Sunday, November 7, 2010

Menang di Galas dan Batu Sapi. PRU 13 masih Berhantu?

Saya ingin komen sedikit berkenaan PRK Galas dan Batu Sapi. BN menang tetapi jangan ingat rakyat sudah berubah angin. PRK di kedua-dua tempat adalah berbeza dengan PRU. Jawapannya kerana pengundi di PRK itu masih dahagakan pembangunan di luar bandar. Keperluan prasarana diri dan setempat menyebabkan mereka memilih BN.

Bagaimanapun, PRU akan datang adalah berbeza sama sekali. Pengundi muda tidak memperdulikan pembangunan. mereka mementingkan integriti. Sisi kecil ini jika tidak diperhatikan ia akan menjadi hantu yang menakutkan dalam PRU akan datang.

Masalah Rasuah misalnya merupakan perkara pokok yang mengancam BN. Rasuah di dalam sistem pentadbiran kerajaan mesti dihapuskan. Keselamatan negara terabai kerana bukti-bukti penangkapan di pintu masuk negara semakin berleluasa seperti KLIA, LCCT, pelabuhan dan sempadan. Rasuah dalam kalangan pegawai imigresen, kastam, polis, JPJ, dan PBT merupakan contoh yang sering digunakan. Akhir-akhir ini pejabat pendaftaran pun ikut dilibatkan. Ini belum termasuk sempadan perairan negara yang bocor. Isu pemerdagangan manusia. Isu dadah yang dikaitkan dengan rasuah. Dan isu-isu kecil lain yang diheret dengan gejala rasuah sehingga pemberian bantuan rumah PPRT di kampung-kampung sekali pun merupakan duri dalam daging bagi parti pemerintah. Isu-isu besar sehingalah yang sekecil-kecilnya tentang rasuah mendapat perhatian utama generasi muda.

Apabila pasukan keselamatan tidak memainkan peranannya secara baik, tidak tegas, tidak amanah dan mengamalkan rasuah bersistematik; akibat rasuah dan isu pemerdagangan manusia, mengambil kira rasuah dalam parti di peringkat cawangan juga, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terhakis.

Di akhbar dan media saban hari komen rakyat tentang kemasukan dan koloni imigran yang bebas dan berleluasa menguasai beberapa kawasan penempatan setempat merimaskan kesejahteraan rakyat. Oleh itu salah satu simbol kolektif protes rakyat terhadap kegagalan fungsi pihak keselamatan adalah ditujukan kepada pihak kerajaan yang memerintah. Krisis kepercayaan ini dibantu oleh berita di pelbagai media; dengan demikian, undi protes tentang isu integriti tidak boleh dipandang ringan oleh parti pemerintah. Gelombang kolektif rasuah merupakan indeks ketidakpuasan hati rakyat, terutama di hati pengundi muda yang akan ditunjukkan melalui undi dalam PRU akan datang. Undi itu akan diterjemahkan sebagai satu bentuk celaan kepada keberkesanan pasukan keselamatan dan kakitangan penguatkuasaan negara.

No comments:

Post a Comment