupakan
sumber simbolik dari masa lalu yang
disalurkan dalam keadaan yang terkawal atau terbentuk; boleh memacukan
gelombang demi gelombang perasaan nostalgia jutaan manusia dalam masa yang
sama.[32]
Argumentasi utama
melalui Jean Baudrillard, Jean Francois Lyotard, dan Michel Foucault meletakkan
sejarah sebagai satu bentuk pemaknaan yang perlu kepada pembaharuan. Daripada
Baudrillard(1983), didapati bahawa ketika yang nyata tidak lagi seperti yang
dahulu, ada nostalgia memberikan makna yang sesungguhnya; akan terjadi
perluasan mengenai mitos-mitos asal-usul dan tanda realiti; kebenaran kedua
berkenaan objektiviti dan autentik.[33]
Melalui Lyotard dan Foucault, didapati bahawa keperluan terhadap aspek
peraturan strategi untuk berada dalam masyarakat “Carceral” atau “The
Computerization of Society”.[34]
Pemikiran sedemikian merupakan pemikiran manusia pascamoden yang telah
meletakkan ukuran seperti dekonstruksi dan intertekstualiti yang boleh wujud
dalam keadaan yang tidak lagi mementingkan realisme semata-mata tetapi hakikat
fantasi dan nonrealisme yang semakin perlu untuk menunjukkan keberadaan
manusia.
Oleh itu sejarah
boleh dibina kembali dalam bentuk baru yang mempunyai maksud-maksud baru untuk
tujuan tertentu. Keberadaan sejarah tersebut boleh dirongkai dalam nostalgia
bentuk baru, kembali kepada keagungan silam untuk menunjukkan sesuatu maksud
baru yang mungkin tidak lagi merujuk kepada sejarah sebenar-benar sejarah
tetapi sejarah yang berdialog, yang mungkin juga bersifat intertekstualiti
tetapi merupakan moraliti baru yang semakin diperlukan untuk memperkukuhkan
jati diri bangsa tersebut.
Hakikat interaksi
kini menunjukkan manusia berada dalam dunia teknologi maklumat yang sebenarnya
mereka bukan semakin berinteraksi dengan manusia lain tetapi berinteraksi
dengan keberadaan diri yang semakin sempit. Masyarakat Komputerisasi berada di
dalam dunia fantasi yang dihubungi dengan maklumat kod-kod komputer. Mereka
berada di dalam budaya orang lain tanpa keberadaan realisme diri. Oleh itu mereka
hilang dalam interaksi yang berjisim tetapi semakin dirasakan wujud dalam
interaksi yang bersifat maya, imaginasi dan kehidupan nonrealisme. Kehebatan
dunia fantasi dan imaginasi bergantung kepada simbol maya yang akan menguasai
keberadaan seseorang.
Neo-Nostalgia
meletakkan bahawa sejauhmana keupayaan tersebut untuk berlaku adil dalam
masyarakat yang penuh berilmu pengetahuan kerana setiap yang ada pada skrin itu
merupakan angka-angka yang hanya mewakili hakikat kewujudan sebenar. Lantaran
itu mereka perlu kembali kepada kewujudan sebenar dan apabila bertanya kepada kewujudan sebenar mereka
mencari pengenalan diri, hidup yang sebenar. Neo-Nostalgia akan kembalikan
mereka kepada keberadaan sebenar.
Secara psikologi
bahawa apabila sahaja orang mengalami penderitaan jiwa dan kesengsaraan batin,
ia cenderung untuk memikirkan tempat asalnya; nostalgia silam yang membentuk
identiti budaya atau jati dirinya. Peter Berger, Brigitte Berger dan Hansfried
Kellner(1973) pernah mengemukakan fenomena The Homeless Mind, yang
menyangkut tema-tema keterasingan. Fenomena keterasingan yang menimbulkan
kesamaan bahawa dalam peradaban non Barat, idea dan fenomena nostalgia telah meluas. Istilah
peradaban Cina, iaitu hsiang-ch’ou melibatkan penggabungan istilah tanah
air dan penderitaan yang menunjukkan keinginan untuk kembali ke tempat akrab
dalam kehidupan sebelumnya.[35] Manakala negara Jepun memiliki sejarahnya sendiri dan dapat menyatakan
binaan identiti atau jati diri bangsanya melalui binaan nostalgia yang dipupuk.
Dari moral yang lemah, Jepun membina esensi bentuk budaya yang berasal dari
budaya lain, terutama bangsa Cina. Kaum elit Meiji yang baru sangat tegas dan
mahir dalam merekonstruksi tradisi nasional, menyaksikan suatu kebijaksanaan
berasaskan pada penciptaan nostalgia yang sangat bermanfaat dalam
masalah-masalah tertentu seperti sistem imperial, Sinto sebagai agama rakyat,
etika samurai dan etos Konfusian sebagai jalan konsolidasi “esensi nasional”
Jepun dan menguatkannya, sebagai kebudayaan keseluruhan masyarakat yang khas
untuk melawan dunia luar. Jepun sebagaimana Jerman yang menyatu kembali sekitar
1989, merupakan dua bangsa yang menekankan aspek homogeneniti etnis atau ras
dan bukannya heterogeniti, mereka memanfaatkan nostalgia secara politik.[36]
Peradaban baru yang bangkit dengan
Neo-Nostalgia menunjukkan pencapaian dalam membangunkan bangsa.
Kekuatan
Neo-Nostalgia merupakan kekuatan pemikiran yang dibincangkan dalam kerangka
kesedaran terhadap nostalgia. Francis Fukuyama(1989) mencetuskan pendapatnya
tentang The End of History. Fukuyama telah berbicara mengenai “nostalgia
yang sangat kuat” yang telah dialami ketika “Sejarah Wujud”. Berakhirnya Perang
Dingin, terutama konflik antara Amerika dan Soviet serta anggapan kemenangan
idea-idea Barat, membuatnya
berfikir bahawa nostalgialah yang
akan terus memenuhi persaingan dan konflik, bahkan dalam dunia pascahistoris
untuk beberapa waktu mendatang. Menurut Fukuyama, prospek penting dari abad
yang “membosankan”(mendatang itu) akan menjadi sejarah muncul sekali lagi.[37]
Pemikiran
Neo-Nostalgia merupakan satu bentuk
pemikiran yang bukan lagi untuk muncul mengenangkan kembali masa silam yang
indah tetapi merupakan satu pembentukan pemikiran yang mengangkat pola-pola
nostalgia sejarah silam, tradisi kolektif, dan moraliti kolektif untuk
diberikan makna baru supaya bangsa dapat memahami keagungan silamnya itu.
Neo-Nostalgia bukan semata-mata keagungan bangsa tetapi merupakan satu
keagungan yang menjadi pembentuk semangat dan pembentukan moraliti yang memahami
maruah jati diri milik budayanya bagi menghadapi cabaran dan pertembungan pemikiran
semasa dan masa depan.
Samira: Makna
Sejarah dan Neo-Nostalgia.
