Sunday, August 29, 2010

Diaspora Cina Bersatu

Disiarkan Utusan Malaysia (23 Ogos 2010, hlm. 10) dalam versi yang diedit dengan judul "Diaspora Cina Bersatu Seluruh Dunia"

Judul ini dipilih untuk menggambarkan kekuatan persatuan Cina yang sentiasa mementingkan persatuan dalam kalangan mereka tidak kira di mana mereka berada. Secara simbolisnya kita ingin membandingkan bagaimana Melayu sukar untuk bersatu dan pergerakan Melayu jika tumbuh hanya diprasangkakan berkepentingan peribadi atau mempunyai agenda tertentu. Sedangkan persatuan Cina secara tradisi dan sejarahnya sangat kental dengan kehidupan berpersatuan, walaupun mereka sebenarnya dalam diam-diam lebih halus beragenda. Ini merupakan seumpama seni Sun Tzu, yang hidup diamalkan sejak 2,400 tahun silam sebagai satu seni strategi dalam kebudayaan masyarakat Cina. Oleh itu desakan mereka sentiasa didengar oleh pemerintah. Sikap tribal walaupun ke tahap kongsi gelap merupa asas penting kaedah masyarakat Cina dalam berorganisasi, sekali gus mampu menggerakkan secara kolektif hasrat kumpulan mereka. Negara Tanah Besar China memanfaatkan ketaatan berorganisasi atau sistem tribal ini untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi, dan juga dimanfaatkan untuk membantu pembangunan negara China sejak “Dasar Buka Pintu” mereka.

Secara sejarah, gerakan diaspora Cina mula diikhtiraf oleh negara China Tanah Besar, sejak abad ke 16 dan ke 17. Kebanyakan mereka merupakan penghijrah yang berasal dari daerah pesisir sebelah Tenggara dan Selatan China, iaitu dari Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Dianggarkan lebih 42 juta Diaspora Cina yang kebanyakannya berhijrah ke Asia Tenggara. Paling ramai di Singapura, dan selebihnya menjadi warga di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Atas faktor perkembangan pembangunan dan ekonomi dunia yang baik menyebabkan mereka juga berhijrah ke Amerika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Hawaii, Kanada, dan sebahagian besar negara-negara Eropah. Penghijrahan ini berlaku secara berperingkat-peringkat pada abad ke 19 dan abad ke 20. Namun demikian tanpa disedari, data-data mutakhir menunjukkan masyarakat Diaspora Cina yang terbesar dari segi peratusan sekarang ini, iaitu sebanyak lebih 12.1 peratus yang berada di benua Asia adalah menduduki negara Malaysia. Berbanding masyarakat Cina diaspora yang berada di Singapura yang hanya sekitar 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Asia.(Data statistik New World Encyclopedia).

Kekuatan hidup berpersatuan menyebabkan Diaspora Cina sentiasa menjalinkan jaringan antara mereka. Dalam sistem perbankan ditubuhkan Chinese Overseas Bank sejak tahun 1942 untuk menjaga sistem kewangan pemodal-pemodal berbangsa Cina. Hubungan ini bukan sahaja secara wilayah dan etnik yang pelbagai dari Tanah Besar China malahan hubungan kekeluargaan yang berasaskan tradisi kebudayaan. Chinese Overseas atau masyarakat Diaspora Cina ini menggerakkan persatuan-persatuan kecil dari peringkat persatuan pekerja, persatuan peniaga kecil, persatuan etnik, persatuan berbentuk kekeluargaan sehinggalah persatuan peniagaan yang bersifat makro. Mereka mengadakan Festival Diaspora secara besar-besaran di seluruh dunia. Dari pertandingan kraf sehinggalah ke pertandingan lagu-lagu moden untuk menyatukan jutaan perasaan kolektif bangsa Cina. Malahan pertandingan sebelum menyambut Tahun Baharu Cina akan diadakan di seluruh dunia secara sepakat dengan menjemput masyarakat Cina dari Tanah Besar dan masyarakat Cina yang berdiaspora. Sydney dan New York pernah mengadakan program ini. Kekentalan rasa penyatuan ini bukan lagi rahsia bagi masyarakat global kerana masyarakat Cina sejak awal-awal tamadun manusia telah mencatatkan pergerakan rasa kekitaan yang tinggi sesama mereka.

Oleh kerana penyatuan itu juga dunia menyaksikan masyarakat Diaspora Cina menguasai ekonomi di seluruh negara di Asia Tenggara. Mereka memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Asia Tenggara dan memainkan peranan penting dalam memastikan kekuasaan politik kaum Cina. Malahan dengan kuasa ekonomi, mereka juga membantu memberikan sumbangan dana yang besar kepada Tanah Besar China sejak berlakunya Revolusi China pada tahun 1911. Justeru itu kita akan menyaksikan kekuasaan masyarakat Cina akan dijanakan oleh kuasa ekonomi dan kuasa politik. Masyarakat Diaspora Cina sehingga ke hari ini mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli kabinet serta ahli politik di China. Buktinya kepentingan masyarakat Diaspora Cina ini diikhtiraf dengan adanya setiap jabatan dalam Kementerian dalam kerajaan China yang menubuhkan bahagian-bahagian yang menjaga kepentingan Diaspora masyarakat Cina di seluruh dunia.

