Thursday, March 12, 2009

KONGRES KEBUDAYAAN MELAYU KEDUA

KEKWA, GAPENA, PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA DAN DBP ANJURKAN KKM2 PADA 15 - 17 MAC 2009, DI WISMA SEJARAH, JLN. TUN RAZAK, KUALA LUMPUR, ACARA DIRASMIKAN OLEH YB MENTERI DATO' SERI SHAFEI APDAL.

Monday, January 12, 2009

Perhimpunan Raksasa PPSMI

Satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan di perkarangan Rumah GAPENA pada 15hb. Feb 2009, dikenali sebagai Ratib Ratap 152 untuk menentang pelaksanaan PPSMI. Majlis Muafakat Melayu yang terdiri daripada NGO-NGO Melayu akan ikut serta, dan dirancang untuk mengadakan perarakan besar-besaran ke Balai Polis berdekatan bagi membuat laporan polis. Program ini adalah tidak bersifat politik dan semua yang terlibat adalah untuk memperjuangkan kelangsungan BAHASA MELAYU sesuai dengan Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Tan Sri Aziz Abdul Rahman akan berucap pada hari berkenaan dan ucapan juga akan disertai oleh ketua badan-badan NGO Melayu dari seluruh negara. Sebelum itu solat hajat, bacaan Yassin, majlis tahlil, dan pembacaan puisi berkaitan nasib bahasa diadakan dan akan dilakukan pada sebelah malam 14 hb. Semua pejuang bahasa Melayu dijemput hadir menyatakan semangat dan perasaan mereka. Sepanduk berkenaan JANGAN BUNUH BAHASA MELAYU akan berkibar di seluruh negara.

Saturday, January 3, 2009

Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu- BN Terpaksa Lebih Agresif

BN dijangka sukar mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17hb. ini. faktor-faktor semasa menunjukkan kelebihan kepada calon PAS. Antara faktornya ialah;
1. Perbandingan bekas wakil rakyat sebelum ini dengan peribadi calon BN sekarang.
2. Pengaruh guru-guru sekolah yang sebelum ini dekat dengan bekas wakil rakyat.
3. Perpecahan dan Masalah dalaman ahli UMNO akibat pemilihan bahagian baru-baru ini.
4. Isu Hukum Hudud bukan isu bagi penduduk Melayu di Kuala Terengganu.
5. Semakin banyak generasi muda yang hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
6. Masalah rasuah yang berleluasa menimbulkan kemarahan golongan yang tidak terbabit.
7. PKR dan DAP berhadapan dengan masalah dalaman. Walau bagaimanapun PAS semakin mengukuh kerana kelemahan PKR dan DAP.
8. Isu pembangunan bukan isu yang utama bagi rakyat Pantai Timur termasuk rakyat Kuala Terengganu.
9. Jentera wanita UMNO yang kian berpecah kerana isu pertandingan.
10. Sokongan PUTERI UMNO yang semakin lemah kerana induknya WANITA tidak berfungsi.
11. Moral PAS yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

BN perlu berkerja lebih keras, penentuan sehingga saat-saat akhir akan turut mempengaruhi kerana dijangkakan semakin banyak tenaga dan wang yang akan dicurahkan di Kuala Terengganu.

Jangan Politikkan PPSMI - GAPENA

GAPENA dalam mesyuarat khasnya khamis lepas melihat akhir-akhir ini isu PPSMI telah dipolitikkan oleh pihak tertentu. Perjuangan GAPENA dalam menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di seluruh sistem pendidikan adalah berasaskan Perlembagaan Negara. Oleh itu PPSMI didesak supaya dikembalikan untuk diajarkan dalam Bahasa Melayu. Isu kelemahan bahasa Inggeris perlu ditangani secara kaedah lain yang tidak mengorbankan semangat Perlembagaan dan Dasar-dasar Kebangsaan yang lain. GAPENA dalam kenyataannya sedang berusaha untuk bertemu dengan YB Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri bagi membincangkan masalah yang menjadi kemelut antara pejuang Kedaulatan Melayu dengan pihak berkuasa yang masih tidak dapat memberikan kata putus terhadap pelaksanaan PPSMI selanjutnya. Pendekatan rundingan dipilih sebelum dipertimbangkan untuk mengadakan tindakan dari segi perundangan. GAPENA akan mengadakan perbincangan pertimbangan selanjutnya dengan semua NGO Melayu di Kuala Lumpur pada 5hb. Jan.ini. (GAPENA, 1 Jan 2009)

