Jawii/Hafizah Iszahanid
hafiza@bh.com.my
Pix: Nik Harif Hasan
Kuala Lumpur: Peralihan
tulisan jawi ke rumi bermula setelah kemasukan penutur bahasa asing dan
pengaruh Eropah di Nusantara. Abad ke-15, kemasukan Portugis, Belanda dan
Inggeris ke Alam Melayu atas dasar ekonomi dan politik menjadikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa lingua franca yang
penting. Dengan demikian, tulisan rumi diperkenalkan oleh orientalis
menggantikan tulisan Jawi bagi memudahkan penutur asing. Malahan pada awal abad
ke-19, sekolah-sekolah mubaligh Kristian menggunakan tulisan rumi sebagai media
bahasa penyebaran agama Kristian.
Bagi memudahkan mereka, para orientalis memperkenalkan daftar
ejaaan rumi dan ejaan jawi melalui kaedah perkamusan. Secara sejarah insiatif
ini dilaksanakan oleh Thomas Bowrey (1701), dan Marsden (1812). Sistem ejaan
rumi dimantapkan dari satu tahap ke satu tahap menggantikan tulisan Jawi
seperti dilaksanakan oleh sistem ejaan Pigafetta, Marsden, Wilkinson dan Za,ba.
Pada tahun 1904, pernah wujud satu jawatankuasa yang mendaftarkan ejaan Rumi
Kerajaan Negeri Persekutuan. Selanjutnya
pada tahun 1954, ASAS 50 di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke 2, atas
dasar bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, mereka
mendesak supaya tulisan rumi menggantikan tulisan Jawi secara rasmi,
dengan syarat tulisan Jawi tidak dihentikan penggunaannya.
Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan
Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hashim Ismail, berkata peralihan
sistem tulisan rumi ke jawi ini, dalam masa yang sama tindakan itu sudah mula menyingkirkan
kedudukan tulisan berkenaan sebagai wadah pengajian ilmu Melayu. Secara tidak
langsung menghambat sistem pendidikan nasional. Tegas Hashim, antara lain, ketika
itu fokus peralihan jawi ke rumi adalah untuk membentuk masyarakat yang bersatu
padu sejajar dengan idea kebangsaan yang wujud sebelum zaman perang lagi.
“Isu perpaduan antara kaum
dilihat akan mudah dibuat menerusi tulisan rumi.
“Bagaimanapun, tindakan itu
dikesali oleh beberapa tokoh yang memperjuangkannya apabila kesannya, didapati perlahan-lahan
ia menyebabkan jawi terpinggir,” katanya. Malahan ada antara tokoh ASAS 50
sendiri yang menyesali keputusan yang dibuat mereka sebelum ini.
Tambah Hashim, meskipun
kemudiannya terdapat usaha untuk memartabatkan jawi dibuat oleh pelbagai pihak
persendirian, juga ahli politik malah ada akhbar jawi juga diterbitkan tetapi
ia masih gagal memartabatkan tulisan jawi kerana tidak disambut oleh pemerintah
dan masyarakat”.
“Hasrat kerajaan untuk
memperkenalkan kembali tulisan jawi adalah baik tetapi seharusnya kementerian
pendidikan menekankan kepada memperkenalkan sejarah tulisan Jawi atau sejarah kaligrafi
jawi. Semua bangsa dan bahasa mempunyai
sistem kaligrafinya, termasuk Bahasa Melayu. Sejarah tulisan dalam bahasa
Melayu itu mempunyai tradisi peradaban yang panjang, sebelum tulisan Jawi,
bahasa Melayu sudah menggunakan
kaligrafi Palava, huruf Kawi, dan tulisan rencong. Jadi ia berkaitan sistem
aksara, bukannya tulisan agama Islam, bukannya tulisan Khat Islam. Kita kena
faham sejarah sistem tulisan kaligrafi Melayu itu sendiri seperti kita juga
belajar kaligrafi tulisan Cina, Thai, dan Sanskrit”.
“Persoalan istilah ini membawa impak dan pemahaman yang berbeza
dan ia seharusnya ditangani sebaiknya dalam usaha untuk memperkenalkan kembali
tulisan jawi,” katanya.
Bahasa Melayu adalah bahasa utama di alam Melayu dan aksaranya dikesan
sejak abad kedua masehi menerusi prasasti tinggalan Kerajaan Sriwijaya. Ketika
itu sistem tulisannya adalah palava klasik.