Homogeneiti –
Heterogeneiti
Ada yang homogen dan heterogen dari
penggarapan cerita Samira. Dari sejak awal penceritaan, Arena Wati telah
memilih untuk menggunakan teknik jukstaposisi terhadap perjalanan alur cerita
yang melibatkan dua watak penting, iaitu watak Samira dan watak Bahira. Samira
mempunyai alur cerita yang besar manakala Bahira hanya sebuah alur cerita yang
kecil. Namun demikian setiap kali atau setiap bab gambaran imej dan peristiwa
melibatkan Samira, Bahira tetap ada di penghujungnya, mengikuti secara bersama
apa yang berlaku pada Samira dan keluarganya. Bahira walaupun seorang penjaja
coto Madura dan pecal Surabaya itu merupakan ciri homogen yang sentiasa ada
bersama hakikat kewujudan Samira. Sejak
awal cerita pembaca telah digerakkan dengan rasa ingin tahu kenapa sampai watak
Bahira berada pada alur yang berjukstaposisi dengan peristiwa melibatkan
Samira. Dua jalur tersebut walaupun berbeza tetapi juga bersatu dan kejeliraan
teknik sebegini meletakkan homogen dan heterogen bertemu dalam hakikat diri
masing-masing.
Kepelbagaian
yang heterogen itu akan pembaca temukan pada peringkat awal diperkenalkan
dengan nama, Syarifah Zinaria binti Sharifah Moleria. Ejaan “Sy” dan ejaan “Sh”
sudah diperhitungkan oleh watak Samira. Ingin tinggal di apartmen Wisma Samira
bukan semudah itu. Persoalan sejarah dan latar belakang keluarga sudah
diperhitungkan secara serius, belum lagi nama yang bergelar “Zinaria” tersebut,
maknanya juga sudah terbuka untuk rheme pentafsiran. Secara tidak
langsung kepelbagaian yang dipersoalkan itu mempunyai makna yang sudah
ditebak-tebak oleh pembaca, mahupun dalam perencanaan pengarangnya, Arena Wati.
Jawapan sejarahnya ialah, “Jangan salahkan kami atas percanggahan itu. Dia
lahir di tempat lain dalam zaman ejaan lama di negeri ini. Saya lahir pada
zaman ejaan baru di sini.”(hlm. 456).
Makna
sejarah bagi Bahira diperjelaskan oleh pengarang dengan teknik yang retorik dan
falsafah. “Adakah Bahira sudah faham sejarah tempat itu? Inikah yang
menyebabkan dia tidak pernah berasa takut di situ? Dia setia kepada pelanggan
coto Madura dan pecal Surabaya, sejak siang hingga ke jauh malam.” Tebing Selat
Tebrau didiami oleh dua golongan manusia purba, dianalogikan dengan persamaan “Dua
golongan manusia yang sangat berbahaya dalam dunia ini, iaitu: Golongan orang
yang beragama tetapi tidak menggunakan otak, dan golongan yang menggunakan otak
tetapi tidak beragama”(hlm. 466). Entah apakah ada hubungan dengan Bahira
atau Samira? Atau memang sengaja Arena Wati ingin menyatakan sejarah
perkembangan peradaban manusia yang
bersifat sedemikian.
Dalam senarai
Arena Wati sejarah peradaban antaranya adalah “Mereka dirangsang bertanya, dan
selalu menyoal untuk menjawabnya sendiri; mereka memusnahkan perkuburan lama
jadi tapak bangunan untuk menempatkan yang hidup. Mereka meruntuhkan gunung dan
menanduskan (r)imba untuk membina bangunan, dan membuka perkuburan baru- kubur
mereka sendiri; mereka beku dibelenggu sistem hafalan yang pernah diberikan
guru tanpa hujah, dalam pengertian norma masa lalu;pembunuhan berlaku antara
orang dengan alam, pun pembunuhan juga
terus menerus terjadi antara orang dengan orang; sikap kepala batu itu yang
mendorong mereka enggan terlibat untuk berperanan hidup dengan orang-orang;.”
Apakah ini Neo-Nostalgia yang cuba memahami sejarah peradaban yang sebenarnya;
kerana ia merupakan ikon-ikon masa kini dan hakikatnya sebahagian besar
mewakili ground yang masih berjalan; dan mengapa di Tebing Selat Tebrau
dijadikan contohnya? Neo-Nostalgia; antara yang bersifat peribadi boleh menjadi
satu simbol yang besar maknanya terhadap makna sejarah.[38]
Novel Samira yang
muncul dari Trilogi Tiga Genre ini merupakan persoalan Sejarah, Malaysia,
Melayu, Johor, Singapura, politik dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan
Kemelayuan. The Contesting Malayness versi Melayu.
“Moraliti Silam,
Keindahan Masa Lalu dan Masa Kini yang Membosankan”
Bahira merupakan satu ikon
marginaliti yang sentiasa kalah sebelum ini, dipinggirkan tanpa diperdulikan.
Bahira merupakan dari nasab yang sama dengan Samira, namun kerana
“kehilangannya” dari arus keagungan Samira dan keturunannya yang lain, Bahira
hanya diberikan imej penjual coto Madura dan pecal Surabaya. Apa ertinya
kehidupan bagi golongan seperti ini di mata pihak yang berada di arus perdana.
Bahira cuma dilayani sebagai seorang penjual yang terang bersama lampu
geroboknya ke sana ke mari sebagai penjaja.
“Bahira masih sibuk melayan pelanggan. Dia pun tetap menunggu datangnya
seorang pengawal membawa tepeng untuk coto, dan piring untung pecal pesanan
samira. Tapi Samira tidak sedar bahawa ketika itu di sana ada wanita tua
bernama Bahira dan ada coto Madura dan pecal Surabaya yang hampir setiap malam
dia beli dari situ.” (Samira, hlm. 473)
Bahira merupakan inferent
tentang masa silam yang sebenarnya sebahagian daripada Samira, namun kehilangan
Bahira adalah dalam kemunculan diri yang sentiasa ada bersama kewujudan Samira.
Walau kewujudan Bahira di samping kehidupan Samira tidak diperduli tetapi yang
marginal itu tetap ada sumbangannya dalam kewujudan centrik. Makna kewujudan
sejarah yang sebegini merupakan indeks yang sering diperhatikan oleh pendekatan
New Historicism. Pendekatan sejarah yang dianjurkan supaya melihat dari
sudut pihak marginal kerana kuasa sering menewaskan kebenaran yang wujud di
pihak yang bertentangan. Aliran-aliran pemikiran pascamoden menuntut supaya
pemikiran dilihat dari sudut pihak yang tidak diperdulikan sebelum ini dalam
pentafsiran sejarah. Oleh itu juga Neo-Nostalgia menuntut supaya bukan kuasa
yang semata-mata diteliti tetapi maruah pihak yang berada di aliran marginaliti
tersebut.[39]
Hanya Bahira yang mengetahui haknya yang akan
dituntut pada masa akan datang. Dia mengumpul kekuatan dan keyakinan untuk
membawa ke muka pengadilan. Kekayaan di Wisma Samira juga adalah haknya. Namun
kerana kemiskinan dalam penyamaran itu ia seperti tunduk sementara sebagai
pemerhati perkembangan Wisma Samira. Dia hanya bertindak memilih untuk
berjualan di hadapan Wisma Samira supaya dapat diperhatikan keindahan masa
silamnya untuk dihubungkan kembali.