Friday, January 2, 2009

Semiotik - Novel Sangeetha




PETANDA DALAM SANGEETHA DARI PERSPEKTIF KAJIAN SEMIOTIK

Oleh

Hashim Ismail dan Tuan Zainab Tuan Wi

Pendahuluan
Sangeetha mendapat perhatian ramai sarjana kerana kekuatan penghasilan novel yang penuh dengan elemen estetika. Nilai seni yang tinggi memberikan implikasi kekuatan stamina pengarangnya, Azizi Haji Abdullah dalam proses penciptaan novel ini. Hasilnya novel ini dapat dianggap sebagai novel mutakhir Melayu yang membawa satu mercu baru penghasilan novel sepanjang sejarah perkembangan sastera Melayu. Novel Sangeetha memenangi Hadiah MASTERA pada tahun 2007 dan menjulang nama Azizi Haji Abdullah dalam bidang kesusasteraan mutakhir di peringkat Asia Tenggara.

Kertas ini membincangkan kekuatan novel Sangeetha dari sudut semiotik. Indeks Tanda dan Penanda dijadikan kayu ukur untuk mendalami kebolehan pengarang mengolah bahasanya dengan elemen emosi dan pemikiran , selaras dengan dunia percintaan orang tua yang ditonjolkan melalui watak Derus dan Sangeetha. Dua dunia budaya yang berbeza, iaitu India dan Melayu bercantum dalam penyebatian nilai seni tabla dan gambus. Perasaan dihidupkan melalui ilusi dan gerak batin menggambarkan kejayaan pengarang menggarap dunia batin dan dunia fizikal yang saling lengkap melengkapi. Tanda dan penanda sebagaimana konsep Levis Strauss atau signifier dan signified menjadi satu penghasilan struktur makna yang dapat digarap dengan lebih hidup dan segar. Kesannya pembaca mengikut gerak perasaan dan emosi serta pemikiran yang dibawa dengan lebih realistik.

Kejayaan penggarapan pengarang melalui pengolahan bahasa tersebut diadun dengan siratan seni dan makna yang sugestif. Kekuatan novel Sangeetha terletak pada kekuatan bahasa yang halus dan berkesan, garapan seninya menjadi lebih indah dengan gaya dan aturan semantik estetikanya. Oleh itu menganalisis makna teks dari sudut tanda dan petanda dapat menyelongkar keserlahan makna penghasilan novel ini.

Saturday, December 27, 2008

Angin Timur Laut -S.Othman Kelantan

Ulasan Karya S. Othman Kelantan

Oleh
Hashim Ismail


Karya Pilihan - Novel Angin Timur Laut.
Sejak awal penglibatan S. Othman Kelantan di dalam kepengarangannya, didapati pengarang ini penuh dengan jiwa perjuangan yang kental di dalam mesej-mesej yang ingin dipaparkan. Perjuangan manusia kerdil, manusia yang tertindas dan tertekan oleh persekitaran sosial, politik mahupun budayanya menjadi satu sumber penting kepengarangan S. Othman Kelantan. Sesuai dengan pengalaman silamnya, membesar di daerah Pantai Sabak, Kelantan dan alam kawasan pesisir yang menyaksikan beliau kenali serta rapat dengan kehidupan para nelayan.

Penyaksian terhadap kehidupan di daerah-daerah terpinggir di Kelantan dengan manusia yang terpinggir menyebabkan daya kreativiti beliau mengalir dengan lebih mendalam dan berkesan. S.Othman Kelantan mengemukakan manusia tertekan dengan jiwa yang besar. Tekanan persekitarannya kehidupan sosioekonomi dan sosipolitik sering menjadi pilihan beliau. Dan ini disertakan dengan kekuatan fenomenologi kejiwaan manusia pilihan beliau.

