Monday, October 7, 2019

ISU TULISAN JAWI September 2019



Jawii/Hafizah Iszahanid
hafiza@bh.com.my
Pix: Nik Harif Hasan

Kuala Lumpur:  Peralihan tulisan jawi ke rumi bermula setelah kemasukan penutur bahasa asing dan pengaruh Eropah di Nusantara. Abad ke-15, kemasukan Portugis, Belanda dan Inggeris ke Alam Melayu atas dasar ekonomi dan politik menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca yang penting. Dengan demikian, tulisan rumi diperkenalkan oleh orientalis menggantikan tulisan Jawi bagi memudahkan penutur asing. Malahan pada awal abad ke-19, sekolah-sekolah mubaligh Kristian menggunakan tulisan rumi sebagai media bahasa penyebaran agama Kristian.

Bagi memudahkan mereka, para orientalis memperkenalkan daftar ejaaan rumi dan ejaan jawi melalui kaedah perkamusan. Secara sejarah insiatif ini dilaksanakan oleh Thomas Bowrey (1701), dan Marsden (1812). Sistem ejaan rumi dimantapkan dari satu tahap ke satu tahap menggantikan tulisan Jawi seperti dilaksanakan oleh sistem ejaan Pigafetta, Marsden, Wilkinson dan Za,ba. Pada tahun 1904, pernah wujud satu jawatankuasa yang mendaftarkan ejaan Rumi Kerajaan Negeri Persekutuan.  Selanjutnya pada tahun 1954, ASAS 50 di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke 2, atas dasar bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, mereka  mendesak supaya tulisan rumi menggantikan tulisan Jawi secara rasmi, dengan syarat tulisan Jawi tidak dihentikan penggunaannya.

 Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hashim Ismail, berkata peralihan sistem tulisan rumi ke jawi ini, dalam masa yang sama tindakan itu sudah mula menyingkirkan kedudukan tulisan berkenaan sebagai wadah pengajian ilmu Melayu. Secara tidak langsung menghambat sistem pendidikan nasional. Tegas Hashim, antara lain, ketika itu fokus peralihan jawi ke rumi adalah untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu sejajar dengan idea kebangsaan yang wujud sebelum zaman perang lagi.
 “Isu perpaduan antara kaum dilihat akan mudah dibuat menerusi tulisan rumi.
 “Bagaimanapun, tindakan itu dikesali oleh beberapa tokoh yang memperjuangkannya apabila kesannya, didapati perlahan-lahan ia menyebabkan jawi terpinggir,” katanya. Malahan ada antara tokoh ASAS 50 sendiri yang menyesali keputusan yang dibuat mereka sebelum ini. 
  Tambah Hashim, meskipun kemudiannya terdapat usaha untuk memartabatkan jawi dibuat oleh pelbagai pihak persendirian, juga ahli politik malah ada akhbar jawi juga diterbitkan tetapi ia masih gagal memartabatkan tulisan jawi kerana tidak disambut oleh pemerintah dan masyarakat”.
 “Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan kembali tulisan jawi adalah baik tetapi seharusnya kementerian pendidikan menekankan kepada memperkenalkan sejarah tulisan Jawi atau sejarah kaligrafi jawi.  Semua bangsa dan bahasa mempunyai sistem kaligrafinya, termasuk Bahasa Melayu. Sejarah tulisan dalam bahasa Melayu itu mempunyai tradisi peradaban yang panjang, sebelum tulisan Jawi, bahasa Melayu  sudah menggunakan kaligrafi Palava, huruf Kawi, dan tulisan rencong. Jadi ia berkaitan sistem aksara, bukannya tulisan agama Islam, bukannya tulisan Khat Islam. Kita kena faham sejarah sistem tulisan kaligrafi Melayu itu sendiri seperti kita juga belajar kaligrafi tulisan Cina, Thai, dan Sanskrit”.   
“Persoalan istilah ini membawa impak dan pemahaman yang berbeza dan ia seharusnya ditangani sebaiknya dalam usaha untuk memperkenalkan kembali tulisan jawi,” katanya.