Anehnya melalui
mimpi dan halusinasi Samira dan Bahira seperti dikuasai oleh kuasa masa silam.
Mereka dipengaruhi oleh semangat dan roh makhluk halus dari keturunan mereka.
Malam menjadi satu pengalaman yang keras. Samira sering dirasuk mimpi. Dan
Bahira juga melalui permintaan makluk halus yang meletakkan mereka dalam
kewujudan masa silam sebagai pewaris sah wilayah Selat Tebrau tersebut.
Suara halus
membawa siri mitos Selat Tebrau yang berpanjangan. Cerita tentang zaman raja,
kononnya susur galur nenek moyang Samira yang memiliki Setulang dan sekitarnya. Simbolik yang kukuh
tentang kewujudan jurai keturunan silam dengan kisah raja-raja yang memiliki
kuasa dan berlawanan dengan maruah di sebalik cerita tersebut merupakan sejarah
yang direnung kembali dari sudut kebenaran sinis.
Mitos yang
dikemukakan dalam bentuk dialogik. Persoalkan kemungkinan cerita-cerita sebenar
merupakan satu kaedah Neo-Nostalgia. Mewujudkan makna baru dan pentafsiran
terhadap mitos, sejarah dan lagenda adalah pemikiran Neo-Nostalgia.
Kebenarannya adalah kebenaran pada imaginasi. Peristiwa raja ditikam laksamana.
Menitahkan laksamana belayar ke merata pulau memerangi rakyat yang menentang
raja, kerana inginkan isteri laksamana
“si kacip emas”. Raja khuatir ketiadaan nasab keturunannya. Dialog Samira dengan suara halus, “Dalam
tutur sejarah lain, lain pula kisahnya. Riwayatnya isteri laksamana mengidam.
Dia menebuk seulas nangka raja yang belum ranum.” Walhal cerita nangka seulas,
raja dan pembesar memusuhi laksamana kerana memiliki “si kacip emas”. Mereka
pun tergiur juga.
Makna sejarah
yang ditafsir adalah merupakan simbolik terhadap kemungkinan pemaknaan baru.
Lihat contoh yang digarapkan oleh Arena Wati secara semantik menyatakan korupsi
yang berlaku sepanjang sejarah peradaban manusia. Penulis riwayat berbohong.
Pengampu, menjual nama, menjual diri dan kepakarannya dengan dibayar gelaran.
Bayarannya dari pembendaharaan, dari bank atas arahan, pengamal lidah ular dan
tabiatnya berpura-pura.(Samira, hlm. 469).
Secara halus
makna baru itu menyatakan pengajaran silam dari sudut yang marginal. Menjadikan
satu pengajaran kepada manusia kini yang menjalankan hidup dengan
perkara-perkara yang membosankan. Suara halus secara halus menyatakan kebenaran
yang ada pada sejarah dan politik masa silam. Kehancuran tamadun “Melayu @
Selat Tebrau” kerana cara mereka bekerja dan berfikir. Belajar dari sejarah
sebagai Neo-Nostalgia.
“Para pembesar negeri yang masih hidup, mereka cuma berbahagi pangkat dan
kedudukan seperti kanak-kanak berebut bingka setalam. Itulah sebabnya maka Riau
berkedudukan sultan. Tapi apa dayanya sultan di sana, kecuali melengung,
melihat rakyat menangkap ketam dan memungut kerang dan memetik latuh untuk
menyambung hidup? Pahang bertaraf bendahara. Tetapi ada apa di situ jikalau
penduduk sudah menyingkirkan diri dari istana, juga menjauh hati daripada bendahara?
Rakyat terbiar tetapi diperah harta mereka atas nama cukai untuk memenuhi
keperluan bendahara, bukan keperluan negeri, tetapi untuk juak-juak bendahara
yang leka menghisap candu! Maka kekallah nama Johor, tetapi sudah
terkuntil-kuntil, hilang daulat dan martabat, hanya bertaraf temenggung.
Walaupun temenggung belum tinggal di Johor dan hanya bersemayam di Teluk
Belangah nun di Tumasik sana, tetapi dia arif menggunakan jerat halus
berkelindan sutera semoga Johor dengan Johornya kembali kepada kebesaran
Johor!” (Samira, hlm. 470)
Temasik menjadi petanda bahawa
“makhluk halus” tahu apa yang dilakukannya. Temasik mengatur masa depan dengan
kekayaan sumber asli Selat Tebrau dan sekitarnya.
“Tapi mereka faham tulang berguna bagi makhluk halus yang bukan seperti
kami. Mereka membawa pergi daging harimau kerana mereka arif, nun di seberang
Tumasik sana, terlalu ramai pendatang baru yang perlukan daging, termasuk
daging harimau. Faham apa ertinya semua itu?””Belum,”aku Samira terus
terang.””Membina peradaban baru. Mereka membuka negeri. Mereka atur dan
laksanakan kiat ekonomi perdagangan, daripada sumber alam dan peranan
perhubungan dan pengangkutan.”(Samira, hlm. 472)
Neo-Nostalgia memerlukan penerusan
paksi “Moraliti Silam”. Di dalam berhadapan dengan perubahan masyarakat,
sama ada moden atau pascamoden, sastera kita telah menunjukkan sifat
kesebatiannya dengan “Moraliti Silam”. “Moraliti Silam” merupakan
benteng yang dapat meneruskan survival bangsa. “Moraliti Silam” menjadi
roh atau semangat yang mendasari kekuatan Neo-Nostalgia. Dalam masa yang sama,
Neo-Nostalgia itu akan bertambah berkesan kerana desakan kewujudan manusia
Melayu yang berdialog secara dalaman antara masa lalu dan masa kini(Sebagaimana
yang berlaku antara Samira dengan Suara Halus). Keindahan Silam menjadi
satu keperluan untuk menantang pemikiran masa kini yang dilihat dalam sudut
pertembungan, antara tradisi dan moden dan antara tradisi dan pascamoden. Dan
kesannya mungkin lebih dahsyat kerana wujudnya ciri-ciri masyarakat kini yang mula
melihat Masa Kini yang Membosankan. Dengan itu sejarah dinyatakan
kembali dalam bentuk imaginasi baru yang dapat menjanakan fantasi masyarakat seperti mitos baru yang
dilakukan melalui novel Samira untuk menjanjikan kecemerlangan
nonrealiti.
Dekonstruksi dan
Politik
New Historicism tidak
berprinsip melakukan dekonstruksi teks kerana ia mengganggap dekonstruksi teks
masih sama dengan new criticism atau strukturalism yang tidak memberikan
fokus kajiannya terhadap konteks yang bersejarah. Dekonstruksi dianggap masih
tidak meletakkan teks tersebut pada sejarah zaman penghasilannya. Oleh itu
dekonstruksi boleh menimbulkan bias, dan
menempel dengan kuasa politik berpihak atau “monological”.[40]
Sebaliknya
dekonstruksi adalah penting bagi masyarakat pascakolonial, terutama masyarakat
Timur. Mereka harus memperbetulkan bukti-bukti sejarah sebelum ini yang
diselewengkan untuk tujuan penjajahan. Jika tidak dapat secara fakta, pastinya
secara imaginasi fiksyen yang dapat mengembalikan maruah bangsa, atau sekurang-kurangnya
menimbulkan kesedaran terhadap perspektif sejarah yang bias sebelum ini.