Untuk itu menyaksikan seawal penghasilan cerpen beliau, berjudul “Pembalasan”(1954) yang mengangkat jiwa pemberani, seorang pemuda yang kental jiwanya dengan imej kapak kecil. Dan dilihat bagaimana novel Juara mengangkat manusia berjiwa besar seperti Mamat yang menjadi berani dengan imej juara laga lembu. Begitu juga di dalam karya mutakhir S. Othman Kelantan, berjudul Oghe Koto Baghu(2003), hampir menyerupai imej pemberani manusia pilihan di dalam cerpen “Pembalasan”. Imej kapak kecil orang Kelantan dengan imej perjuangan mempertahankan hak merupakan “ego-berani” manusia-manusia pilihan beliau.

Sehubungan itu pembaca akan menyaksikan pemerhatian dan kesungguhannya menilai hati budi manusia Kelantan dalam konflik sosial yang dileraikan oleh S.Othman Kelantan melalui nilai-nilai sebenar sosiobudaya negeri Kelantan di dalam kebanyakan karya-karya beliau. Pandangan Dharmawijaya(2003) ada asasnya bahawa penghasilan karya-karya S. Othman Kelantan masih teguh ditunjangi oleh keakraban sosial dan keunggulan budaya warisan Negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.[1]

Angin Timur Laut adalah hasil dari peneluran idea “Kekelantanan” tersebut. Namun demikian manusia seperti Saleh merupakan wakil dari kehidupan sosiobudaya masyarakat nelayan Melayu yang bukan sahaja mewakili manusia Kelantan atau manusia alam Melayu tetapi merupakan wadah ketimuran yang menghantui kehidupan dan kejiwaan manusia pesisir di alam kelautan.[2]

Watak Saleh dicipta untuk menghambur beribu-ribu rintihan nelayan di dalam tiupan angin Timur Laut tersebut; manusia yang hidup kerana bergantung pada peredaran musim dan alam persekitarannya, menjadi penjara fizikal yang melaut tetapi dengan hasrat gigih yang menggunung.

Jerit batin S. Othman Kelantan terhadap kehidupan nelayan pada saat beliau merenung simpati dengan geram perjuangan seperti pembela nasib si miskin. Seumpama Si Nayan yang bangkit menentang orang tengah di Utara Tanah Air kerana fenomena lintah darat memeras pesawah, S. Othman Kelantan menyatakan keprihatinan beliau terhadap keadaan yang menjerat nasib nelayan dan petani di sepanjang pesisir pantai Timur. Zaman negara yang baru mengecapi kemerdekaan, S. Othman melihat anak bangsanya terkapai di dalam kesempitan hidup.[3]

Alam, budaya, warisan dan perkembangan ekonomi mempengaruhi kehidupan nelayan pantai. Untuk di zaman awal kemerdekaan sehingga tahun 1970-an, kejiwaan di dalam Angin Timur Laut menyatakan “simpati-geram” S. Othman Kelantan terhadap nelayan yang dijerat kapitalis. Sajak di bawah menyatakan keprihatinan beliau tersebut;

Kepada nelayan-nelayan pantai timur,[4]

kukenangkan penderitaanmu,
kukenangkan kegelisahanmu,
kukenangkan jeratan-jeratan yang melingkari leher dan
kehidupannya oleh ‘orangtengah’

dan,
kukenangkan perjuanganmu yang tabah dengan laut:
jerung, ular-leret, sengat-pari, dengan bahaya,
dengan muat sepanjang tahun.


ini kisahmu,
ini ceritamu,
ini nadi dan urat-darahmu,
ini denyut dan degupmu,

tapi,
inilah juga denyut nadi dan degup jantungku,
inilah simpati dan kasih cintaku kepadamu,

semoga:
ada telinga yang tidak tuli,
ada mata yang tidak buta,
mendengar dan melihat kisah ceritamu yang bertaburan
sepanjang sejarah kehidupan yang malang dan duka
nestapa!