Bahasa Melayu adalah bahasa utama di alam Melayu dan aksaranya dikesan sejak abad kedua masehi menerusi prasasti tinggalan Kerajaan Sriwijaya. Ketika itu sistem tulisannya adalah palava klasik.
 “Di Tanah Melayu, pada 1303M prasasti tulisan jawi ini ditemui di Terengganu tetapi di alam Melayu keseluruhannya sudah dapat dikesan banyak prasasti dengan campuran tulisan Arab dan palava sejak kemasukan Islam ke Alam Melayu.
 “Kedatangan Islam kemudiannya mempengaruhi sistem tulisan bahasa Melayu yang boleh dibuktikan dengan tinggalan prasasti dan batu nesan yang menggunakan tulisan jawi di Pasai pada abad ke-13,” katanya.
 “Sistem tulisan rumi muncul pada abad ke-19 dibawa oleh kolonial yang dilihat ketika itu sebagai wahana yang mampu menyebarkan ilmu dengan lebih mudah, malahan mudah untuk penutur asing” katanya.
 Tegas Hashim, dasar yang dibuat bermula pada tahun 50-an itu sebenarnya meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada orang Melayu khususnya dan pengajian Melayu amnya. Ramai graduan pengajian Melayu yang tidak dapat membaca jawi dengan baik yang menyebabkan ilmu Melayu tersadai dalam bentuk manuskrip sahaja.
 “Contoh paling mudah dalam kajian sastera moden, kebanyakan novel terbitan tahun 30-an, 40-an dan 50-an masih menggunakan sistem tulisan jawi dan ia kurang dikaji oleh sarjana kerana mereka tidak mampu membaca jawi.
 “Begitu juga manuskrip Melayu lama yang tersimpan di merata perpustakaan di dunia yang masih tidak dikaji. Ia amat merugikan sedangkan semua itu adalah ilmu,” katanya.
 Tambah Hashim, antara dilema yang pernah dihadapi Universiti Malaya dahulu adalah kelas pengajian filologi yang ditawarkan oleh Akademi Pengajian Melayu tidak mendapat sambutan kerana sedikitnya pelajar yang boleh membaca jawi. Hal ini diatasi dengan pengenalan kelas jawi pada 1990-an tetapi ia masih tidak membantu memperbanyakkan kajian berkaitan sastera Melayu bertulisan jawi yang merupakan hasil tamadun besar dunia Melayu. 
 “Jika dilihat kemerosotan sarjana yang mengkaji khazanah sastera dan budaya Melayu yang tersimpan dalam tulisan jawi ini bukan hanya berlaku di negara kita tetapi juga tidak ramai lagi sarjana barat yang berminat berbuat demikian,” katanya.
 Sejarah tulisan jawi bermula dengan penyebaran agama Islam yang memperlihatkan cerdik pandai zaman itu mengadaptasi sistem tulisan Arab untuk digunakan dalam bahasa Melayu dengan tambahan lima perkataan iaitu ca,pa, ga, nya dan nga.
 Penggunaan tulisan jawi ini mempercepatkan lagi penyebaran ilmu di Alam Melayu sejak  abad ke-13 ia digunakan secara meluas di semua kerajaan di alam Melayu. Ia bukan hanya digunakan dalam sistem pentadbiran dan surat menyurat rasmi tetapi juga digunakan untuk mendokumentasikan ilmu sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa utama alam Melayu.
 Jawi digunakan untuk merekodkan peradaban Melayu termasuk undang-undangnya dalam manuskrip seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut Melaka, Undang-Undang Johor selain Risalah Hukum Kanun. Begitu juga dengan naskhah kesusasteraan klasik seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan Misa Melayu.
  Kegemilangan bahasa Melayu dan tulisan jawi menyebabkan ia dipelajari di Eropah dalam usaha kolonial mengenali orang Melayu bagi tujuan penjajahan dan perdagangan. Hal ini boleh dilihat apabila ia digunakan dalam surat menyurat ketua kerajaan di Eropah kepada sultan di alam Melayu. Antaranya adalah surat menyurat antara Sultan Abu Hayat dari Ternate dengan Raja João III dari Portugal (1521); surat daripada Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England (1615); dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis (1719). Justeru, tegas Hashim, “Belajar tulisan Jawi adalah bukan belajar agama Islam, tetapi belajar sistem aksara atau kaligrafi yang digunakan pada perkembangan sejarah bahasa Melayu”.  

END>