Sejarah di zaman kolonial adalah dalam kerangka kuasa satu pihak. Dan ini
selaras dengan keperluan New Historicism yang mengagaskan supaya sejarah
difahami dari sudut masyarakat marginal yang sebelum ini tidak dapat bersuara
sebagai satu alternatif.
Arena Wati
melalui Samira banyak menyangkal persoalan yang melibatkan dekonstruk
politik. Dialog antara Samira dan Bahari cuba menyatakan dan mempersoalkan
politik majoriti yang tidak semestinya memiliki kebenaran. Pembangunan mengikut
masa atas dasar kedinamikan dan perubahan paradigma tersasar kerana sistem
majoriti dalam politik. Sesuatu yang dibina atas dasar politik demokrasi atau
berpihak meranapkan fahaman atau keperluan minoriti. Berlaku dialog yang
dikenali melalui referent “demalayzation”. Bahari menganggap
Samira sebagai pengkhianat. Dan hujah-hujahnya menghidupkan pemikiran yang
bertentangan; marah kerana bangsa Melayu dan parti politik Melayu terperangkap
dengan keperluan baru yang mengorbankan apa yang telah dirancangkan.
“Bahari ketawa besar.”Dalam sistem demokrasi, majoriti boleh menang. Tapi
dalam sistem nilai kebenaran – sekurang-kurangnya dalam konteks impiannya
bangsa Melayu – nilai dan hak yang benar itu lebih penting daripada kemenangan
dalam demokrasi.” ... “Peranan dan kerenah siapa, melalui parti apa, bagaimana
dalam ideologi yang berlangsung di negeri ini – pada negaranya bangsa Melayu,
maka ada yang memiliki majoriti sebagai topeng legitimasi demokrasi itu yang
dulu, kini dan mungkin akan datang juga, membunuh sukma dan jiwa raganya bangsa
Malayu?”.... “Dalam proses – demalayzation bahasa, demalayzation
tradisi, demalayzation budaya, demalayzation konsep pelajaran, demalayzation craftmanship, demalayzation
thinking dan demalayszation
dignity – di situ engkau menuju dan akan berdiri di dalamnya sebagai
boneka.... Aneh, dengar sini! Siapa yang datangkan dan tabur benih di sini dan
tumbuh, lalu membuahkan majoriti? Siapa dia majoriti itu dan siapakah dia
minoriti itu? Itu cermin, pergi lihat dirimu dalam bayang. Itulah engkau puteri
pasak bumi yang mahu mengumpul rakyat tongong yang hidungnya seperti hidungmu
juga, supaya masuk ke keranjang sampah majoritinya demokrasi dan kelak tanpa
mereka sedari, setelah segala potensi sudah punah, barulah mereka fahami bahawa
sebenarnya mereka sudah minoriti kerana yang jadi majoriti korporat politikmu,
bukan lagi pemilik hidung yang seperti hidung engkau, bukan lagi pemilik kulit
yang seperti kulit engkau, bukan lagi pemilik bahasa ibunda yang seperti bahasa
ibundamu, bukan lagi pemilik selera yang seperti seleramu. Bukan! Orang Lain!
Sekarang peringkatnya: Dari kapas menjadi kain. Kelak datang penamatnya: Sudah
lepas ke orang lain. Sedarilah itu!”. (Samira, hlm. 622-623).
Inferent-inferent lain muncul dalam
konsep Contesting Malayness. Samira sebagai orang politik disindir dan
diingatkan secara habis-habisan. Para pengikut parti Melayu majoriti sudah
disumbat suatu jenis pengertian kesetiaan tanpa fikir; mereka punah rasa
kekitaan, kemuliaan dan impian bangsa Melayu. Samira diingatkan tentang sikap
orang yang berkuasa; jarang menyukai orang yang mampu berfikir tetapi hanya
suka kepada orang yang bekerja tanpa berfikir. Ada orang yang diperli kerana
phobia dengan Melayu.
Imaginasi
dan Nonrealisme
New Historicism biasa
dengan kerja-kerja kritikan tentang English Renaissance, paling
memberangsangkan hasil dari
tulisan-tulisan Stephen Greenblatt. Namun demikian tulisan-tulisan yang hampir
sama dengan Greenblatt, yang melihat sejarah di dalam penghasilan sastera zaman
Romantis telah dilakukan oleh Jerome McGann. Inovasi kritikannya sama dengan
Greenblatt, namun pendekatan kritikan McGann lebih menekankan terhadap
hermeneutik, bukan antropologikal atau method Foucauldian sebagaimana
dirasionalkan oleh Greenblatt. McGann menekankan bahawa untuk memahami sejarah,
keperluan imaginasi tetap ada, sejarah adalah masa lalu, atau semestinya
pengalaman lampau yang dilihat melalui masa kini; dan tujuan sejarah adalah untuk
berusaha rekonstruksi masa lalu, termasuk kehadiran masa silam. Dan McGann di
dalam kajiannya terhadap karya Cantos mendapati bahawa sejarah termasuk
masa hadapan, dan di sini letaknya pembabitan sejarah untuk membina apa yang
mungkin berlaku.[41]
Banyak imej dan
simbol, penanda dan petanda yang menarik dalam novel Samira tentang
sebuah negara. Imaginasi dan elemen nonrealisme yang diwujudkan oleh Arena Wati
merupakan imej dan simbol yang mencabar kepimpinan sesebuah negara. Imaginasi
dihidupkan untuk menggambarkan realiti di luar teks. Melalui teknik mimpi,
melalui watak Samira, Arena Wati cuba menyatakan perjanjian kontrak sosial yang
dimuafakati bersama antara kaum di Malaysia.
“Dalam pondok puncak menara tua itu ada seekor jentayu menumpang mengeram
telur naga jus yang menetaskan anak burung solai-solai””Mana Alin tahu?””Saya
nampak. Kalau mak tak percaya, tanya Lilian.””Kenapa mak mesti tanya
Lilian?””Dia saksi saya. Lilian dan saya sudah lihat.”(Samira,
hlm. 576)
Kontrak sosial @
jus soli antara kaum Melayu dan kaum lain di Malaysia dihidupkan melalui simbol
jentayu mengeram telur naga jus yang menetaskan anak burung solai-solai. Samira
mengingatkan Mursalin supaya jangan jatuh dari Menara Tua yang sekian lama
terbina, jangan robohkan Menara Pusaka, menara lama. Ketakutan Samira hidup
dalam mimpinya apabila tanpa sedar pula ingin merobohkannya dan ingin menghalau
jentayu dan naga jus di situ. Arena Wati mempunyai maksud yang jelas dengan
penggunaan indeks-indeks tersebut. Generasi muda tidak harus lupa dengan ikatan
kontrak sosial. Negosiasi sosial ini telah mengikat sekian lama dan negosiasi
ini tidak perlu mengubah persefahaman yang sedia wujud. Melayu sebagai teras.