1960-an, merupakan zaman yang banyak menggerakkan perjuangan masyarakat Melayu menghadapi pelbagai pengisian struktur ekonomi. Kemajuan dalam bidang pertanian merupakan satu dasar yang digerakkan oleh kerajaan, memandangkan taburan masyarakat Melayu secara umumnya masih terikat dengan sistem pertanian tradisional. Isu menggerakkan ekonomi Melayu ini menjadi isu besar. Masalah sikap dan penguasaan bangsa asing dalam struktur ekonomi pada peringkat awal kemerdekaan merupakan masalah besar yang timbul bagi gerakan nasionalisme.

Pengetahuan dan pengalaman kedaerahan ini banyak membantu S. Othamn Kelantan dalam proses penciptaan karyanya. Beliau memahami secara etnografi situasi musim tengkujuh. Angin Timur Laut bererti cabaran, harapan dan memasang tekad yang teguh bagi nelayan. Angin Timur Laut mengamuk berbulan-bulan(ATL, hlm. 5). Angin Timur Laut merupakan musim nelayan menggantungkan nyawanya di permukaan ombak dan gelombang Laut Cina Selatan.(ATL, hlm. 6), Angin Timur Laut biasanya datang betul-betul pertengahan Oktober. Bagi nelayan, angin itu menjadi “setan” bila menjelang bulan November sampai Januari(ATL, hlm. 11), bermakna rezeki mereka berkurangan. Selama Angin Timur Laut bertiup bererti nelayan menentang kebimbangan, nelayan mematikan ancaman kebuluran(ATL, hlm. 14). Angin Timur Laut bertiup kencang, bersama ribut Barat Laut yang bertiup di sebelah petang(ATL, hlm. 31), sifatnya datang tiba-tiba dalam peralihan musim; angin Timur Laut sejuk dan tajam, gelap gugup dan berambu, rambu-rambu hujan turun bersama angin Timur Laut(hlm. 43); tiupan angin Timur Laut tidak berhenti dari bulan Oktober hingga bulan November, boleh berlanjutan sehingga bulan Disember(ATL, hlm. 49); hujan juga tidak akan berhenti di pertengahan Oktober, ancaman banjir(ATL, hlm. 53).

Angin Timur Laut bererti musim tengkujuh. Musim tengkujuh merupakan monsun angin Timur laut. Namun musim ini bukan sahaja merupakan ketakutan bermusim nelayan kerana kehidupan sepanjang masa gelora penglibatan nelayan dikenkang oleh permasalahan lain yang lebih kompleks. Bukan sedikit kajian tentang nelayan dilakukan secara pendekatan geografikal, antropologi, sosiologi dan ekonomi. Pembaca telah membaca deretan kajian-kajian yang mengemukakan faktor-faktor kebejatan nasib kaum nelayan. Masalah prasarana, sistem jual-beli, sistem modal, kepercayaan, dan perkembangan sosiopolitik merupakan faktor-faktor yang sering dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji tentang kemiskinan kaum nelayan. Beberapa kajian dilakukan oleh sarjana Barat dan sarjana tempatan tentang permasalahan sosioekonomi nelayan.[5]

Namun apabila membaca novel Angin Timur Laut, pembaca akan memahami secara kejiwaan bagaimana nelayan bukan sahaja terikat dengan sistem yang disebutkan di atas tetapi terperangkap dalam kerangka permasalahan yang melingkari diri, masyarakat dan kosmologikal mereka. Angin Timur Laut merupakan satu konflik kejiwaan nelayan menghadapi landaan musim tengkujuh yang lebih dahsyat dari kapitalis yang menjerat mereka tetapi sikap gigih mereka dalam menunaikan tanggungjawab diri dan keluarga; bagaimana usaha besar mereka untuk meneruskan hidup, melawan fenomena tengkujuh, alam atau musim yang datang setiap tahun di dalam kehidupan mereka? Kegigihan melawan ancaman itu bermusim tetapi berterusan setiap masa sebagaimana lingkaran yang tiada jalan keluar melainkan terus berjuang untuk menghadapinya. Kemiskinan dan kebuluran, dan jauh di tengah laut ialah ancaman kematian.