“Di Tanah Melayu, pada 1303M
prasasti tulisan jawi ini ditemui di Terengganu tetapi di alam Melayu
keseluruhannya sudah dapat dikesan banyak prasasti dengan campuran tulisan Arab
dan palava sejak kemasukan Islam ke Alam Melayu.
“Kedatangan Islam
kemudiannya mempengaruhi sistem tulisan bahasa Melayu yang boleh dibuktikan
dengan tinggalan prasasti dan batu nesan yang menggunakan tulisan jawi di Pasai
pada abad ke-13,” katanya.
“Sistem tulisan rumi muncul
pada abad ke-19 dibawa oleh kolonial yang dilihat ketika itu sebagai wahana
yang mampu menyebarkan ilmu dengan lebih mudah, malahan mudah untuk penutur
asing” katanya.
Tegas Hashim, dasar yang
dibuat bermula pada tahun 50-an itu sebenarnya meninggalkan kesan yang bukan
sedikit kepada orang Melayu khususnya dan pengajian Melayu amnya. Ramai graduan
pengajian Melayu yang tidak dapat membaca jawi dengan baik yang menyebabkan
ilmu Melayu tersadai dalam bentuk manuskrip sahaja.
“Contoh paling mudah dalam
kajian sastera moden, kebanyakan novel terbitan tahun 30-an, 40-an dan 50-an masih
menggunakan sistem tulisan jawi dan ia kurang dikaji oleh sarjana kerana mereka
tidak mampu membaca jawi.
“Begitu juga manuskrip
Melayu lama yang tersimpan di merata perpustakaan di dunia yang masih tidak
dikaji. Ia amat merugikan sedangkan semua itu adalah ilmu,” katanya.
Tambah Hashim, antara
dilema yang pernah dihadapi Universiti Malaya dahulu adalah kelas pengajian
filologi yang ditawarkan oleh Akademi Pengajian Melayu tidak mendapat sambutan
kerana sedikitnya pelajar yang boleh membaca jawi. Hal ini diatasi dengan
pengenalan kelas jawi pada 1990-an tetapi ia masih tidak membantu
memperbanyakkan kajian berkaitan sastera Melayu bertulisan jawi yang merupakan
hasil tamadun besar dunia Melayu.
“Jika dilihat kemerosotan
sarjana yang mengkaji khazanah sastera dan budaya Melayu yang tersimpan dalam
tulisan jawi ini bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga tidak ramai
lagi sarjana barat yang berminat berbuat demikian,” katanya.
Sejarah tulisan jawi
bermula dengan penyebaran agama Islam yang memperlihatkan cerdik pandai zaman
itu mengadaptasi sistem tulisan Arab untuk digunakan dalam bahasa Melayu dengan
tambahan lima perkataan iaitu ca,pa, ga, nya dan nga.
Penggunaan tulisan jawi ini
mempercepatkan lagi penyebaran ilmu di Alam Melayu sejak abad ke-13 ia digunakan secara meluas di semua
kerajaan di alam Melayu. Ia bukan hanya digunakan dalam sistem pentadbiran dan
surat menyurat rasmi tetapi juga digunakan untuk mendokumentasikan ilmu sesuai
dengan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa utama alam Melayu.
Jawi digunakan untuk
merekodkan peradaban Melayu termasuk undang-undangnya dalam manuskrip seperti
Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang Johor selain
Risalah Hukum Kanun. Begitu juga dengan naskhah kesusasteraan klasik seperti
Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan Misa Melayu.
Kegemilangan bahasa Melayu
dan tulisan jawi menyebabkan ia dipelajari di Eropah dalam usaha kolonial
mengenali orang Melayu bagi tujuan penjajahan dan perdagangan. Hal ini boleh
dilihat apabila ia digunakan dalam surat menyurat ketua kerajaan di Eropah
kepada sultan di alam Melayu. Antaranya adalah surat menyurat antara Sultan Abu
Hayat dari Ternate dengan Raja João III dari Portugal (1521); surat daripada
Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England (1615); dan
surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari
Perancis (1719). Justeru, tegas Hashim, “Belajar tulisan Jawi adalah bukan
belajar agama Islam, tetapi belajar sistem aksara atau kaligrafi yang digunakan
pada perkembangan sejarah bahasa Melayu”.
END>
No comments:
Post a Comment