“Tentu. Baba Ko dan keluarganya itu realiti. Mereka seperti kita juga. Tapi
kita pasak realiti negeri ini. Tak boleh dibuang. Jangan patah, mesti kuat.
Mereka realiti menempel. Realiti begitu mudah tanggal. Boleh bersepah ke mana
saja.”(Samira, hlm. 578).
Samira mengingatkan kepimpinan
politik, pilihanraya yang dimenangi perlu diisi dengan tanggungjawab bukan
untuk memerah keuntungan peribadi. Jika sudah diberikan mandat, jalankan mandat
tersebut sebaik mungkin. Keupayaan membentuk kerajaan adalah satu tanggungjawab
besar, dan keberanian membuat keputusan adalah satu pertimbangan yang perlu
untuk kesejahteraan rakyat.
“Bagi orang lain, ramai yang begitu. Tapi bagi mak lain. Bagi orang lain,
pilihan raya itulah politik mereka sebab mereka dapat keuntungan peribadi yang
mereka perah dari situ. Bagi mak, hasil pilihan raya itu perlu diisi
selanjutnya dengan kerja dan juga tentu sekali dengan pemikiran politik untuk
yang akan datang, supaya hasilnya merata kepada semua orang.”(Samira,
hlm. 593).
Regenerated dan Regeneration
Neo-Nostalgia menanggapi isu-isu
berkenaan sejarah bukan hanya setakat persoalan “representation” peristiwa atau
sumber konteks yang sedia ada atau berlalu,
tetapi isunya ialah menyatakan “representation” tersebut dalam rangka
menggerakkan masa kini dan masa akan datang. Oleh itu Neo-Nostalgia menyarankan
istilah “regenerated” dan “regeneration”. Keperluan ini merupakan satu prinsip
yang akan menghubungkan masa lalu dengan masa kini dan akan datang. Dengan itu
juga hasil sastera tidak dilihat hanya sebagai satu catatan konteks kebudayaan
masa silam, tetapi merupakan satu keupayaan baru yang lebih positif terhadap
pembacaannya.
Ciri
sedemikian terdapat di dalam novel Samira. Samira (Bahasa Arab@Teman Wanita untuk
Berbicara) merupakan satu kerangka yang terbina atas dasar pembangunan
salasilah keluarga yang memerlukan kesinambungan keagungan silam dan mendesak
nasab keturunannya supaya memahami apakah yang dihadapi oleh Wisma Samira dalam
berhadapan dengan pelaksanaan pembangunan di Tebing Selat Tebrau. Pembangunan
politik, ekonomi dan penguasaan sosiobudaya adalah contoh-contoh kekuatan untuk
menjana pemikiran generasi akan datang atau generasi pewaris supaya menyadari
ancaman yang sedang dan bakal dihadapi oleh mereka.
Kenapa
Samira sangat mementingkan nasab keturunannya? Kenapa mitos keluarganya dihidupkan
dalam suasana yang mempelajari dari kejadian upacara manifestasi hubungan
antara manusia? Seumpama menukang
bahtera, menyempurnakan jisim tubuh. Mendidik keturunannya memerhati dan
mengkaji berdasarkan pengertian bukan
semata-mata berdasarkan penglihatan. Ada tafsiran terhadap perlakuan senyum.
Ada orang yang lahir bersama bakat kemahirannya menggunakan senyum sepanjang
hidup membina diri, membina negeri, juga membina kekuatan peradaban bangsa
mereka.(Samira, hlm. 478).
Nasab
keturunan Samira adalah nasab yang berasaskan kefahaman terhadap jati diri,
budaya amalannya, persembahannya, perlakuannya,
kepandaiannya, pertukangannya, menyatukan diri dengan tanda-tanda yang
bersifat kosmologikal. Mitos nasab Samira diunjurkan dari keagungan keturunannya
yang menguasai alam samudera, berindukkan Daeng dan Salewatang (Bugis?).
“Samira sudah masuk lima puluh tahun usianya. Jamilah masih ada setahun
untuk mencapai tiga puluh. Datuk Samira lahir di Datuk Dalam. Menurut cerita
nenek Jamilah, ayah moyang Samira itulah Salewatang Pagauk Daeng Gassing.
Sahabat akrab putera Temenggung Abdul Rahman, yang bernama Daeng Rogngek, yang
menjadi temenggung dengan nama Temenggung Ibrahim.Salewatang Pagauk Daeng
Gassing itulah yang membuka Tanjung Puteri, dan berpangkalan di Setulang. Anak
pertamanya lahir di Setulang. Anak itu moyang Samira, bernama Sulaiman. Dialah
yang membuka cangkat dan lembah Air Molek. Temenggung Ibrahim beri dia gelar
Datuk dan perjawatan Dalam, maka terkenallah Sulaiman dengan nama Datuk Dalam.
Kemudian, nama Cangkat Air Molek itu ditukar jadi Bukit Datuk Dalam,
bersebelahan dengan Bukit Timbalan. Anak lelaki sulung Datuk Dalam itu bernama
Muhammad Daud. Anak Daud itulah ayah Samira, Kolonel Haji Muhammad Arif
namanya. Arif pun lahir di Datuk Dalam. Datuknya Jamilah itu bernama Mejar Haji
Mohd. Said. Dia lahir di Setulang Darat, tetapi setelah berkahwin dia membeli
tanah dan tinggal di Datuk Dalam juga.” (Samira, hlm. 476).
Persoalan yang menjadi gagasan untuk
diselesaikan ialah termasuk menggerakkan generasi muda yang memikul
tanggungjawab baru dalam kerangka menjadikan mereka warga masyarakat dunia yang
sejagat. Pertembungan tersebut masih dilihat di dalam kerangka global, dan
masalah jati diri sekali lagi menjadi masalah dasar yang utama. Gerakan atau
gagasan pengarang dilihat cuba mengembalikan ke akar jati diri atau identiti
bangsa. Setiap bangsa di dunia mula memperkenalkan diri mereka. Dalam landaan
globalisasi yang merentas sempadan
negara, kekhuatiran terhadap pupusnya imej diri dan jati diri budaya menjadi
agenda penting menggerakkan generasi muda. Kerisauan terhadap hegemoni yang
lebih besar dan berkuasa makin memarakkan gerakan memacu generasi muda tentang
sektor genetik mereka yang tidak boleh dipandang ringan.[42]
“Kalau nenek moyang kami memiliki panrita, laksamana, nakhoda, kelasi,
pasukan, tukang membina kota, galangan, bahtera dan mampu membuka negeri,
kenapa anakku kelak tidak ada kemampuan membina walau hanya suatu menara?”(Samira,
hlm. 585).