Secara etnografi dan sosiologikal, Angin Timur Laut menyaksikan kehidupan nelayan seharian. Tempat mereka berkumpul di waktu sebelum turun ke laut, setelah penat pulang dari laut, singgah di kedai kopi atau warung merupakan satu rutin yang biasa di dalam kehidupan harian mereka. Kedai kopi merupakan tempat berbincang, berseloka, dan tidak kurang tempat mendapatkan bekalan dapur atau bekalan ke laut. Namun demikian, di dalam Angin Timur Laut paparan tentang warung kopi digunakan oleh S. Othman Kelantan untuk menyatakan perdebatan nelayan untuk mengambil keputusan turun ke laut di waktu tengkujuh. Dalam masa yang sama dilihat bagaimana suasana harmoni dengan hujah-hujah kasar dan berseloroh tentang bini dan pasangan tidur menjadi selingan untuk bergurau. S. Othman Kelantan sendiri melalui kehidupan di perkampungan nelayan seperti Kemumin dan Pantai Sabak. Sebagai anak kampung pesisiran pantai tersebut, menghuni kedai kopi bersama-sama mendengar rungutan dan rintihan nelayan adalah kebiasaan.[6]

Memahami Angin Timur Laut bermaksud memahami kehidupan nelayan kecil di pesisir Pantai Timur, khususnya bagaimana mereka menghadapi musim tengkujuh. Namun demikian S. Othman Kelantan cuba membawa kepada pembaca bahawa di zaman awal kemerdekaan negara tersebut, masih ramai petani dan nelayan yang terperangkap dengan hambatan persekitaran sosial dan geografinya. Oleh itu memahami Angin Timur Laut bermakna memahami data faktor-faktor yang mempengaruhi kehidupan nelayan. Namun secara falsafah sosial S. Othman Kelantan menyatakan bahawa nelayan Melayu berusaha gigih secara fizikal dan mentalnya dalam usaha mereka untuk meneruskan kehidupan sosioekonominya walaupun di musim yang paling sukar dan tidak produktif.

Bibliografi:

Ahmad Kamal Abdullah(Penyelenggara). 1993. Jambak 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Dharmawijaya. 2004. “Menimang Kaca Menatang Intan”. Dewan Sastera, Mac 2004. hlm. 17-18.

Firth, Raymond. 1966. Nelayan Melayu – Ekonomi Tani Mereka. terjemahan Yaacob Harun dan Noor Hasnah Moin(1990). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ishak Shari. 1988. Pembangunan dan Kemunduran: Perubahan Ekonomi Luar Bandar di Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamaruddin M. Said. 1993. The Despairing and The Hopeful – A Malay Fishing Community in Kuala Kedah. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahathir Mohamad. 1982. Dilema Melayu. Terjemahan Ibrahim Saad. Petaling Jaya: Federal Publications.

Munro, G.R and Chee Kim Loy. 1978. The Economics of Fishing and The Developing World: A Malaysian Case Study. Pulau Pinang. Penerbit Universiti Sains Malaysia.

S. Othman Kelantan. 1974(edisi kedua). Angin Timur Laut. Kuala Lumpur: Utusan Pubilcations Ltd..

S.Othman Kelantan. 2003, “Bercerita Tentang Cerita Bukan Pilihan Saya”. Dewan Sastera, Julai 2003. hlm. 6-10.

Wan Hashim Wan Teh. 1980. Komuniti Nelayan Di Pulau Pangkor – Beberapa Aspek Ekonomi dan Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Hashim Wan Teh. 2004. “Pemotret Wajah Melayu Sepanjang Zaman”. Dewan Sastera, Mac 2004. hlm 19-20.