Wilayah-wilayah yang mendapat bantuan secara langsung dari ahli-ahli perniagaan Cina seberang laut termasuklah Wilayah Guangdong, Fujian dan Hainan. Sewaktu kemelesetan ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2008 dan 2009, China dapat keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi kerana faktor-faktor aliran masuk pelaburan luar yang dibawa oleh Diaspora Cina global itu. China dengan pantas mencapai pertumbuhan KDNK lebih 10 peratus setahun, walaupun sejak akhir-akhir ini terperangkap dengan ikatan sistem matawangnya. Namun kesetiaan Diaspora Cina secara berterusan mengalirkan pelaburan mereka ke Tanah Besar merupakan satu suntikan dana yang berbilion dollar merupakan penyelamatan ekonomi China dari merudum. Dari Asia Tenggara sahaja dipercayai ahli perniagaan mereka yang terdiri daripada Raja Gula, Raja Getah, Raja Keluli dan Raja Hartanah telah membawa keluar wang secara besar-besaran untuk melabur ke Negara China, secara tidak langsung menyelamatkan nilai matawang mereka dari nilai matawang Asia Tenggara yang merosot teruk terdampak dari krisis gadai janji yang melanda Amerika baru-baru ini. Dipercayai sistem yang sama akan digunakan apabila krisis kewangan yang sekarang ini sedang melanda negara-negara Eropah, kesan krisis teruk di Greece dan Itali.

Dengan itu juga jika kita melawat Wilayah-Wilayah Selatan dan Timur China sekarang ini, kita akan dapat menyaksikan pembangunan yang pesat dalam pelbagai sektor terutama sektor hartanah, perkilangan dan pembangunan perkhidmatan awam. China sejak akhir-akhir ini menjadi fokus seluruh dunia. Bolehkah China menjadi gergasi ekonomi dunia dalam masa terdekat? Dengan kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun melebihi 10%, China akan menyaingi Amerika dalam segenap segi atas dasar kedudukan ekonomi yang stabil. Malahan kerana cepatnya China pulih dari kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia pada tahun 2008 -2009, mata spekulator seluruh dunia terpaksa dibeliakkan untuk melihat mampukah China mengatasi kuasa unilateral seperti Amerika? Banyak isu-isu antara kedua buah negara yang menjadi sensitif sejak akhir-akhir ini, termasuklah amaran Google untuk keluar dari enjin pencariannya di China, desakan Dalai Lama, pemimpin kerohanian Tibet yang nampaknya seperti menyokong Google, lawatan Dalai Lama ke Amerika yang banyak mengeluarkan kenyataan berbau politik dan menyentuh sensitiviti negara China, isu penjualan senjata Amerika ke Taiwan dan lain-lain isu hubungan dua hala yang sering dibincangkan sejak mutakhir ini. Ternyata sumbangan penting The Chinese Overseas sangat memainkan peranan dalam pembangunan mental dan fizikal rakyat dan negara China. Bukan sahaja pembangunan The Park dan Universiti tetapi juga terdapat ratusan imej sumbangan dana daripada Chinese Overseas yang mengalir masuk ke negara China terutama sejak amalan dasar terbuka negara China. Hal ini sangat membantu China dalam meningkatkan ekonomi warganya. Kesan tersebut cepat berlaku dan beberapa imigran rakyat China yang berada di luar negara sempat kami temui sewaktu di Fujian baru-baru ini, dan berbual ketika sarapan di hotel serta pertemuan singkat ketika berada di Kompleks Supermarket termasuk dari warga yang menetap di Indonesia, Amerika dan Hawaii. Mereka ternyata pulang ke kampung untuk sama-sama apabila meraikan sambutan Tahun Baru dan ada yang sengaja bertujuan untuk mengesan sejarah asal usul nenek moyang mereka. Sungguh mengkagumkan bagaimana masyarakat Chinese Overseas yang begitu sayangkan negara asal nenek moyang mereka. Oleh itu terbukti bagaimana sikap orang-orang Cina yang begitu bangga memiliki leluhur asal negara China.Teori mengatakan Chinese Overseas membangunkan ekonomi negara China adalah benar. The Rizal Memorial Park di Fujian dianggap Hero Diaspora adalah salah satu bukti dari ratusan pembangunan yang ada disokong Chinese Overseas. Kami juga melawat Muzium Jinjiang, yang sedang mengadakan pameran Jin Jiang Overseas Chinese History Overseas yang membariskan ratusan gergasi tycoon dunia termasuk sekarang ini menguasai dunia perniagaan di Asia Tenggara, Asia Tengah dan Eropah yang ternyata sangat dibanggakan warga China.