Neo-Nostalgia ini merupakan gagasan untuk suatu proses regenerated
dan dalam kerangka strategi proses gerakan kebudayaan. Dalam masa yang sama
Neo-Nostalgia dapat menjadi satu bentuk motivasi kebudayaan yang mementingkan
penerusan regeneration. Kesedaran terhadap cintakan jati diri dan induk
ibu pertiwi memuncakkan proses regenerasi, dan Neo-Nostalgia memainkan peranan
untuk meraih kesedaran masyarakat melalui pencernaan motif-motif “Moraliti
Silam”, seumpama sumber mitos, lagenda, hero, lipur lara, folklor, sejarah dan
kod-kod keagungan silam bangsa yang telah sedia ditafsirkan kembali.[43]
“Kita bina kembali Tonggak Johor Gabungan
zuriat Salewatang Pagauk Daeng Gassing – Temenggung Abdul Rahman. Dulu, Pagauk
buka dan bina Setulang – Tanjung Puteri. Sekarang kita bina Danga jadi pasangan
Setulang-Tanjung Puteri. Jadi pasak dan Tonggak Johor. Andai kelak, kita tak
jumpa Mak Cik Zahara, di atas bukit batu Setulang itu kita bina rangkaian
bangunan kayu. Kita penuhi fakta budaya Asia .
Di sana kita
lahirkan citra dari karisma Salewatang Pagauk”.(Samira, hlm. 643)
Penutup
Samira
mengemukakan satu dialog bersama seorang wanita teman berbicara untuk berwacana
tentang sebuah negara. Samira merupakan satu olahan simbolik dari
falsafah seorang negarawan yang cintakan bangsa dan negaranya. Samira disampaikan
secara retorik, semiotik dan dialogik. Perkembangan semasa dari segi nasib
bangsa, persaingan dengan negara tetangga khususnya, meletakkan kebijaksanaan
politik dalam memahami sejarah perkembangan dan nasib Kemelayuan. Penjanaan
regenerasi supaya dapat memahami erti sejarah melalui pelbagai simbol
patriotisme seumpama unsur kontrak sosial, persefahaman antara kaum dan
hubungan ekonomi serantau memerlukan generasi muda membangunkan diri dan
bersedia dengan tindakan politik negara tetangga yang didapati lebih bijaksana
dan disifatkan sebagai “makhluk halus” yang sentiasa mencari peluang untuk
memenangi persaingan sejak zaman berzaman. Dengan perkembangan sikap kebangsaan
yang mula meluntur dan hampir pasti cuba diganti dan dicabar dengan unsur
kepelbagaian atau unsur multiculturalisme, persoalan Kemelayuan yang
menjadi teras nasional telah mula sedikit demi sedikit dipertikaikan kerana
orang tidak faham sejarah. Samira meletakkan tanggungjawab besar untuk
menyedari tentang cabaran jiwa kebangsaan ini di tangan orang politik atau
parti politik yang berkuasa secara majoritinya dipilih rakyat sebagai wakil
mereka. Memahami sejarah pemikiran kebangsaan digunakan sebagai subjek penting
dalam membina “Menara Impian Samira”@ Bangsa Malaysia.
Sumber Rujukan
Arena
Wati, 2007. “Sebuah Trilogi Tiga Genre – Antara Manusia. Kepala Bapak Itu.
Samira”, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Davis,
Fred, 1979. Yearning For Yesterday – A Sociology of Nostalgia. London:
The Free Press.
Ebert.T,
2000. “The Dialectics of History: New Historicism, Textuality, Class”. http://www.albany.edu/~te609/eng641/
Farganis,
James. 2000. Readings in Social Theory – The Classic Tradition to Post
Modernism.(edisi Ketiga). USA: Mc Graw Hill.
Friedman,
Jonathan. 1994. Cultural Identity and Global Process. London: Sage
Publications.
Greebblatt,
Stephen, and Gunn, Giles(ed.).1992. Redrawing The Boundaries. New York:
The Modern Language Association of America.
Hamilton, Paul. 1996. Historicism.
London and New York: Rutledge.
Hashim
Ismail. 2001. “Kemunculan Teori-Teori Sastera Tempatan: Pascamodenisme dan
Neo-Nostalgia”. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kritikan Sastera Melayu
Serantau, 24-26 September 2001, di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, anjuran
Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan
Pengkritik Sastera Malaysia.
Hashim
Ismail. 2001. “Novel-Novel Arena Wati 1990-2000: Peperangan dan Pemulihan Harga
Diri”. Kertas kerja dibentangkan di Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V. 2-4
Oktober, 2001, di Hotel Century Mahkota, Melaka, anjuran Bahagian Kesusasteraan
Moden, DBP, Kuala Lumpur.
Hashim
Ismail. 2002. “Pascamodenisme dan Neo-Nostalgia”. Dewan Sastera, Mac
2002, hlm. 29-36.
Hashim
Ismail. 2003. “Novel 1515 dari Sudut Neo-Nostalgia”. Kertas Kerja dibentangkan
di Forum Penulis Muda, 16 Ogos 2003. Rumah PENA, Kuala Lumpur.
“What is
New Historicism?”, 2000. http://www.shef.ac.uk/misc/personal/bsp97rmm/page2.html
“NewHistoricism”.2000.http://www.press.jhu.edu/books/hopkins_guide_to_theory/entries/new_historicism.html
“NewHistoricismExplained”,2000.http://www.sou.edu/English/Hedges/Sodashop/RCenter/Theory/Explaind/nhistexp.htm
“New
Historicism and Cultural Materialism”. 2003. http://www.utm.edu/research/iep/l/literary.htm
Michaels,
Walter Benn, 1987. The Gold Standard and The Logic of Naturalism.
Berkeley: University of California Press.
Montrose,
Louis. 1992. “New Historicisms”. Redrawing The Boundaries. Stephen
Greenblatt and Giles Gunn(ed.). New York: The Modern Language Association of
America.
Myers,
D.G, 2000. “The New Historicism in Literary Study”. http://www-english.tamu.edu/pers/fac/myers/historicism.html.
(Originally published in Academic Question 2(Winter 1988-89), pg.27-36.
Robertson,
Roland, 2000. “Setelah Nostalgia? Wilful Nostalgia dan Fase Globalisasi”, Teori-Teori
Sosiologi – Modernitas Posmodernitas. Bryan Turner(ed.), terjemahan Imam
Baehaqi dan Ahmad Baidlowi. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Said,
Edward. 1993. “Two Visions in Heart of Darkness” (From Culture and Imperialism
pp. 20-35). Modern Literary Theory – A Reader(Edisi Ketiga). Philip Rice
and Patricia Waugh(ed.), 1996. London: Arnold.
[1]
Kertas yang dibentangkan bertajuk, “Kemunculan Teori-Teori Sastera Tempatan:
Pascamodenisme dan Neo-Nostalgia”, di Seminar Kritikan Sastera Melayu Serantau,
24-26 September 2001, di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, anjuran Bahagian teori
dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Pengkritik
Sastera Malaysia.
[2]
Pada mulanya saya secara mudah menggunakan istilah nostalgia baru, tetapi
akhirnya saya merumuskan episteme Neo-Nostalgia secara positif, lihat kertas
kerja “Kemunculan Teori-teori Sastera Tempatan: Pascamodenisme dan Neo-Nostalgia”,
hlm. 21.
[3]
Fred Davis, 1979, Yearning For Yesterday – A Sosiology of Nostalgia. London : The Free Press.
[4] Ibid,
hlm. 18. meminjam ungkapan yang dinyatakan oleh Fred Davis, dalam maksud
“Simple Nostalgia” yang menyatakan “Things were better then than now”.