[1] Lihat Dharmawijaya, 2004. “Menimang Kaca Menatang Intan”, Dewan Sastera, Mac 2004., hlm. 17-18, “Sehubungan dengan persolan sosiobudaya dalam karya yang antaranya mengambil latar gerak rasa kehidupan masyarakat Kelantan, seperti cerpen “Pahlawan Lembu”, novel Pertentangan, Angin Timur Laut, Juara, dan Orang Kota Bharu novel terbarunya, terungkap mantap nilai yang mulia. Walaupun masyarakat menghadapi pelbagai konflik social yang lumrahnya ditandai oleh kemelut politik dan ekonomi tetapi gerak rasanya tidak dibelenggu serta ditenggelami oleh sikap pesimis yang skeptis, dan tidak juga digelorai oleh sikap agresif yang individualistic. Masyarakatnya berupaya mengembalikan kejernihan serta ketenangan suasana melalui gerak rasa keterbukaan serta kerendahan hati, keyakinan diri, menghargai kebenran, dan menghormati kejujuran. Dengan demikian, karya tersebut dapat mewakili cerminan masyarakat negeri Kelantan yang dikenal sebagai “Negeri Cik Siti Wan Kembang” ini masih teguh ditunjangi oleh keakraban social dan keunggulan budaya warisannya yang gemilang”.
[2] Dugaan dan kesengsaraan hidup nelayan Pantai Timur mendapat perhatian luar Negara sehingga novel Angin Timur Laut diterjemahkan ke dalam tiga bahasa, iaitu Perancis, Vietnam dan Thai.Lihat Wan Hashim Wan Teh, 2004. “Pemotret Wajah Melayu Sepanjang Zaman”. Dewan Sastera, Mac. 2004, hlm.19. Lihat juga catatan Biodata S.Othman Kelantan(tidak terbit), hlm. 3, menyebut Angin Timur Laut diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh Dr Laurent Metzger dengan tajuk Le Ven Du Nord-Est(Paris: Collection UNESCO La Paraou, 1982), 138 hlm. Novel ini juga diterjemahkan ke dalam bahasa Vietnam oleh Tieu Thuyet, Van Hoc Nuoc Ngoai, 1998. Manakala terjemahan ke dalam bahasa Thai oleh Nik Rakib, pada tahun 2003.
[3] Zaman itu merupakan zaman penulis menyatakan perjuangan kemasyarakatan, selaras dengan perjuangan seni untuk masyarakat. S. Othman Kelantan juga seorang pengkagum ASAS 50. S. Othman menyatakan bahawa “Sebenarnya perkembangan yang saya lalui adalah suatu proses yang panjang dan lama. Fikiran waktu itu ialah saya banyak melihat beberapa orang ASAS’50 seperti Usman Awang dan Keris Mas. Saya benar-benar menghayati karya-karya mereka yang pada anggapan saya amat menarik. Demikian mendalamnya minat dan penghayatan saya terhadap karya-karya mereka, pernah suatu ketika saya berjumpa dengan sasterawan-sasterawan ini”, lihat wawancara Ilias Zaidi dengan beliau, dlm. Ahmad Kamal Abdullah(ed.), 1993. Jambak 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 211.
[4] Sajak yang dilampirkan dlm. bahagian awal halaman novel Angin Timur Laut.(1969).
[5] Lihat kajian, misalnya, Kamaruddin M. Said, 1993. The Despairing and The Hopeful – A Malay Fishing Community in Kuala Kedah. Bangi: Penerbit UKM.; Wan Hashim Wan Teh, 1980. Komuniti Nelayan Di Pulau Pangkor – Beberapa Aspek Ekonomi dan Sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka; G.R Munro & Chee Kim Loy, 1978. The Economics of Fishing and The Developing World: A Malaysian Case Study. Pulau Pinang: Penerbit USM.
[6] Di kampungnya, S. Othman Kelantan dikenali dengan nama Habib. Seringkali memasuki kedai kopi di kampung-kampung dan mencuri dengar perbualan penghuni warung.(pernah diceritakan bagaimana orang baru mengecaminya sebagai penulis setelah lama melabuhkan duduknya di kedai kopi).Dari perbualan bersama S.Othman Kelantan, t.t, sekitar bulan Disember 2003.