[5]
Roland Robertson, 2000.”Setelah Nostalgia?Wilful Nostalgia dan Fase
Globalisasi”, Teori-teori Sosiologi – Modernitas Postmodernitas. Bryan
Turner(ed.), terjemahan Imam Baehaqi dan Ahmad Baidlowi.Yogyakarta: Pustaka
Pelajar,hlm. 94, memetik pandangan Baudrillard(1983) dalam Simulations, New York : Semitext(e),
hlm. 12-13.
[6]
Perbincangan yang terdapat di dalam James Farganis, 2000. Readings in Social Theory – The
Classic Tradition to Post-Modernism.(Edisi Ketiga). USA : Mc. Graw Hill, hlm. 420.
[7] Lihat
kertas kerja “Kemunculan Teori-Teori Sastera Tempatan: Pascamodenimse dan
Neo-Nostalgia”, hlm. 4.
[8] Ibid,
hlm. 4-5.
[9] Ibid,
hlm. 5.
[10] Ibid,
hlm. 5-6.
[11]
Lihat “What is New Historicism?” dlm.
http://www.shef.ac.uk/misc/personal/bsp97rmm/page2.html
[12] Louis
Montrose, 1992. “New Historicisms” dlm. Redrawing The Boundaries,
Stephen Greenblatt dan Giles Gunn (ed.), New
York : The Modern Language Association of America.
[13] Ibid,
hlm. 7-8. dibincangkan oleh Roland Robertson, “Setelah Nostalgia?Wilful
Nostalgia dan Fase Globalisasi”, hlm. 90.
[14] Ibid,
hlm. 82-83.
[15] Ibid,
hlm. 93. Robertson memaparkan idea-idea Fukuyama (1989)
daripada artikel “The End of History”, The National Interest,
16.(Summer), hlm. 3-18.
[16]
Edward Said,1993.”Two Visions in Heart of Darkness”(From Culture and
Imperialisme, pp. 20-35), Modern Literary Theory – A Reader(Edisi
Ketiga), Philip Rice and Patricia Waugh(ed.), 1996. London :
Arnold , hlm.
348-360.
[17] Pernah
dibincangkan di dalam kertas kerja berjudul “Novel 1515 dari Sudut
Neo-Nostalgia”.Forum Penulis Muda, 16 Ogos, 2003. Rumah PENA, Kuala Lumpur , hlm. 1.
[18]
“New Historicism and Cultural Materialism”.Literary Theory(Internet
Encyclopedia of Philosophy), http://www.utm.edu/research/iep/l/literary.htm,
hlm. 7.
[19]
D.G.Myers, 2000. “The New Historicism in Literary Study” dlm. http://www-english.tamu.edu/pers/fac/myers/historicism.html
, hlm. 3. Originally published in Academic Questions 2 (Winter
1988-89):27-36.
[20]
Louis Montrose, 1992. “New
Historicisms” , Redrawing The
Boundaries. Stephen Greenblatt dan Giles Gunn(ed.), New York : The Modern Language Association of
America, hlm. 392-393.
[21] “New
Historicism Explained”, 2000. http://sou.edu/English/Hedges/Sodashop/RCenter/Theory/Explaind/nhiistexp.htm
,hlm. 1.
[22] Op.cit,
“Novel 1515 dari Sudut Neo-Nostalgia”, hlm. 2.
[23] Ibid,
hlm. 3.
[24]
“The Old Historicism”, he argues is “monological” concerned with “discovering a
single political vision” and (new historicism) believes that history is not the
“product of the historian’s interpretation, nor even of the particular interests
of a given social group in conflict with other groups”. Lihat T. Ebert, 1988.
“The Dialectics of History: New Historicism, Textuality, Class”, dlm. http://www.albany.edu/~te609/eng641/
,hlm. 1 . Lihat juga kajian yang
dikemukakan oleh Walter Benn Michaels, 1987. The Gold Standard and The Logic
of Naturalism. California: University of California Press, yang menggunakan gagasan New Historicism
dalam tesisnya untuk memahami karya-karya
penulisan tentang sejarah dan “economic production”, tentang
subjektiviti di dalam sejarah; Michaels mengatakan dekonstruksi (against)dan
New Historicism(for) dari pertimbangan sejarah., hlm. 28.
[25]
Paul Hamilton, 1996. Historicism. London
and New York :
Routledge., hlm. 152. Hamilton membahaskan pandangan Greenblatt dari sudut New
Historicism, Greenblatt hanya ingin
kembali kepada teks yang bersejarah tetapi McGann melalui penelitiannya, teks
yang bersejarah itu bukan sahaja berhubungan dengan sezamannya, malahan untuk
zaman kini dan akan datang. Hamilton
memetik pandangan McGann(1983/89), The
Romantic Ideology: A Critical Investigation, Chicago , III: Chicago University Press., hlm.
105.
[26] Perlunya Neo-Nostalgia kerana kita kini berada di dalam
dunia teknologi maklumat yang sebenarnya kita bukan berinteraksi dengan manusia
lain secara fizikal, tetapi kita berinteraksi secara maya. Interaksi semakin
menjadi sempit dalam ruang dan waktu. Realisme diri menjadi tidak berjisim dan
interaksi menjadi lebih kepada hakikat nonrealisme. Bayangkan seorang ahli
ekonomi berurus niaga tanpa barang-barangnya secara realisme, tetapi cukup
dengan paparan skrin dengan maklumat di alam fantasi. Bursa saham adalah contoh
terbaik bagaimana manusia kini semakin terhapus dengan realiti tetapi memasuki
dunia imaginasi dan nonrealisme. Saham akan jatuh sekelip mata. Begitu juga
sebaliknya. Manusia ekonomi menjadi kaya di dalam beberapa minit bila berlaku
pertukaran jual beli di papan tanda saham. Dan dalam masa yang singkat manusia
seperti Soros boleh menjadi penyangak mata wang. Teknologi makin mempengaruhi
dunia imaginasi, nonrealisme dan menambahkan darjah choatic. Imaginasi yang kuat untuk memberikan tafsiran
terhadap sejarah baru merupakan satu bentuk pencerekaan sejarah yang bukan lagi
mementingkan realiti, tetapi lebih kepada nonrealisme. Teks ini dipetik dari
kertas kerja saya, “Novel 1515 dari sudut Neo-Nostalgia”, hlm. 4-5.
[27]
Lihat T. Ebert, 1998. “The Dialectics of History: New Historicism, Textuality,
Class”,hlm. 1, http://www.albany.edu/~te609/eng641/
.
[28]
Dibincangkan di dalam kertas kerja saya, “Novel 1515 dari Sudut Neo-Nostalgia”,
hlm. 5. Istilah regenerated dan regeneration muncul sewaktu saya
membentangkan kertas kerja tentang “Novel-Novel Arena Wati 1990-2000:Peperangan
dan Pemulihan Harga Diri”, dibentangkan di Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden
V, 2-4 Oktober 2001, di Hotel Century Mahkota, Melaka, anjuran Bahagian
kesusasteraan Moden, Dewan bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur .
[29]
Ibid, hlm. 5. Sekali lagi sejarah menjadi penentu. Realisme
sejarah akan memerlukan penerusan
generasi mementingkan pertiwi dan harga diri. Di samping itu gagasan
berbentuk regenerated melalui
sektor genetik menyuntik semangat berterusan generasi pewaris. Realisme Sejarah
dan Realisme Genetik merupakan faktor
yang berpadu untuk menguatkan kaedah regeneration citra bangsa dan dapat
menjaga maruah diri di pentas global. Arena Wati pernah menggunakan kaedah ini
di dalam penghasilan novel-novel beliau. Pantai Harapan, Turina, Citra,
Sarida, Gami, Panrita, Sudara, Mevrouw Toga, Begawan, dan Sukma Angin
merupakan contoh-contoh novel beliau yang menekankan aspek genetik tersebut.
Dan kaedah regeneration ini merupakan satu gerakan kebudayaan dan ke arah
motivasi kebudayaan. Malahan Arena Wati sering pula mengangkat imej ibunda
sebagai simbol ibu pertiwi.
[30]
Jonathan Friedman, 1994. Cultural Identity and Global Process. London : Sage Publications,
hlm. 79-87.
[31]“NewHistoricism”,http://www.press.jhu.edu/books/hopkins_guide_to_literary_theory/entries/new_historicism.html
,hlm. 1-3.
[32]
Fred Davis, 1979, Yearning For Yesterday – A Sosiology of Nostalgia. London : The Free Press.
[33]
Roland Robertson, 2000.”Setelah Nostalgia?Wilful Nostalgia dan Fase
Globalisasi”, Teori-teori Sosiologi – Modernitas Postmodernitas. Bryan
Turner(ed.), terjemahan Imam Baehaqi dan Ahmad Baidlowi.Yogyakarta: Pustaka Pelajar,hlm.
94, memetik pandangan Baudrillard(1983) dalam Simulations, New York : Semitext(e), hlm. 12-13.
[34]
Perbincangan yang terdapat di dalam James Farganis, 2000. Readings in Social Theory – The
Classic Tradition to Post-Modernism.(Edisi Ketiga). USA : Mc. Graw Hill, hlm. 420.
[35]
Op-cit, hlm. 7-8. dibincangkan oleh Roland Robertson, “Setelah Nostalgia?Wilful
Nostalgia dan Fase Globalisasi”, hlm. 90.
[36] Ibid,
hlm. 82-83.
[37] Ibid,
hlm. 93. Robertson memaparkan idea-idea Fukuyama (1989)
daripada artikel “The End of History”, The National Interest,
16.(Summer), hlm. 3-18.
[38] Namun demikian bagi kumpulan yang
merasakan persaingan di dalam masyarakat “kosmopolitan global” akan mengancam
survival mereka, akan memilih untuk mengembalikan maruah mereka. Oleh itu bangsa yang cuba mempertahankan
identitinya akan mencari ciri-ciri homogeneiti. Pengenalan terhadap jati diri
di dalam pertembungan global akan mengembalikan bangsa-bangsa tempatan untuk
mendapatkan ciri-ciri kolektif. Set sejarah, budaya, bahasa dan agama merupakan
elemen-elemen homogeneiti yang dapat dijadikan benteng untuk menyatakan
keperibadian yang kolektif. Dengan kata lain jati diri yang dibentuk dan
dikukuhkan oleh maklumat-maklumat silam yang dapat dikongsi bersama menjadi
satu ciri homogeneiti. Oleh itu Neo-Nostalgia memainkan peranan yang penting di
dalam masyarakat pascamoden yang inginkan pengukuhan jati diri. Mitos, lagenda,
folklor, sastera lisan dan sejarah yang dimiliki secara kolektif dan mengakar
kukuh dalam masyarakat tradisional itu dapat dijadikan pemacu penting ke arah
mencapai cita-cita homogeneiti.
[39] Montrose telah menghadapi situasi akademik yang berat
sebelah, baginya kajian hanya tertumpu kepada sastera agung yang hanya
menyaksikan penghasilan dari kuasa-kuasa kebudayaan dan politik yang dominan.
Kesedaran terhadap kelemahan perspektif akademik tersebut menimbulkan tindakan
untuk New Historicism mengemukakan cadangan kaedah bacaan bagi kajian
teks-teks tradisional. Louis Montrose, 1992. “New Historicisms” , Redrawing The Boundaries. Stephen Greenblatt dan
Giles Gunn(ed.), New York :
The Modern Language Association of America, hlm. 392-393.
[40]
“The Old Historicism”, he argues is “monological” concerned with “discovering a
single political vision” and (new historicism) believes that history is not the
“product of the historian’s interpretation, nor even of the particular
interests of a given social group in conflict with other groups”. Lihat T.
Ebert, 1988. “The Dialectics of History: New Historicism, Textuality, Class”,
dlm. http://www.albany.edu/~te609/eng641/
,hlm. 1 . Lihat juga kajian yang
dikemukakan oleh Walter Benn Michaels, 1987. The Gold Standard and The Logic
of Naturalism. California: University of California Press, yang menggunakan gagasan New Historicism
dalam tesisnya untuk memahami karya-karya
penulisan tentang sejarah dan “economic production”, tentang
subjektiviti di dalam sejarah; Michaels mengatakan dekonstruksi (against)dan
New Historicism(for) dari pertimbangan sejarah., hlm. 28.
[41]
Paul Hamilton, 1996. Historicism. London
and New York :
Routledge., hlm. 152. Hamilton membahaskan pandangan Greenblatt dari sudut New
Historicism, Greenblatt hanya ingin
kembali kepada teks yang bersejarah tetapi McGann melalui penelitiannya, teks
yang bersejarah itu bukan sahaja berhubungan dengan sezamannya, malahan untuk
zaman kini dan akan datang. Hamilton
memetik pandangan McGann(1983/89), The
Romantic Ideology: A Critical Investigation, Chicago , III: Chicago University Press., hlm.
105.
[42] Sekali lagi sejarah menjadi penentu.
Realisme sejarah akan memerlukan penerusan
generasi mementingkan pertiwi dan harga diri. Di samping itu gagasan
berbentuk regenerated melalui
sektor genetik menyuntik semangat berterusan generasi pewaris. Realisme Sejarah
dan Realisme Genetik merupakan faktor
yang berpadu untuk menguatkan kaedah regeneration citra bangsa dan dapat
menjaga maruah diri di pentas global. Arena Wati pernah menggunakan kaedah ini
di dalam penghasilan novel-novel beliau. Pantai Harapan, Turina, Citra,
Sarida, Gami, Panrita, Sudara, Mevrouw Toga, Begawan, dan Sukma Angin
merupakan contoh-contoh novel beliau yang menekankan aspek genetik tersebut.
Dan kaedah regeneration ini merupakan satu gerakan kebudayaan dan ke
arah motivasi kebudayaan. Malahan Arena Wati sering pula mengangkat imej ibunda
sebagai simbol ibu pertiwi.
[43]
Telah banyak dibincangkan berulangkali dalam kertas-kertas tentang pemikiran
Neo-Nostalgia dalam hubungan menafsir sejarah untuk melihat perkembangan
pemikiran regenerasi.